ENAM CALON UMNO/BN WP MESTILAH MENANG UNTUK CAPAI HASRAT DUA PERTIGA

on Apr 18, 2013








Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin,
Lembah Pantai
Dato' Dr Shafei Abdullah, Wangsa Maju
Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Setiawangsa
Tengku Adnan Tengku Mansor, Putrajaya
Dato' Johari Ghani, Titiwangsa
Datuk Yusoff Mahal, Labuan

Calon-calon UMNO dijangkakan akan bertanding di enam kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan. Beberapa calon baru dari UMNO dijangka akan dinamakan oleh Dato' Sri Najib Tun Razak, Pengerusi Barisan Nasional di kawasan-kawasan parlimen yang terbabit. 
Diantara muka baru yang bakal dinamakan bertanding di dalam sirkit PRU13 ini nanti ialah Dato' Raja Nong Chik di Lembah Pantai, Dato' Johari Ghani di Parlimen Titiwangsa, Dato' Ahmad Fauzi Zahari di Setiawangsa dan Dato' Dr Mohd Shafei Abdullah di Wangsa Maju. 
Manakala bagi kawasan Parlimen Labuan pula Datuk Hj Yusoff Hj Mahal berkemungkinan juga akan digantikan dengan muka baru, begitu juga di Putrajaya di mana akan berlaku kejutan kerana nama Tengku Adnan Tengku Mansor yang menjadi Ahli Parlimen sebelum ini dikatakan akan digantikan dengan calon yang lain. 
Namun begitu, sebagai Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan dikatakan wajar kekal bertanding di Putrajaya walaupun ada ramalan yang menyebut bahawa mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed akan bertanding semula bagi kali ini menggantikan Tengku Adnan. PAS baru-baru ini telah menamakan Naib Presidennya Datuk Husam Musa akan dicalonkan bertanding di Parlimen Putrajaya. Terdapat juga ramalan yang menyatakan bahawa Tan Sri Aseh Che Mat, Presiden Perbadanan Putrajaya juga disebut-sebut bakal dicalonkan untuk menentang Husam Musa.
Dato' Sri Zulhasnan Rafique, mantan Menteri Wilayah Persekutuan yang juga telah menjadi Ahli Parlimen selama tiga penggal di Wangsa Maju dan juga di Setiawangsa, dikatakan tidak dipilih semula menjadi calon dalam PRU13 kali ini. Seorang muka baru, Dato' Ahmad Fauzi Zahari yang menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa diramal bakal menggantikannya sebagai calon di Setiawangsa. Fauzi Zahari dilihat winnable di Setiawangsa, kerana beliau juga dikatakan di antara 6 calon yang telah direstui oleh UMNO Bahagian berkenaan, malah Fauzi juga mendapat sokongan di peringkat Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan. Fauzi merupakan Setiausaha Kerja BN Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pilihan raya umum yang lepas, calon UMNO hanya menang di Setiawangsa, Putrajaya dan juga di Labuan sahaja. Lembah Pantai dan Titiwangsa telah dikejutkan apabila tewas di tangan PKR dan juga PAS. Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai telah dibawa masuk menyertai kabinet Najib menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar setelah dilantik sebagai seorang senator. Nong Chik diharapkan dapat menebus kembali kekalahan yang dialami oleh Dato' Seri Shahrizat Jalil di Lembah Pantai pada PRU12 yang lalu.
Begitu juga, Dato' Johari Ghani yang memangku jawatan Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa diberikan tugas yang berat agar dapat merampas semula kerusi Parlimen Titiwangsa yang telah dimenangi oleh Allahyarhamah Dr Lo Lo dari PAS pada musim PRU12 tahun 2008.
Berbeza pula di Parlimen Wangsa Maju, di mana Dato' Dr Mohd Shafei Abdullah, Ketua UMNO Bahagian tersebut dilihat semakin berjaya untuk mengembalikan semula kerusi Wangsa Maju kepada UMNO setelah dua penggal diwakili oleh calon MCA. Dalam PRU12, Yew Teong Look dari MCA telah tewas 150 undi di tangan PKR, maka kali ini UMNO merasakan wajar meletakkan calonnya untuk mengembalikan semula momentum kemenangan yang pernah dicapai oleh UMNO pada pilihan raya umum 1995 dan 1999. 
Walaupun MCA Wangsa Maju terkilan kerana kerusi yang dipinjamkan oleh UMNO selama dua penggal akan diambil semula menjelang PRU13 ini, namun kerja kuat dan semangat kental yang ditunjukkan oleh Dr Shafei Abdullah dan team UMNO sejak kebelakangan ini dilihat ada pencerahannya, terutama di kalangan pengundi Melayu yang mewakili 53 peratus yang pastinya akan memihak kepada Barisan Nasional kali ini. Shafei kena bekerja keras dan menggandakan keyakinan terutama di kalangan pengundi Cina supaya mengukuhkan lagi keyakinan BN untuk menang kali ini.
UMNO jangan terlalu selesa dalam mengharungi pancaroba PRU13 kali ini. Jika UMNO boleh tewas di Lembah Pantai dan Titiwangsa pada PRU12 2008, ini memberikan suatu cabaran kepada seluruh jentera UMNO/BN di kawasan-kawasan terbabit supaya tidak bercakaran sesama sendiri, sebaliknya UMNO harus membuktikan kesemua enam kerusi yang ditandingi di WP mampu dimenangi. Jika harapan Najib agar BN kali ini dapat menang dua pertiga, maka keenam-enam kerusi UMNO di Lembah Pantai, Titiwangsa, Wangsa Maju, Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan mestilah menyumbang kepada kejayaan ini.

Wilayah Persekutuan mempunyai 13 kerusi Parlimen yang terdiri dari Lembah Pantai, Titiwangsa, Setiawangsa, Wangsa Maju, Bandar Tun Razak, Cheras, Seputeh, Bukit Bintang, Segambut, Kepong, Batu, Putrajaya dan juga Labuan.


Sumber :- Abdul Rahman Hashim
Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List