Kenapa Takut Gopal Sri Ram...?

on Oct 30, 2014





Dulu Anwar Dikata Takut Dengan Shafee, Kenapa Sekarang Takut Juga Dengan Gopal Sri Ram?


Masuk hari kedua perbicaraan rayuan kes liwat Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan, pertikaian terhadap kedudukan peguam Gopal Sri Ram tiba-tiba saja mulai kedengaran. 

Isunya cumalah kerana Gopal Sri Ram yang menjadi peguam Anwar ini pernah menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini dan keadaan itu dikatakan boleh mempengaruhi lima hakim yang mendengar rayuan Ketua Pembangkang itu daripada membuat keputusan yang bebas dan adil.

Tambahan pula, Majlis Peguam pada mesyuarat 15 Mac lalu juga pernah mengemukakan usul agar hakim kanan atau hakim mahkamah lebih tinggi yang bersara dilarang mewakili anak guam mereka di mahkamah atas alasan yang sama.

Dengan kedudukan Gopal Sri Ram mewakili Anwar dalam kes rayuan terakhirnya ini dan barangkali melihat kepada isu-isu kredebiliti Saiful Bukhari yang berjaya dibangkitkannya dengan kemas, teratur dan meyakinkan, mungkinlah kerana itu pertikaian terhadap peranannya sebagai peguam mula dipertikaikan.

Bukan saja Gerakan melalui Ketua Pemudanya, Tan Keng Liang yang bersuara meminta Majlis Peguam menyatakan pendirian terhadap perkara ini, bahkan sekumpulan peguam pro UMNO turut juga bersuara.

Kumpulan peguam yang diketuai oleh Zulkifli Noordin, bekas calon BN Shah Alam, dalam satu kenyataan turut menuntut Majlis Peguam menyatakan pendiriannya berhubung perkara ini untuk mengelakkan dianggap mengamalkan sikap "double standard".

Adalah dipercayai juga menjelang detik-detik berakhirnya kes rayuan Anwar ini, lebih ramai lagi pihak berkepentingan seperti pemimpin politik dan NGO, akan tampil bukan saja untuk menyatakan bantahan terhadap sikap Majlis Peguam itu tetapi juga tentang kedudukan Gopal Sri Ram yang dianggap boleh mempengaruhi para hakim yang mendengar kesnya

Bantahan terhadap kedudukan Gopal Sri Ram ini sebenarnya agak pelik kerana walaupun Majlis Peguam ada membuat usul berkenaan perkara itu tetapi Mahkamah Persekutuan sebagai responnya kemudiannya memutuskan bahawa hakim-hakim bersara boleh muncul sebagai peguam dalam kes-kes sivil di mahkamah dengan hujah   Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak seseorang untuk meraih pendapatan bagi dirinya.

Ketua Hakim Negara, Ariffin Zakaria sendiri pada 2013 pula pernah berkata, hakim yang bersara bebas bertindak sebagai peguam kerana mahkamah bertindak berasaskan merit.

Berdasarkan hakikat ini, secara logiknya tiada isu lagi bagi mana-mana bekas hakim untuk menjadi peguam atau dipertikaikan pendirian Majlis Peguam.

Peguam Shafee Abdullah yang menjadi ketua pendakwa dalam kes rayuan Anwar ini bagaimanapun tidak bimbang dengan kehadiran Gopal Sri Ram kerana ia merupakan hak masing-masing serta tiada sekatan daripada berbuat demikian.

Isunya, kenapakah ada pihak lain yang takut dengan kehadiran Gopal Sri Ram sebagai peguam ini?

Adakah ini sebagai persiapan awal mencari helah dan alasan kiranya Anwar didapati bebas nanti?

Jika dulu ketika Anwar mempertikaikan perlantikan Shafee Abdullah yang diketahui rapat dengan UMNO serta didapati berada di rumah Najib ketika Saiful membuat aduan diliwat serta berulangkali cuba menyingkirkannya sebagai ketua pasukan pendakwa, kenapakah beliau ditempelak?

Ketika itu Anwar diselar dan dipersenda kononnya takut kalah dalam kes rayuannya dan menghuni penjara sekali lalu didakwa sengaja mencari helah untuk menyalahkan perlantikan Shafee sebagai alasannya.

Ada juga pemimpin UMNO yang berkata, Anwar tidak seharusnya takut dengan Shafee kerana beliau hanyalah pendakwa tetapi yang menentukan bersalah atau tidak adalah hakim.

Tapi apa sudah jadi sekarang? Mereka yang dulunya seolah-olah terbuka dan meminta Anwar jangan takut dengan Shafee yang menjadi pendakwa, rupa-rupanya turut takut dengan Gopal Sri Ram yang hanya bertindak sebagai peguam.

Bolehkah dipulangkan "paku buah keras"  bahawa yang menentukan bersalah atau bebas adalah hakim dan bukannya peguam daripada kalangan bekas hakim?

Dengan mempertikaikan kehadiran Gopal Sri Ram, apakah mereka ini turut tidak percaya lagi dengan sistem kehakiman kita?

Semua ini bukan saja membuktikan bahawa dunia ini bulat dan kehidupan sebenarnya bagaikan roda, tetapi  inilah juga yang pepatah selalu mengingatkan, "kata dulang paku serpih, mengata orang rupanya diri sendiri yang lebih."     ( SH 30/10/2014)

Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List