Kemenangan jamaah di dun dan parlimen dalam kawasan penulis cukup bermakna kepada petugas jentera pilihanraya kawasan yang telah bergerak aktif sejak berakhir pilihanraya 2008.
Walaupun penulis bukanlah di antara mereka sepanjang lima tahun kerana berada di luar negara, namun penulis dapat merasakan kepuasan mereka menerima keputusan ini.
Penulis bersyukur kerana pilihanraya berlaku semasa penulis sudah pulang ke tanah air. Dapatlah penulis bantu jentera kawasan sekadar yang mampu. Bantu mana yang lemah, bagi pandangan yang membantu berdasarkan pengalaman penulis dalam pilihanraya lalu.
Penulis dapat juga bantu jentera UPU kampung penulis yang tak bergerak jika penulis tak balik. Adalah juga pertandingan bendera dan banner di kampung, dapatlah atur petugas untuk PACA di Pusat Mengundi di kampung.
Tak sentiasa berada dalam kawasan kerana terpaksa masuk berkerja semula. Walaupun begitu sepanjang pilihanraya , penulis memang terlibat terus dalam jentera. Ramai yang menyangka penulis berada dalam kawasan sedangkan penulis berada di luar kawasan.
Penulis terima tugas yang diarah menguruskan perjalanan ceramah kelompok di dua lokaliti setiap malam sepanjang pilihanraya. Penceramah yang diundang pun ada yang tidak tahu , penulis berada di luar kawasan kerana penulis tak bagi tahu.
Ada pandangan yang mengatakan ceramah kelompok tak penting, tapi bagi penulis ceramah kelompok cukup penting jika ceramah berkenaan diadakan di tempat-tempat yang majoritinya pengundi biru dan atas pagar.
Jentera kawasan penulis mengatur ceramah kelompok bukan menyerahkan kepada UPU. Tindakan ini cukup mengaktifkan perjalanan ceramah kelompok setiap malam sepanjang pilihanraya.
Sesetengah kawasan menyerahkan tugas mengatur ceramah kelompok kepada UPU. Kesannya, hanya UPU yang kuat dan aktif sahaja mampu mengatur ceramah kelompok, UPU yang lemah sepanjang pilihanraya tidak mampu atur walaupun satu ceramah kelompok.
Namun , jentera kawasan penulis bukan hanya aktif mengadakan ceramah kelompok tapi babitkan semua jentera kempen. Malah, cara berkempen kali ini mungkin ada yang berbeza dengan kawasan lain.
Pembentangan manifesto di pasar awam, pekan sehari dan pasar malam mungkin tidak dilakukan di kawasan lain, tapi cara berkempen sebegini meningkatkan keyakinan pengundi kepada calon jamaah.
Semua peringkat jentera aktif membantu , dari peringkat kawasan, pemuda, muslimat, Unit Amal, Ameerah, Nisa’ hingga ke peringkat UPU. Walaupun ada yang cuba melemahkan semangat berjuang mereka , namun mereka tidak mudah lemah untuk terus berjuang.
Penulis terkesan cubaan melemahkan jentera beberapa hari selepas penamaan calon. Memang sebelum ini, banyak tohmahan kepada calon dun kononnya tidak senyum, tua, tidak mahu bersalam. Mereka mula mencongak bahawa jika letak calon dun ini maka keadaannya 50:50.
Bila tahu calon dun parti lawan, mereka terus mencongak ikut hati mereka bahawa calon dun jamaah akan kalah kerana calon dun lawan seorang yang disukai pengundi, mesra dengan semua orang walaupun berlainan parti.
Enam hari sebelum pilihanraya, penulis balik ke kawasan pergi tinjau beberapa UPU. Dengar cakap-cakap petugas, kemudian penulis dengar dari AJK Kawasan bahawa keadaan pada masa itu 68:32 berpihak kepada calon dun lawan. Penulis tanya AJK Kawasan dari mana mereka dapat data itu? Dia kata SB yang bagi.
Penulis marah kepada AJK Kawasan yang sebarkan berita SB ini kepada petugas di UPU sehingga melemahkan semangat mereka bekerja. Ada antara mereka yang kata, berita ini akan mengaktifkan jentera UPU menarik pengundi mengundi jamaah.
Penulis bagi tahu, jika nak kuatkan UPU bekerja tarik pengundi bukan sebarkan secara umum berita begini. Malah yang sebarkan berita AJK Kawasan sendiri, UPU akan terima bulat-bulat apa yang dicakapkan AJK kawasan . Semangat mereka akan lemah bila terima berita sebegini.
Berita melemahkan ini bukan sahaja akan melemahkan jentera malah melemahkan semangat pengundi yang sudah berniat mengundi jamaah. Inilah yang lawan mahu.
Jika nak minta UPU tambah pengundi tumpu terus kepada UPU terbabit, bagi tahu berapa bilangan pengundi yang perlu dicari lagi oleh UPU berkenaan. Bukan sebar berita secara terbuka kepada semua UPU seolah-olah berita itu benar.
Sehinggakan calon dun pun penulis nampak gelisah bila berita ini disebar begitu rupa. Penulis jumpa dengan calon dun bagi tahunya jangan percaya dengan berita-berita khabar angin. Yakinkan beliau dengan fakta undi yang pernah penulis bagi tahunya bila berjumpa semasa penulis balik bercuti dari luar negara.
Penulis dah bagi tahunya fakta undi pilihanraya lalu bahawa undi orang Melayu jamaah menang. Sebelum ini kalah kerana undi bukan Melayu tak beri kepada jamaah. Jika undi bukan Melayu beri dah banyak kali jamaah menang.
Fakta ini bukan sahaja pernah penulis bagi kepadanya, sebelum berangkat ke luar negara penulis dah bagi kepada jentera kawasan supaya mereka tidak terpengaruh dengan propaganda saraf yang melemahkan. Namun, mungkin keadaan semasa yang menyebabkan mereka terpengaruh dengan berita saraf ini.
Penulis minta calon dun jangan risau dengan undi Melayu dan minta beliau panggil TPJ 1 datang ceramah untuk tingkatkan undi bukan Melayu. Penulis puji calon dun kerana terus angkat telefon TPJ 1 minta tolong ceramah di kawasan.
Dua malam sebelum pilihanraya TPJ 1 turun berceramah di lokaliti bukan Melayu dan cukup berkesan meningkatkan undi bukan Melayu. Penulis juga puji kerajinan dan kesungguhan calon dun berkempen hampir ke setiap rumah orang India bersama jentera kempen kawasan.
Penulis minta SU jentera berbuat sesuatu melalui facebook dan sms untuk pulihkan semula semangat petugas dan pengundi. Syukurlah , tiga hari sebelum pilihanraya berita 68:32 sudah tidak lagi dipercakapkan oleh petugas dan pengundi .
Hari mengundi , sebelum mengundi penulis lawat beberapa pusat mengundi. Bila lawat pusat mengundi Cina , penulis lihat sokongan luar biasa orang Cina berhimpun memberi sokongan di luar pusat mengundi.
Penulis dah dapat keyakinan calon jamaah akan menang kerana tahu undi Melayu tetap akan dimenangi jamaah. Pun begitu penulis, tetap hubungi petugas banyak UPU untuk pastikan semua pengundi jamaah keluar mengundi.
Bila keputusan diperolehi , ternyata seperti yang penulis jangka calon jamaah masih kekal menang undi orang Melayu walaupun peratusnya menurun. Jumlah undi orang Cina pula melonjak melebihi peratus yang diterima pada pilihanraya 2008.
Undi orang India berkemungkinan 50:50 dilihat dari sokongan mereka di pusat mengundi .Petugas hindraf juga tidak berkempen menentang jamaah di kawasan kerana bagi mereka servis wakil rakyat jamaah kepada orang India baik. Mereka sebaliknya berkempen menentang calon PR di dun dan parlimen jiran walaupun mereka sendiri pengundi di kawasan penulis.
Kemenangan menambah majoriti menutup sementara mulut mereka yang memperkecilkan keputusan jamaah kawasan memilih calon dun. Menutup sementara mulut individu yang sering mengkritik jentera kawasan, kononnya tidak bergerak, tidak tahu buat kerja, tidak ada strategi dan macam-macam.
Strategi memperkenalkan calon dun setahun setengah sebelum pilihanraya sebenarnya cukup memberi kesan kerana mampu menutup kelemahan wakil rakyat sebelum ini.
Walaupun di hari pilihanraya , lawan masih cuba menonjolkan kelemahan wakli rakyat lepas, namun tidak memberi kesan yang besar kerana calon dun sudah turun awal bertemu pengundi.
Selain bersyukur kepada Allah, tahniah dan pujian harus diberikan kepada jentera kawasan di semua peringkat . Semua petugas ada sumbangan terhadap kemenangan jamaah termasuk yang menadah tangan berdoa kepada Allah.
Mereka bekerja bukan hanya semasa kempen pilihanraya. Mereka sudah buat gerak kerja pilihanraya sebaik berakhir pilihanraya 2008. Daftar pemilih baru hingga capai angka ribu, siri ceramah kelompok berterusan, sentiasa buat semakan pemilih baru dan tambahan di samping gerak kerja kebajikan dan cakna rakyat sepanjang lima tahun.
Janganlah ada mendabik dada bahawa kerana dialah calon jamaah menang, kerana dialah dalam masa sebulan telah mengimejkan calon jamaah diterima pengundi. Allah Maha Mengetahui.
Penulis juga memuji petugas yang tidak bersetuju keputusan meletakkan calon dun jamaah, namun mereka tetap bekerja memenangkan calon dun jamaah. Walaupun ada juga yang pergi bertugas di tempat calon yang disukai, tidak mengapa asalkan mereka tidak melakukan sabotaj terhadap jamaah.
Piilhanraya kali ini memberi pengajaran kepada kita, bahawa tidak semestinya calon yang kita rasa calon boleh menang akan menang dan calon yang kita rasa boleh kalah akan kalah.
Kita boleh dengan yakin berkata, calon bukan pilihan kita akan kalah, calon kesukaan kita ‘Sebelah Kaki Ke Putrajaya’. Hakikatnya, hanya Allah penentu segalanya.
sumber :- Tulahan
0 comments:
Post a Comment