Tiada Maaf Bagimu.......Pemilihan calon-calon rasis oleh Najib membuatkan masyarakat pelbagai kaum semakin menolak BN.

on May 3, 2013




“Saya ingin menyatakan bahawa kerajaan sekarang mengamalkan toleransi sifar terhadap sifat perkauman dan kita akan ambil tindakan terhadap pihak terbabit jika terbukti mereka melakukan perbuatan dan menyatakan ungkapan yang bersifat rasis.”

Demikian kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi jangan terlalu seronok dan melompat-lompat kegembiraan dengan mengandaikan bahawa tidakan segera akan diambil terhadap Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa), Ibrahim Ali; Naib Presiden Perkasa, Zulkifli Noordin atau calon DUN Sungai Rapat, Hamidah Othman.


Sebenarnya, kata-kata di atas dipetik daripada laporan akhbar Utusan Malaysia (28 Ogos 2010) mengenai kenyataan Najib semasa suatu sesi dialog di Auditorium DBKL. Berita sama turut dimuatkan di blog milik Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, dua hari kemudian.

“Pendirian kita adalah untuk tidak bertolak ansur terhadap kenyataan berbaur perkauman oleh sesiapa. Tindakan tegas akan diambil terhadap individu terbabit. Perpaduan amat penting dalam pembinaan bangsa.” Demikian pula terjemahan kata-kata Najib yang dilaporkan dalam akhbar The Star (28 Ogos 2010).
Walau bagaimanapun, segala pendirian tegas “Tokoh 1Malaysia” itu hancur “bagaikan tembikai” apabila timbul isu berkaitan Zulkifli yang sekurang-kurangnya dua kali mengeluarkan kenyataan menghina kaum India dan agama Hindu.

Begitu juga apabila Ibrahim dilaporkan menghasut orang Melayu membakar kitab Bible di Pulau Pinang pada Januari 2013. Tidak lupa juga insiden Hamidah menyarankan supaya orang ramai “memukul orang India dahulu sebelum memukul ular”
.
Pada 16 April lalu, Najib menunjukkan wajah sebenar rasisme yang dimilikinya apabila dengan bangga mengangkat dan mengumumkan Zulkifli sebagai “calon rakan BN” bagi kerusi Parlimen Shah Alam. Tentulah juak-juak dalam MIC tidak berani bersuara kerana seperti yang diketahui umum, kedudukan MIC dalam BN hanya sebagai “pak turut” dan bukannya sebagai pihak yang ada apa-apa kuasa/suara.
Bantahan terhadap pemilihan Zulkifli datang daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama yang sama-sama menolak politik perkauman serta politikus yang mengamalkan sifat rasisme. Namun begitu, tentu sahaja segala “suara” orang ramai tidak mendapat tempat di mana-mana media arus perdana yang dikuasai BN.

Bagi saya sendiri, sebagai sahaja nama Zulkifli diumumkan sebagai “calan rakan BN”, saya sudah tahu bahawa Negeri Selangor akan musnah sekiranya BN berjaya merampas negeri ini daripada Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Insiden seorang juak-juak BN memeluk dan mencium pipi Zulkifli pada tarikh penamaan calon (20 April 2013) menambahkan lagi rasa meluat dan menyampah masyarakat pelbagai kaum dan agama, bukan hanya terhadap Zulkifli tetapi juga terhadap “Tokoh 1Malaysia” dan BN.

“Dia (Zulkifli) telah meminta maaf dan saya mendapat maklum balas bahawa sebilangan besar kaum India menyokong beliau,” kata Najib dan dilaporkan pula dengan bangganya di akhbar Utusan Malaysia (23 April 2013).

Najib tersilap pilih calon-calon rasis

 

Saya percaya bahawa “maklum balas” yang dimaksudkan itu datang secara khusus daripada juak-juak seperti dalam MIC, IPF, PPP dan Hindraf; bukan mewakili suara sebenar penduduk kaum India di Selangor. Tentulah pak turut tidak akan berani melaporkan kepada tuannya bahawa kaum India sudah menyampah dengan BN dan pencalonan Zulkifli. Juak-juak ini pun perlulah juga pandai “cari makan” dengan cara memuji-muji dan mengampu-ampu apabila perlu.

Pada tarikh sama juga keluar berita bahawa lebih seratus ahli MIC di Shah Alam memutuskan untuk keluar parti berikutan isu Zulkifli, Ibrahim dan Ahmad Nawawi M Zin. Ahmad Nawawi adalah calon BN bagi DUN Batu Tiga. Dia paling dikenali atas “ketokohan” terlibat dalam insiden memijak kepala lembudan menghina agama Hindu pada 28 Ogos 2009.

Kita tidak perlu mengharapkan sebarang komen berani daripada mana-mana pemimpin parti-parti komponen BN berhubung calon-calon yang rasis, fanatik, etnosentrik dan ultra kiasu ini. Seperti yang saya nyatakan tadi, tentulah masing-masing mahu menjaga periuk nasi dalam dunia politik; khususnya jika Najib telah bermurah hati memberi mereka peluang untuk bertanding dalam PRU-13.

Saya yakin dan percaya bahawa masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara bertuah ini menolak politik perkauman. Kita juga sama-sama tidak mahu mengundi mana-mana calon yang secara terang-terangan memang mengamalkan perkauman serta menghina kaum/agama lain.

“Kita boleh maafkan seseorang sekiranya dia melakukan satu kesalahan tanpa mengetahui akibatnya, misalnya kanak-kanak. Bagi orang dewasa seperti Zulkifli yang juga seorang peguam, amat tidak wajar dimaafkan jika dia tidak tahu menghormati hak asasi dan hak kebebasan beragama,” kata T Gopal Thirumalai, seorang guru yang berasal dari Raub, Pahang.

Pada pandangannya, anggapan bahawa sesuatu kaum atau agama adalah lebih mulia daripada kaum atau agama lain adalah pandangan yang sebenarnya menghina kuasa dan ciptaan Tuhan.
Bagi R Balamurali (Vehl Murali) dari Sungai Buloh, seorang ahli politik – khususnya dalam landskap politik pelbagai kaum di Malaysia – perlu sensitif dan matang dalam pemikiran serta apabila mengeluarkan apa-apa kenyataan.

“Sebagai seorang yang terpelajar dan tentulah berpeluang untuk bergaul dengan masyarakat pelbagai kaum, tindakan Zulkifli memberikan komen tanpa mengira sensitiviti orang lain adalah sangat menyedihkan. Walaupun politikus itu boleh sahaja tampil memohon maaf, tetapi kejujuran dan keikhlasannya menjadi tanda tanya,” kata peguam muda itu yang berasal dari Pahang.

Rubeshan Shanmugam, seorang pakar forensik yang bertugas di Sibu, Sarawak turut berkongsi pandangan apabila topik ini dibincangkan menerusi laman rangkaian sosial Facebook baru-baru ini.
“Seseorang yang sudah bertaubat dan menyedari kesilapannya tidak akan memberi alasan untuk menutup kesilapannya. Pada pandangan saya, Zulkifli tidak ikhlas meminta maaf kerana dia cuba menyalahkan pihak lain.

“Tambahan pula, semasa meminta maaf tempoh hari, dia memberikan pula contoh pihak lain yang pada fikirannya lebih rasis berbanding dirinya. Ini membuktikan bahawa Zulkifli bukannya sudah bertaubat, tetapi sedang cuba mengalihkan kesalahan kepada orang lain,” kata pemuda itu yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Dalam budaya kaum India, ada satu peribahasa yang boleh diterjemahkan secara langsung sebagai “apa gunanya menyembah matahari selepas mata buta” atau boleh disamakan dengan peribahasa Melayu, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”.

Demikianlah halnya dengan Zulkifli, Ahmad Nawawi, Najib dan BN. Apa gunanya Zulkifli “memecahkan buah betik atau buah tembikai” sebagai usaha menebus dosa sedangkan taubatnya diragui. Dia ditolak bukan sahaja oleh orang India/Hindu tetapi oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Dan apa pula gunanya Najib membazir wang dan tenaga menerusi kempen “Sayangi Selangor, Yakini BN” sedangkan Pengerusi BN itu secara penuh sedar telah meletakkan calon-calon yang terbukti rasis dan ultra kiasu untuk bertanding mewakili BN dalam PRU-13.

Uthaya Sankar SB berkempen menolak politik perkauman. Lebih banyak pandangan boleh dibaca di www.uthayasb.blogspot.com


Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List