SEORANG mutawif menceritakan kisah sepasang suami isteri yang sama-sama ke Makkah bagi menunaikan umrah. Di depan Kaabah, si suami antara lain berdoa berjayalah usahanya untuk menambah satu lagi 'cawangan' (beristeri barulah) sedangkan si isteri pula berdoa biarlah dia dan suaminya hidup rukun damai, janganlah hendaknya hadir orang ketiga yang boleh mengeruhkan rumah tangga mereka berdua. Ringkasnya dia tak rela dimadukan, dia tak rela berkongsi suami
Dalam situasi begini, kedua-duanya bebas untuk berdoa mengikut kehendak masing-masing. Tentunya hajat mereka berlawanan antara satu sama lain. Tiada siapa boleh menghalang mereka daripada berdoa sedemikian. Si suami dengan doanya manakala si isteri dengan doanya pula. Soal siapa benar dan doa siapa dikabulkan itu bukan urusan manusia, semuanya diserahkan kepada Yang Maha Kuasa. Terpulanglah kepada Allah SWT untuk menentukan siapa yang dipilih-Nya.
Demikian juga dalam kisah korban dua orang anak Nabi Adam a.s. - Qabil dan Habil. Kedua-duanya bebas membuat korban. Yang menjadi pemutus kepada korban mereka adalah SWT. Allah SWT Yang Mahu Mengetahui siapa antara kedua-duanya yang ikhlas, yang berada di jalan benar dan lurus. Hak Allah-lah yang menjadi pemutus kepada korban mereka.
Muktakhir ini, negara dihebohkan dengan 'doa PAS' pada penutup Muktamar ke-58-nya di Putik, Pengkalan Chepa, Kelantan. Kemudian PM Najib Razak sendiri membaca 'doa Umno' pada penutup Perhimpunan Agung Umno 2012 di PWTC, Kuala Lumpur.
Mungkin ada persamaan situasi antara 'doa PAS' dan 'doa Umno' ini dengan doa pasangan suami isteri di depan Kaabah. Jika suami isteri itu bebas untuk berdoa mengikut kehendak masing-masing, pada pandangan hamba yang daif ini tentulah PAS dan Umno bebas untuk mengadu hal masing-masing kepada Allah SWT. Soal kabulnya doa bukannya urusan manusia - serahkan segala-galanya kepada Yang Maha Kuasa.
* Namun, mengapa agaknya sesetengah pihak (agaknya orang dan pemimpin Umno) yang gerun dengan doa orang PAS itu? Bukan makin heboh lagi golongan ini yang memperkatakan akan doa itu. Sama seperti doa pasangan suami isteri tadi, apa nak ditakutkan dengan doa 'lawan' masing-masing.
Jika kita yakin kita di jalan yang benar pastilah Allah SWT akan berpihak kepada kita, bukankah bagi setiap doa itu sudah dijanjikan untuk dimakbulkan di dunia ini, jika tidak 'disimpan' untuk kita nikmati di akhirat nanti dan lebih mulia lagi di dunia pun kita dapat di akhirat pun kita dapat sejajar dengan doa ulung ini: "Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti hasanah waqina 'adzabannar" yang bermaksud "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksa neraka." (QS. Al Baqarah 201)
Sewajarnya sebagai orang jitu imannya, kita tidak gusar dengan perbuatan termasuk doa orang lain kerana berpegang teguh kepada akidah, tiada apa yang boleh merosakkan kita sekali pun bergabung seluruh makhluk jika hal itu tidak dizinkan Allah SWT. Jadi jika kita berada di landasan (jalan) yang betul dan lurus, apa yang hendak ditakutkan?
Biasanya yang takut itu adalah orang bersalah, dia sentiasa bimbang orang akan tahu tembelangnya. Orang tidak pun membicarakan kesalahan atau perbuatan jahatnya, tetapi dia terasa pula. Macam orang sudah berak di tengah jalan, mana dia mahu mengaku. Tetapi apabila ada orang buka bicara 'kisah tahi', dia dengan mudah akan terasa. Orang cerita kisah tahi ayam pun, dia terasa!
Jika dengan melakukan perbuatan jahat kecil-kecilan seperti berak di tengah jalan pun pelakunya sudah resah gelisah, bayangkan jika seseorang atau kumpulan terbabit dalam kes bunuh, rogol, zina, rasuah, rompak wang rakyat, menipu dalam proses mendapat kuasa dan sebagainya.
Tentunya mereka bimbang apabila orang membicarakan hal ini sekalipun tidak menyebut nama mereka. Apabila orang memperkatakan bab hudud, hati mereka akan berdegup pantas dan kuat...dup...dap...dup...habislah aku nanti aku kena rejam dengan batu (bagi pesalah zina) dan potong tangan (bagi pencuri). Mereka pun cipta pelbagai alasan dan dongeng seperti 'makan sup tanganlah', 'takkan ada saksi benarlah' dan 'hudud PAS-lah'.
Jika kita rajin mengikuti tazkirah termasuk kelas pengajian di masjid, kerap benar kita mendengar ustaz memberitahu antara doa yang mustajab (cepat dimakbulkan) adalah doa orang teraniaya atau dizalimi. Pelaku zalim ini tidak payahlah menunggu di akhirat, di dunia lagi mereka sudah dinampakkan dan menerima kesengsaraan kehidupan.
Kata ustaz, kezaliman itu bukan saja bermaksud menzalimi manusia (terhadap orang Islam dan bukan Islam) tetapi juga kepada binatang malah seluruh makhluk-Nya. Jika kita menzalimi seekor binatang, binatang itu akan mendoakan kebinasaan kita, itulah sebabnya kehidupan kita tak pernah aman, selalu berkeluh kesah dan sengsara sekalipun harta bertimbun, kuasa besar dan berjawatan tinggi melangit.
Jika kita amat-amati, memang benar sesetengah orang Umno terutama pemimpinnya hidup dengan harta bertimbun, kuasa besar dan berjawatan tinggi, tetapi mengapa ya, mereka selalu berkeluh kesah dan akhir-akhir ini percakapan mereka termasuk di Perhimpunan Agung mereka semakin banyak merapu.
Ada seorang pembahas berkata, banyak sungguh jasa Umno kepada seseorang - daripada bayi sampailah ke dia mati - semuanya dibiayai oleh Umno; seorang nenek di kampung saya yang kebosanan disogok laporan Perhimpunan Agung Umno di TV saban hari, dengan mudah dapat menjawab dakwaan dangkal itu - katanya, biaya itu bukan pakai duit Umnolah, itu duit CUKAI dibayar rakyat. Umno (BN) hanya kuli bagi mengurus duit rakyatlah!
Oleh Lanh
0 comments:
Post a Comment