Percaturan Ong Tee Keat :- MCA, Bebas atau Pembangkang

on Dec 6, 2011

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh6z2s2mqoUYrMVlqC0loFj5G_NF1N-DBH7uACdxe9BlAFkva11Dp0IipqH81Jy7k0LpMq63yvmE09hnujvr-6ha2pSXxxj8e9fWtDq9MqtGGfkP8tl6xzWIsjU-ObM5xEOWFcVwSjpk0e1/s400/ong_tee_keat_a.jpg


Survival merupakan satu keperluan dalam kehidupan seharian. Baik untuk haiwan, tumbuhan, mikroorganisma, begitu juga dengan umat manusia.Jika haiwan dan tumbuhan memerlukan makanan serta air untuk kelangsungan hidup, sebagaimana juga umat manusia. 

Namun untuk manusia, ia bukan sahaja memerlukan makanan dan air untuk terus hidup, malahan juga memerlukan kemahiran-kemahiran hidup untuk terus bersaing dalam dunia yang kian kompetitif ini. 


Pepatah ada mengatakan siapa yang kuat dan berpengaruh, maka dialah yang akan terus hidup dan berkuasa. 
Dalam konteks ini, memang benar orang yang kuat akan terus hidup manakala yang lemah dan tidak bermaya akan tersisih serta terpinggir. Realitinya,  ini adalah asam garam kehidupan. 

Hanya mereka yang tabah, cekal, berani dan sanggup mengambil risiko beroleh kejayaan. Begitulah rintangan dan ranjau yang perlu dihadapi oleh manusia yang bergelar sebagai pemimpin politik. 

Dunia politik cukup zalim. Ia tidak mengenal mangsa mahupun warna kulit seseorang. Politik yang sebenar-benarnya dalam suasana hari ini lebih bersifat Machiavellian yang mana untuk berkuasa, musuh atau seteru politik perlu ditundukkan terlebih dahulu. Jika tidak, dirinya mungkin tersungkur kemudiannya. 
Tidak semestinya yang berjuang berpaksikan kepada kebenaran akan terus gagah berdiri tetapi sebaliknya yang berlaku. Prinsip kebenaran, kejujuran bahkan ketelusan bukan sahaja tidak mendapat tempat bahkan sesuatu yang asing dalam budaya politik semasa. 

Lama atau singkatnya jangka hayat kerjaya politik seseorang pemimpin kini bergantung kepada sejauhmanakah pemimpin tersebut membawa diri di mata pucuk kepimpinan tertinggi parti. Lebih menggerunkan, ada juga naik kerana kabel politik bukan kerana meritnya. 

Menyebut mengenai perkara ini, teringatkan penulis dengan nasib beberapa pemimpin politik yang pada zahirnya berpotensi, boleh menang dan memenuhi ciri-ciri seorang calon pilihan raya yang boleh menang seperti yang dimaksudkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. 

Salah seorang pemimpin yang barangkali kini sedang mencongak masa hadapan kerjaya politik beliau ialah Mantan Menteri Pengangkutan dan Mantan Presiden MCA, Dato’ Sri Ong Tee Keat. 

Banyak berita telah diperkatakan mengenai Tee Keat sejak dua tiga bulan kebelakangan ini. Daripada  khabar angin yang mendakwa beliau akan berhijrah ke pakatan pembangkang, kepada kemungkinan kekal dalam parti MCA hinggalah kepada pertimbangan untuk bertanding sebagai calon bebas. 

Agak malang bagi Tee Keat berada dalam keadaan ini. Mungkin ada yang mengatakan segala keadaan malang yang menimpa beliau sekarang adalah kerana kurang bijaknya beliau dalam mengatur strategi. Tetapi sebagai seorang pemimpin politik yang sentiasa berpegang teguh kepada prinsip dan dipertanggungjawabkan untuk menstabilkan parti,  tidakkah anda juga akan berbuat demikian? 

Seorang pemimpin yang bertanggungjawab adalah seorang pemimpin yang sentiasa bersedia menangani dan memerangi sesuatu isu buruk dalam parti secara langsung (hands-on). Kegagalan berbuat demikian hanya bererti pemimpin itu gagal kepada dirinya bahkan juga kepada pengundi yang menyokong beliau. 
Tee Keat boleh dianggap sebagai satu-satunya pemimpin yang konsisten dengan pendirian berhubung isu-isu rakyat selain Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah yang terkenal dengan pendirian mengenai isu mahasiswa. 

Dari awal kerjayanya pada 1989 hinggalah kini yang mencecah 22 tahun, masyarakat berbilang kaum di Ampang Jaya dan Pandan menjadi saksi kepada keazaman seorang wakil rakyat yang bekerja tanpa mengenal erti penat lelah biarpun bukan lagi berjawatan dalam Kabinet dan Parti. 
Apapun, keazaman tinggi yang ditunjukkan itu mungkin tidak membawa sebarang makna jika seorang calon boleh menang seperti Tee Keat dipinggirkan terus. 

Masa kini menjadi musuh terbesar untuk Tee Keat. Seandainya PRU 13 dilangsungkan dalam tempoh terdekat, beliau perlu memikirkan beberapa aspek seperti jentera kempen, dana yang mencukupi dan sebelum membuat keputusan penting yang mungkin akan mencorakkan survivalnya selepas ini. 
Menyedari bahawa kedudukan dan penerimaan perwakilan terhadap Tee Keat dalam MCA sudah hampir tiada, Tee Keat berkemungkinan perlu memutuskan platform manakah yang paling sesuai untuk meneruskan perjuangannya. 

Apakah perjuangan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), bertanding atas tiket pembangkang ataupun bertanding sebagai calon Bebas? Jika dilihat dari jauh, ketiga-tiga platform merupakan platform yang menarik untuk dipertimbangkan tetapi setiapnya datang dengan pro dan kontranya. 

Melihat kepada ketuntasan pendirian dan perjuangan Tee Keat dalam kerjaya politiknya sekian lama, agak sukar untuk melihat beliau berhijrah ke pakatan pembangkang. Dengan perwatakan beliau yang tegas, serius, dan lurus bendul, sikap berkenaan mungkin tidak disenangi oleh segelintir pemimpin pembangkang. 
Tambahan pula, sebagai Mantan Menteri Pengangkutan dan Mantan Presiden MCA, di manakah beliau  akan diletakkan dalam hierarki nanti? Parti manakah yang sesuai dan sebati dengan jiwanya? 

Sudah tentu kuda lama dalam DAP seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh tidak sanggup untuk membenarkan seorang pemimpin berperwatakan tegas seperti Tee Keat menenggelamkan suara-suara mereka. 
Jika pakatan pembangkang bukan alternatif yang sesuai, bertanding sebagai calon Bebas mungkin merupakan opsyen yang lebih baik untuk Tee Keat. Yang pasti, bergelar sebagai calon Bebas akan memberi kelebihan kepada beliau dari segi kebebasannya untuk menyuarakan pendapat tanpa perlu terikat kepada konvensyen parti. 

Inilah sebenarnya yang mahu dilihat oleh rakyat yakni seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, sentiasa peka kepada hal-ehwal rakyat dan bercakap apa yang benar dan bukan atas kehendak parti semata-mata. 
Dengan imej serta persepsi umum terhadap parti-parti politik agak negatif, pemilihan untuk tidak berparti boleh menyelamatkan Tee Keat daripada terkena tempias amarah rakyat yang mungkin menaruh syak-wasangka terhadap niat parti-parti politik. 

Dari aspek peluang untuk memenangi kerusi Parlimen Pandan di bawah tiket Bebas, segalanya adalah mungkin dan terbuka. Semuanya banyak bergantung kepada kemampuan Tee Keat untuk menggembleng tenaga jentera pasukannya dengan baik, memiliki manifesto yang memenuhi citarasa penduduk dan sudah pastinya, sokongan tidak berbelah bahagi daripada penduduk. Walaupun sokongan penduduk Pandan terhadap Tee Keat umumnya masih baik, tetapi itu tidak bermakna sokongan itu akan kekal selama-lamanya.

Sebagai pemimpin politik yang sudah lama berkecimpung dalam politik, Tee Keat amat menyedari realiti pahit ini dan berada dalam kesiapsiagaan. Sejarah telah membuktikan bahawa rakyat akan menyokong pemimpin yang benar-benar memahami kehendak mereka manakala yang datang dengan hasrat sekadar meraih undi tetapi tidak mahu bekerja, calon sedemikian akan ditolak bulat-bulat. 

Seluruh penduduk di bumi Pandan bakal menantikan dengan penuh debaran apakah wakil rakyat sekarang, YB Dato’ Sri Ong Tee Keat akan dicalonkan semula pada PRU 13 akan datang. Mereka juga sudah tentu ingin tahu apakah percaturan beliau yang berikutnya jika tidak dicalonkan? 

Jika anda adalah Tee Keat, apakah langkah anda yang seterusnya?


Oleh Markus Lim

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia 


Photobucket

MAHB nafi, dakwa AirAsia lobi sistem bagasi automatik

on




Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mendedahkan kandungan surat-menyurat bagi membuktikan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia pernah meminta agar diadakan sistem pengendalian bagasi (BHS) automatik sepenuhnya, yang dipercayai membawa kepada kelewatan pembinaan terminal KLIA2.
Kenyataan dikeluarkan MAHB malam tadi menyebut sebanyak 47 mesyuarat telah diadakan dengan AirAsia sejak April 2010 sehingga kini bagi membincang dan menyelesaikan kesemua permintaan AirAsia berhubung terminal tambahan itu yang khusus diadakan berhampiran KLIA demi perkhidmatan tambang murah.
“Minit mesyuarat yang dipersetujui sepenuhnya akan memberi gambaran mengenai perbincangan terperinci antara Malaysia Airport dan AirAsia berkenaan pembangunan KLIA2,” kata MAHB.
Bagi menjawab dakwaan AirAsia, MAHB menyertakan dua surat kedua-dua pihak terbabit - satu daripada  Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes bertarikh 16 Jun 2011 dan satu lagi surat daripada Pengarah Urusan MAHB Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid pada 10 Oktober lalu.
Petang semalam, AirAsia menafikan pihaknya meminta MAHB menyediakan terminal KLIA2 lebih besar, yang kini kosnya dilaporkan mencecah RM3.6 hingga RM3.9 bilion -  meningkat sekali ganda  berbanding anggaran asal.
Dalam respons menjawab kenyataan MAHB dikeluarkan minggu lalu, AirAsia menegaskan, pihaknya telah lama memberi amaran kepada MAHB bahawa kos pembinaan terminal KLIA2 boleh meningkat kepada RM3.6 bilion hingga RM3.9 bilion satu hari nanti.
“Menerusi surat bertarikh 30 November 2009, AirAsia secara spesifik telah menyebut dan memberi MAHB amaran bahawa lokasi semasa di KLIA Barat tidak sesuai untuk pembinaan dan kawasan itu sudah pasti lebih mahal berbanding bajet RM2 bilion yang telah dirancang.
“AirAsia juga telah membuat anggaran bagi MAHB bahawa kos pembinaan akan meningkat kepada RM3.6 bilion hingga RM3.9 bilion. Kesemua ini sudah dibangkitkan dalam surat bertarikh 30 November 2009,” kata AirAsia dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Syarikat itu dijadual mengadakan sidang media khas hari ini.
Selasa lalu, Bashir berkata terminal penerbangan tambang rendah yang baru KLIA2, dengan kemudahan kelas dunia untuk mengendalikan 45 juta penumpang setiap tahun, dijangka menelan kos antara RM3.6 bilion hingga RM3.9 bilion dan akan memulakan operasi pada April 2013.
Bashir juga berkata jambatan udara akan dipasang untuk kegunaan semua penumpang termasuk mereka yang kurang upaya, wanita mengandung dan kanak-kanak.
“Kami berharap syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA2 akan menyokong keputusan kami dengan menggunakan jambatan udara memandangkan berdasarkan kos kiraan hanyalah 25 sen setiap penumpang dan orang awam telah menunjukkan kesanggupan untuk membayar bagi penggunaan jambatan udara,” kata beliau.
Bashir berkata kerja-kerja ke atas KLIA2 itu, meliputi kawasan seluas 257,000 meter persegi, yang bermula Oktober 2009, kini telah pun siap 42 peratus dan akan mempunyai 68 balai berlepas. Ia adalah lebih daripada mencukupi untuk menampung penumpang kos penerbangan tambang rendah seperti yang dikehendaki oleh standard industri.
Beliau juga berkata landasan ketiga yang baru dengan kelebaran empat kilometer kini sedang dibina untuk KLIA2, yang akan mampu menerima pesawat A380, pesawat penumpang terbesar dunia.
KLIA2 hanyalah 1.5 kilometer dari bangunan terminal utama KLIA, dan jejambat/laluan atas yang baharu sedang dibina bagi menghubungkan jalan utama dari KLIA ke KLIA2, yang bermakna KLIA2 adalah lebih dekat berbanding LCCT.
Selain itu, AirAsia menjelaskan, siasatan pihaknya sendiri menunjukkan anggaran kos membina KLIA2 hanyalah sekitar RM700 juta berbanding kos asal MAHB RM2 bilion.
Malah menurut AirAsia, surat Bashir bertarikh 9 Ogos lalu kepada Pengerusi AirAsia Tan Sri Rafidah Aziz mengesahkan bahawa terminal KLIA2 sudah cukup memadai untuk menampung sekitar 30 juta penumpang setahun.
Menurut kandungan surat pertama, Fernandes telah membawa tiga opsyen kepada MAHB berkenaan BHS tetapi menggesa agar agensi itu melaksanakan opsyen ketiga iaitu BHS automatik sepenuhnya.
Fernandes juga menggariskan anggaran pertumbuhan AirAsia dengan berkata kadar pengguna dijangka mencecah 28.7 juta orang pada 2015, 45.3 juta pada 2020 dan 60.3 pada 2025.
“Kami percaya Tan Sri (Bashir) akan faham dan akan menyokong keputusan AirAsia, memandangkan ia akan membawa manfaat yang signifikan kepada AirAsia,
MAHB dan negara secara keseluruhan,” kata suratnya.
Dalam pada itu, surat yang ditulis kepada Pengerusi AirAsia X Tan Sri Rafizah Aziz, MAHB menjelaskan bahawa selepas surat Fernandes, satu mesyuarat telah diadakan membabitkan kesemua pihak pada 1 Julai untuk membincangkan cadangan BHS automatik sepenuhnya.
“MAHB telah membangkitkan pada mesyuarat ini bahawa kemajuan semasa pembinaan KLIA2 telah mencapai hampir 40 peratus mengambil kira jadual penyelesaiaan Oktober 2012, sebarang perubahan dalam sistem BHS kemungkinan besar akan memberi impak ke atas tarikh penyempurnaan  pembinaan,” katanya.
Ia juga menjelaskan bahawa opsyen kedua, versi yang sudah diubahsuai telah dipersetujui di mana beberapa ciri daripada sistem BHS akan disertakan mengikut kesesuaian.
Bagaimanapun, MAHB berkata, lembaga pada mesyuaratnya pada 4 Julai lalu telah menimbulkan kebimbangan bahawa AirAsia kemungkinan akan mengubah pendirian pada masa depan berkenaan BHS dan sukar untuk memenuhi sebarang perubahan.
“Maka, lembaga pengarah memutuskan untuk melaksanakan opsyen ketiga (syor awal AirAsia) bagi mengadakan BHS automatik sepenuhnya, yang ada kapasiti dan keanjalan memenuhi pertumbuhan dan pembangunan berterusan AirAsia dalam jangka panjang,” katanya lagi.



sumber :-  malaysianinsider
Photobucket

Kontrak Alstom: Bekas MB Perlis nafi terima habuan RM25 juta

on



Meskipun adanya hasil siasatan terperinci oleh pihak berkuasa Switzerland, veteran Umno Tan Sri Abdul Hamid Pawanteh menafikan pernah menerima habusan daripada syarikat gergasi kejuruteraan Perancis Alstom yang memperoleh kontrak membina loji jana kuasa di Perlis lebih dua dekad lalu.
Bekas menteri besar Perlis dan bekas Speaker Dewan Negara ini berkata demikian dalam reaksinya berhubung laporan Straits Times Singapura bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menggeledah pejabat Teknologi Tenaga Perlis Consortium (TTPC), yang sebahagiannya dimiliki oleh beliau.
Semalam, akhbar itu melaporkan bahawa veteran Umno berkenaan secara langsung dikaitkan dalam dakwaan rasuah Alstom dalam memperoleh kontrak berkenaan.
“Saya ingin mengatakan bahawa dakwaan yang terdapat dalam laporan itu tidak berasas sama sekali dan berniat jahat,” kata Abdul Hamid (gambar) dalam kenyataan dihantar kepadaThe Malaysian Insider malam tadi.
Kata beliau, lembaga pengarah syarikat termasuk Ti Chee Liang yang dinamakan dalam kertas mahkamah Switzerland tidak menerima 7.5 juta franc Swiss (RM25.5 juta) untuk membantu Alstom Malaysia mendapatkan kontrak membina loji jana kuasa di Perlis akhir 1990-an.
“Saya mengesahkan tidak ada sebarang wang diterima oleh ahli lembaga pengarah termasuk saya,” kata veteran Umno ini.
Abdul Hamid menjelaskan bahawa keputusan untuk menganugerahkan kontrak adalah sebulat suara dan kontrak telah diberikan pada 30 November 1999 kepada ABB ketika beliau merupakan lembaga pengerusi. ABB kemudian dibeli oleh Alstom.
Beliau merupakan menteri besar Perlis antara 1986 dan 1995 sebelum dilantik sebagai pengerusi TTPC dari 1996 hingga 2005.
Abdul Hamid memberitahu bahawa beliau tidak tahu-menahu mengenai siasatan ke atas Alstom Malaysia oleh pihak berkuasa Switzerland.
“Sehingga hari ini, saya tidak dimaklum atau dipanggil oleh mereka untuk memberi apa-apa keterangan atau menyediakan sebarang butiran, saya terkejut pihak berkuasa Switzerland menuduh saya dan Ti mengenai salah laku, kewangan atau sebagainya.
“Oleh itu, saya teleh mengarahkan peguam di Switzerland untuk memulakan prosiding membersihkan nama saya,” kata beliau sambil menambah, “saya mengalu-alukan sebarang siasatan berkenaan dakwaan tidak berasas ini.


sumber :-  malaysianinsider
Photobucket

Terpulang kepada Aziz Bari jika mahu keluar UIA, kata Rektor

on



Pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berkata terpulang kepada pensyarah undang-undang  Prof Dr Abdul Aziz Bari jika mahu meninggalkan pusat pengajian tinggi itu, dipercayai ekoran siri tekanan dihadapinya sekarang.
Rektor UIA Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin yang dihubungi The Malaysian Insiderberkata: “Keputusan itu hanya Aziz yang berhak menjawabnya.”
“Itu semua terpulang kepadanya,” katanya ketika ditanya berkenaan perkara itu.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat berkenaan perkara itu, sebaliknya menyerahkannya kepada rektor untuk memberikan kenyataan.
“Saya tiada maklumat tentang perkara itu, mungkin boleh dirujuk kepada Rektor UIA,” katanya.
Kelmarin, The Malaysian Insider melaporkan bahawa Aziz tidak menafikan akan meninggalkan UIA awal tahun depan ekoran beberapa siri tekanan yang dikenakan ke atasnya.
Aziz disiasat atas alasan telah memudaratkan imej universiti dan juga  polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, termasuk siasatan atas dakwaan  mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung isu Jais dan gereja  baru-baru ini.
“Selama ini pun, sebelum isu Sultan ini timbul, universiti sudah sedia tidak senang dengan saya,” katanya dengan mengatakan bahawa surat tunjuk sebab yang diberikan UIA Oktober lalu merupakan surat tunjuk sebab ketiga.
“Itu sudah cukup untuk menunjukkan hebatnya tekanan ke atas UIA. Dalam kes ini kononnya pihak istana turut mengenakan tekanan. Ini semua menyukarkan saya untuk terus berada di UIA,” katanya lagi.
Insider turut difahamkan Aziz juga telah disenaraikan untuk kenaikan pangkat sebagai profesor gred ‘A’.
Bagaimanapun, katanya, UIA menghadapi dilema kerana kalau hendak mengekalkan beliau pun tak boleh apalagi hendak menaikkan pangkatnya.
“Jadi dalam keadaan demikian apa lagi pilihan saya selain meninggalkan UIA,” tambahnya.
Aziz menambah, beliau sedih kerana pelajar-pelajar yang menanggung risiko, khususnya yang mengikut pengajian doktor falsafah di bawah penyeliaannya.
Dalam pada itu sumber menambah, ada pihak yang tidak mahu UIA memecat Aziz kerana itu akan memburukkan imej Umno-BN.
“Apa pun surat tunjuk sebab UIA itu tidak cukup kuat untuk memecat beliau,” katanya lagi.
Akhir bulan lalu, Aziz memberitahu The Malaysian Insider bahawa beliau tiada langsung cita-cita mahu menyertai politik ataupun bertanding pilihan raya meskipun kalangan pemimpin Umno mencabarnya berbuat demikian.
Katanya, memberi pandangan di pentas ceramah pembangkang termasuk PKR baru-baru ini bukan bermakna beliau berhasrat mahu terjun ke dalam arena politik.


sumber :-  malaysianinsider
Photobucket

NGO, parti Islam bidas Umno kerana gagal kawal MCA

on



Pelbagai pihak tampil membidas apa yang dianggap mereka sebagai keceluparan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang didakwa memperlekehkan hukum Hudud dan menuntut beliau meminta maaf dari seluruh umat Islam.

NONETurut menjadi sasaran bidasan mereka yang berang itu adalah rakan parti komponen BN - Umno kerana didakwa tidak mengawal tingkah laku biadap rakannya itu.

“PERKASA minta Umno ajar sikit mulut celupar presiden MCA yang tidak tahu ujung pangkal menyatakan Hudud akan jatuhkan ekonomi Malaysia jika dilaksanakan di negara ini.

“Bagi PERKASA, Dr Chua masih kabur tentang Hudud. Sepatutnya dia minta nasihat Umno jika mahu buat kenyataan begini. Untuk rekod PERKASA menyokong Hudud. Itu hukum Allah,” kata setiausaha kumpulan pendesak Melayu itu, Syed Hassan Syed Ali melalui kenyataan medianya.

Menurut beliau, pemimpin Umno perlu menasihatkan presiden MCA itu supaya menarik semula kenyataannya yang salah terhadap hukumHudud.

“PERKASA tidak meminta Dr Chua memohon maaf kerana sedar beliau tidak faham tetapi perlu untuk menarik balik kenyataan yang dikeluarkan itu,” katanya sambil menambah jika tidak PERKASA akan mengajar MCA dengan secukupnya pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Berniat jahat

Sementara itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yberpendapat kenyataan Chua yang dianggap biadap itu sebagai indikasi kepada perasaan kurang hormat beliau terhadap ajaran Islam.

NONESetiausaha Agung ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim dalam satu kenyataan media berkata kenyataan Chua berniat jahat serta bersifat dangkal dan boleh mencetuskan ketegangan politik serta agama yang sama sekali tidak diingini.

“ABIM merasa amat kecewa di atas kegagalan beliau mendalami serta memahami Islam secara keseluruhannya, di samping kecewa di atas kegagalan pihak-pihak yang berkenaan untuk memberikan kefahaman yang sepatutnya kepada beliau.  

“Memandangkan ia bukanlah kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan yang bersifat begitu (menghina hukum Islam), ABIM menggesa permohonan maaf secara terbuka dibuat oleh beliau kepada seluruh umat Islam di negara ini,” kata Mohamad Raimi.
Umno bersekongkol

Sementara itu, Harakahdaily pula melaporkan ketua penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga melahirkan rasa kesal kerana Umno terus bersekongkol dengan MCA mengkritik hukum Allah.

NONE"PAS menyedari bahawa tindakan berterusan beliau sekadar untuk menutup kegagalan pentadbiran beliau dalam MCA sehingga pelbagai masalah dalaman masih belum berjaya diatasi.

"Kegagalan beliau meyakinkan masyarakat cina terhadap BN cuba ditutup dengan menimbulkan kritikan trhadap isu hudud. Namun apa yang dikesalkan ialah sikap diam membisu Umno terhadap penghinaan berterusan ini," kata Tuan Ibrahim dipetik akhbar rasmi PAS itu.

Katanya, sikap membisu Umno untuk menegur kebiadapan Chua membuktikan kepada umum siapa sebenarnya yang menjadi kuda tungangan.

Menurut Tuan Ibrahim yang juga persuruhjaya PAS Pahang, parti itu telah berusaha membentangkan enekmen hudud di Terengganu dan Kelantan tetapi ia bukan sahaja tidak disokong tetapi diperlekehkan dengan dakwaan kononnya ia bertentangan dengan hudud sebenar.

azlan"PAS telah berulang kali menyatakan kalau apa yang dibentang tidak tepat dengan hudud sebenar, Umno seharusnya membentang hudud yang sebenar dan PAS akan pasti meyokongnya.

"Jangan hanya tahu kritik, bila diminta sampai kini gagal kemukakan yang sebenar menurut perspektif Umno," katanya.







sumber :-  malaysiakini
Photobucket

PR Selangor Harus Menambah Kerusi Dalam Pilihanraya ke-13

on


Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Pakatan Rakyat Selangor (Pakatan) supaya menambah kerusi Dun dan Parlimen selain mengukuhkan kedudukan di Selangor.

Laungan ini dilontarkan di hadapan hampir 5,000 hadirin dalam Majlis Rapat Rakyat semalam sebagai isyarat jelas bahawa Pakatan mahu terus membawa perubahan dan kesejahteraan untuk rakyat Selangor selain menawan Putrajaya.

Katanya, Pakatan mempunyai hala tuju yang jelas untuk membawa negara ke arah yang lebih mantap bersandarkan kepada Buku Jingga yang sudah terbukti keberkesanannya sejak dilancarkan.

“Sekarang tanggungjawab di Selangor bukan setakat mempertahankan, Selangor bertanggungjawab menambah kerusi negeri dan Parlimen,” katanya.

Jelas beliau, perjuangan Pakatan bukan hanya bersandarkan kepada slogan tetapi memperjelaskan kepada rakyat apa program yang ingin dilakukan apabila ke Putrajaya.

Pakatan turut komited untuk mengangkat semula martabat Bahasa Malaysia yang penguasaannya dilihat semakin hambar. Beliau mahu jadikan Bahasa Malaysia bahasa yang bukan untuk orang Melayu sahaja bahkan untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Saya nak ulang dihadapan pemimpin Pas, PKR dan DAP kita ambil alih Putrajaya, kedudukan Bahasa Melayu akan diangkat dan dimartabatkan yang tidak pernah kita saksikan sejak kita Merdeka,” laung Anwar.

Selain itu katanya, tatakelola yang baik oleh pimpinan negeri dan gerak kerja tersusun tanpa korupsi adalah kunci kejayaan pentadbiran Selangor.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar bekerja keras sebagai satu pasukan bagi memastikan kemenangan pada Pilihanraya akan datang.

“(Perdana Menteri) Datuk Najib (Razak) kata kita akan rampas Selangor, (Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin (Yassin) kata kita akan tawan Selangor. Saya nak jawab kamu (Umno) boleh impikan untuk menawan Selangor, kami Insya-Allah akan sampai ke Putrajaya,” katanya.

Photobucket

PAPA GOMO Akan Di Saman...?

on



Satu laporan polis akan dibuat pada, 6hb Disember 2011, pada pukul 2 petang di Balai Polis Jalan Travers ke atas laman sesawang www.papagomo.com yang dimiliki oleh Wan Muhammad Azri bin Wan Deris, pemegang kad pengenalan bernombor 830121-03-5019.

Wan Muhammad Azri bin Wan Deris dalam laman web beliauwww.papagomo.com telah melakukan fitnah terhadap diri saya pada artikel beliau berjudul “AMIN ISKANDAR PENULIS THE MALAYSIAN INSIDER AKUI DICABUL ANWAR IBRAHIM” pada capaian :
http://www.papagomo.com/2011/11/amin-iskandar-penulis-malaysian-insider.html Tulisan ini dilakukan pada tarikh tertera di laman web tersebut : 26hb November 2011.


Fitnah tulisan Wan Muhamamad Azri atau Papagomo ini dipercayai dilakukan atas niat beliau mempertahankan Datuk Razali Ibrahim daripada penulisan dan kritikan saya terhadap Datuk Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan pada tulisan saya bertarikh 25hb November 2011 di capaian:
http://www.themalaysianinsider.com/opinion/article/razali-ibrahim-janganlah-bersikap-seperti-anak-kecil/

Tindakan membela Datuk Razali Ibrahim dengan cara membuat fitnah terhadap diri saya adalah satu tindakan yang tidak wajar dan seharusnya dilakukan dengan berhujah secara matang.

Sebagai seorang penulis dan blogger yang menyokong kebebasan bersuara dan menyatakan pandangan, laporan polis ini dilakukan bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan penulis blog untuk menulis, akan tetapi untuk mengekang budaya fitnah daripada terus menjadi amalan sesetengah pihak.

Semua media, penulis blog dan rakyat Malaysia dijemput hadir.
Sekian dimaklumkan,

Amin Iskandar
Blog:
www.aminiskandar.net



Photobucket

Ini Perhimpunan Umno terakhir sebagai parti berkuasa – Anwar

on




Umno kini sudah bersedia untuk disingkirkan dalam pilihan raya umum akan datang apabila tanpa segan silu menyelewengkan wang RM250 juta dan kemudian mempertahankan tindakan tersebut dalam perhimpunan agungnya yang lalu.

Menurut Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara itu menggambarkan moral Umno yang sudah buruk tetapi masih mahu mengaku mempertahankan Melayu.

“Hanya mereka yang tidak bermoral boleh melemparkan kata-kata penghinaan (ke atas Pakatan Rakyat), boleh mencuri RM250 juta, dan kemudian mempertahankan diri mereka.

“Kesalahan pertama adalah salah guna dana dan kedua ialah mempertahankan tindakan mereka,” kata Anwar sewaktu berucap di Shah Alam malam tadi.


Beliau berkata demikian di hadapan lebih 5 ribu rakyat yang hadir ke ‘Rapat Rakyat Datuk Menteri Besar Selangor dan para tetamu khas’ di Stadium Malawati malam tadi.

Beliau merujuk kepada skandal NFC melibatkan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang menerima RM250 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk menternak lembu.

Wang itu sepatutnya digunakan untuk memenuhi keperluan pasaran lembu tempatan tetapi sebaliknya ia digunakan NFC untuk membeli dua unit kondominium mewah di Bangsar, dua lot tanah di Putrajaya, bercuti ke luar negara, menunaikan umrah, dan membeli kereta Mercedes-Benz.

Justeru, kata Anwar, masanya sudah tiba untuk Umno disingkirkan kerana pimpinannya tergamak mempertahankan salah guna kuasa mereka pada perhimpunan yang sepatutnya membincangkan hal ehwal semasa orang Melayu.

“Ini Perhimpunan Agung Umno terakhir sebagai parti berkuasa. Pemimpinnya mempertahankan jenayah dan kuasa.

“Itu pun tanpa segan dan malu mereka menjerit ‘Kami Selamatkan Melayu’.
“Melayu begini harus dihumbankan,” kata Anwar tegas dan disambut tepukan gemuruh daripada hadirin yang khusyuk mendengar ceramahnya.

Turut hadir pada majlis rapat umum itu adalah pimpinan utama Pakatan Rakyat yang lain seperti penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden Pas, Datuk Seri Haji Hadi Awang, Mursyidul Am Pas, Datuk Niz Abdul Aziz Nik Mat, dan Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali.-

 http://www.keadilandaily.com/?p=24049


Photobucket

Najib Lebih Korup Daripada Pak Lah dan Dr Mahathir...?

on





Kedudukan Malaysia dalam indeks Persepsi Rasuah (CPI) antarabangsa adalah paling teruk dalam sejarah negara dan ia jelas menunjukkan kelemahan pentadbiran Barisan Nasional dibawah Datuk Seri Najib Razak.


Penasihat DAP, Lim Kit Siang menjelaskan, kedudukan Malaysia pada tangga ke-60 tahun ini memperlihatkan Najib lebih korup berbanding dua Perdana Menteri sebelumnya, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur memaklumkan, Malaysia sudah jatuh 13 anak tangga sejak di bawah pentadbiran Najib yang bermula pada tahun 2009.
"Pak Lah (Abdullah) dalam tahun 2003 sehingga 2008, Malaysia jatuh 10 anak tangga, dari kedudukan 37 kepada 47.


"Di bawah Tun Dr Mahathir, 22 tahun menjadi Perdana Menteri sungguhpun CPI dimulakan pada tahun 1995, masa itu Malaysia di tangga ke-23. Semasa dia bersara 2003 sudah jatuh ke tangga 37. Jatuh sembilan tangga dalam tempoh sembilan tahun.


"Tetapi untuk Datuk Seri Najib dalam tempoh dua tahun setengah, jatuh 13 anak tangga," katanya.
Beliau menambah, perkara ini langsung tidak disentuh oleh pemimpin dan perwakilan Umno dalam Perhimpunan Agung Umno 2011.


Sementara itu, Exco Pelaburan Perdagangan Selangor, Teresa Kok berkata, terdapat banyak perbezaan pentadbiran Perdana Menteri dahulu berdasarkan kedudukan CPI yang semakin merudum.


Beliau turut mempersoalkan adakah ini yang dinamakan membenteras rasuah dan gagasan 1Malaysia yang selama ini dilaungkan oleh pemimpin Umno-Barisan Nasional.
"Indeks Korupsi kita lihat ketika Pak Lah menjadi Perdana Menteri tahun 2004, Malaysia berada dalam kedudukan 39.


"Kita lihat selepas Najib menjadi Perdana Menteri pada tahun 2008, Indeks negara jatuh ke tangga 47. Tahun 2009 dan 2010 tangga ke-56 tetapi pada tahun ini telah jatuh ke kedudukan 60," katanya.


Beliau menjelaskan, pada tahun 2008 wang simpanan tunai di Selangor berjumlah RM632 juta tapi telah meningkat kepada RM1.2 billion sebagai bukti jelas Pakatan Rakyat lebih cekap dalam mengurus tadbir kewangan negeri.


Photobucket

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List