Percaturan Ong Tee Keat :- MCA, Bebas atau Pembangkang

on Dec 6, 2011

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh6z2s2mqoUYrMVlqC0loFj5G_NF1N-DBH7uACdxe9BlAFkva11Dp0IipqH81Jy7k0LpMq63yvmE09hnujvr-6ha2pSXxxj8e9fWtDq9MqtGGfkP8tl6xzWIsjU-ObM5xEOWFcVwSjpk0e1/s400/ong_tee_keat_a.jpg


Survival merupakan satu keperluan dalam kehidupan seharian. Baik untuk haiwan, tumbuhan, mikroorganisma, begitu juga dengan umat manusia.Jika haiwan dan tumbuhan memerlukan makanan serta air untuk kelangsungan hidup, sebagaimana juga umat manusia. 

Namun untuk manusia, ia bukan sahaja memerlukan makanan dan air untuk terus hidup, malahan juga memerlukan kemahiran-kemahiran hidup untuk terus bersaing dalam dunia yang kian kompetitif ini. 


Pepatah ada mengatakan siapa yang kuat dan berpengaruh, maka dialah yang akan terus hidup dan berkuasa. 
Dalam konteks ini, memang benar orang yang kuat akan terus hidup manakala yang lemah dan tidak bermaya akan tersisih serta terpinggir. Realitinya,  ini adalah asam garam kehidupan. 

Hanya mereka yang tabah, cekal, berani dan sanggup mengambil risiko beroleh kejayaan. Begitulah rintangan dan ranjau yang perlu dihadapi oleh manusia yang bergelar sebagai pemimpin politik. 

Dunia politik cukup zalim. Ia tidak mengenal mangsa mahupun warna kulit seseorang. Politik yang sebenar-benarnya dalam suasana hari ini lebih bersifat Machiavellian yang mana untuk berkuasa, musuh atau seteru politik perlu ditundukkan terlebih dahulu. Jika tidak, dirinya mungkin tersungkur kemudiannya. 
Tidak semestinya yang berjuang berpaksikan kepada kebenaran akan terus gagah berdiri tetapi sebaliknya yang berlaku. Prinsip kebenaran, kejujuran bahkan ketelusan bukan sahaja tidak mendapat tempat bahkan sesuatu yang asing dalam budaya politik semasa. 

Lama atau singkatnya jangka hayat kerjaya politik seseorang pemimpin kini bergantung kepada sejauhmanakah pemimpin tersebut membawa diri di mata pucuk kepimpinan tertinggi parti. Lebih menggerunkan, ada juga naik kerana kabel politik bukan kerana meritnya. 

Menyebut mengenai perkara ini, teringatkan penulis dengan nasib beberapa pemimpin politik yang pada zahirnya berpotensi, boleh menang dan memenuhi ciri-ciri seorang calon pilihan raya yang boleh menang seperti yang dimaksudkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. 

Salah seorang pemimpin yang barangkali kini sedang mencongak masa hadapan kerjaya politik beliau ialah Mantan Menteri Pengangkutan dan Mantan Presiden MCA, Dato’ Sri Ong Tee Keat. 

Banyak berita telah diperkatakan mengenai Tee Keat sejak dua tiga bulan kebelakangan ini. Daripada  khabar angin yang mendakwa beliau akan berhijrah ke pakatan pembangkang, kepada kemungkinan kekal dalam parti MCA hinggalah kepada pertimbangan untuk bertanding sebagai calon bebas. 

Agak malang bagi Tee Keat berada dalam keadaan ini. Mungkin ada yang mengatakan segala keadaan malang yang menimpa beliau sekarang adalah kerana kurang bijaknya beliau dalam mengatur strategi. Tetapi sebagai seorang pemimpin politik yang sentiasa berpegang teguh kepada prinsip dan dipertanggungjawabkan untuk menstabilkan parti,  tidakkah anda juga akan berbuat demikian? 

Seorang pemimpin yang bertanggungjawab adalah seorang pemimpin yang sentiasa bersedia menangani dan memerangi sesuatu isu buruk dalam parti secara langsung (hands-on). Kegagalan berbuat demikian hanya bererti pemimpin itu gagal kepada dirinya bahkan juga kepada pengundi yang menyokong beliau. 
Tee Keat boleh dianggap sebagai satu-satunya pemimpin yang konsisten dengan pendirian berhubung isu-isu rakyat selain Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah yang terkenal dengan pendirian mengenai isu mahasiswa. 

Dari awal kerjayanya pada 1989 hinggalah kini yang mencecah 22 tahun, masyarakat berbilang kaum di Ampang Jaya dan Pandan menjadi saksi kepada keazaman seorang wakil rakyat yang bekerja tanpa mengenal erti penat lelah biarpun bukan lagi berjawatan dalam Kabinet dan Parti. 
Apapun, keazaman tinggi yang ditunjukkan itu mungkin tidak membawa sebarang makna jika seorang calon boleh menang seperti Tee Keat dipinggirkan terus. 

Masa kini menjadi musuh terbesar untuk Tee Keat. Seandainya PRU 13 dilangsungkan dalam tempoh terdekat, beliau perlu memikirkan beberapa aspek seperti jentera kempen, dana yang mencukupi dan sebelum membuat keputusan penting yang mungkin akan mencorakkan survivalnya selepas ini. 
Menyedari bahawa kedudukan dan penerimaan perwakilan terhadap Tee Keat dalam MCA sudah hampir tiada, Tee Keat berkemungkinan perlu memutuskan platform manakah yang paling sesuai untuk meneruskan perjuangannya. 

Apakah perjuangan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), bertanding atas tiket pembangkang ataupun bertanding sebagai calon Bebas? Jika dilihat dari jauh, ketiga-tiga platform merupakan platform yang menarik untuk dipertimbangkan tetapi setiapnya datang dengan pro dan kontranya. 

Melihat kepada ketuntasan pendirian dan perjuangan Tee Keat dalam kerjaya politiknya sekian lama, agak sukar untuk melihat beliau berhijrah ke pakatan pembangkang. Dengan perwatakan beliau yang tegas, serius, dan lurus bendul, sikap berkenaan mungkin tidak disenangi oleh segelintir pemimpin pembangkang. 
Tambahan pula, sebagai Mantan Menteri Pengangkutan dan Mantan Presiden MCA, di manakah beliau  akan diletakkan dalam hierarki nanti? Parti manakah yang sesuai dan sebati dengan jiwanya? 

Sudah tentu kuda lama dalam DAP seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh tidak sanggup untuk membenarkan seorang pemimpin berperwatakan tegas seperti Tee Keat menenggelamkan suara-suara mereka. 
Jika pakatan pembangkang bukan alternatif yang sesuai, bertanding sebagai calon Bebas mungkin merupakan opsyen yang lebih baik untuk Tee Keat. Yang pasti, bergelar sebagai calon Bebas akan memberi kelebihan kepada beliau dari segi kebebasannya untuk menyuarakan pendapat tanpa perlu terikat kepada konvensyen parti. 

Inilah sebenarnya yang mahu dilihat oleh rakyat yakni seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, sentiasa peka kepada hal-ehwal rakyat dan bercakap apa yang benar dan bukan atas kehendak parti semata-mata. 
Dengan imej serta persepsi umum terhadap parti-parti politik agak negatif, pemilihan untuk tidak berparti boleh menyelamatkan Tee Keat daripada terkena tempias amarah rakyat yang mungkin menaruh syak-wasangka terhadap niat parti-parti politik. 

Dari aspek peluang untuk memenangi kerusi Parlimen Pandan di bawah tiket Bebas, segalanya adalah mungkin dan terbuka. Semuanya banyak bergantung kepada kemampuan Tee Keat untuk menggembleng tenaga jentera pasukannya dengan baik, memiliki manifesto yang memenuhi citarasa penduduk dan sudah pastinya, sokongan tidak berbelah bahagi daripada penduduk. Walaupun sokongan penduduk Pandan terhadap Tee Keat umumnya masih baik, tetapi itu tidak bermakna sokongan itu akan kekal selama-lamanya.

Sebagai pemimpin politik yang sudah lama berkecimpung dalam politik, Tee Keat amat menyedari realiti pahit ini dan berada dalam kesiapsiagaan. Sejarah telah membuktikan bahawa rakyat akan menyokong pemimpin yang benar-benar memahami kehendak mereka manakala yang datang dengan hasrat sekadar meraih undi tetapi tidak mahu bekerja, calon sedemikian akan ditolak bulat-bulat. 

Seluruh penduduk di bumi Pandan bakal menantikan dengan penuh debaran apakah wakil rakyat sekarang, YB Dato’ Sri Ong Tee Keat akan dicalonkan semula pada PRU 13 akan datang. Mereka juga sudah tentu ingin tahu apakah percaturan beliau yang berikutnya jika tidak dicalonkan? 

Jika anda adalah Tee Keat, apakah langkah anda yang seterusnya?


Oleh Markus Lim

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia 


Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List