MAHB nafi, dakwa AirAsia lobi sistem bagasi automatik

on Dec 6, 2011




Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mendedahkan kandungan surat-menyurat bagi membuktikan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia pernah meminta agar diadakan sistem pengendalian bagasi (BHS) automatik sepenuhnya, yang dipercayai membawa kepada kelewatan pembinaan terminal KLIA2.
Kenyataan dikeluarkan MAHB malam tadi menyebut sebanyak 47 mesyuarat telah diadakan dengan AirAsia sejak April 2010 sehingga kini bagi membincang dan menyelesaikan kesemua permintaan AirAsia berhubung terminal tambahan itu yang khusus diadakan berhampiran KLIA demi perkhidmatan tambang murah.
“Minit mesyuarat yang dipersetujui sepenuhnya akan memberi gambaran mengenai perbincangan terperinci antara Malaysia Airport dan AirAsia berkenaan pembangunan KLIA2,” kata MAHB.
Bagi menjawab dakwaan AirAsia, MAHB menyertakan dua surat kedua-dua pihak terbabit - satu daripada  Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes bertarikh 16 Jun 2011 dan satu lagi surat daripada Pengarah Urusan MAHB Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid pada 10 Oktober lalu.
Petang semalam, AirAsia menafikan pihaknya meminta MAHB menyediakan terminal KLIA2 lebih besar, yang kini kosnya dilaporkan mencecah RM3.6 hingga RM3.9 bilion -  meningkat sekali ganda  berbanding anggaran asal.
Dalam respons menjawab kenyataan MAHB dikeluarkan minggu lalu, AirAsia menegaskan, pihaknya telah lama memberi amaran kepada MAHB bahawa kos pembinaan terminal KLIA2 boleh meningkat kepada RM3.6 bilion hingga RM3.9 bilion satu hari nanti.
“Menerusi surat bertarikh 30 November 2009, AirAsia secara spesifik telah menyebut dan memberi MAHB amaran bahawa lokasi semasa di KLIA Barat tidak sesuai untuk pembinaan dan kawasan itu sudah pasti lebih mahal berbanding bajet RM2 bilion yang telah dirancang.
“AirAsia juga telah membuat anggaran bagi MAHB bahawa kos pembinaan akan meningkat kepada RM3.6 bilion hingga RM3.9 bilion. Kesemua ini sudah dibangkitkan dalam surat bertarikh 30 November 2009,” kata AirAsia dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Syarikat itu dijadual mengadakan sidang media khas hari ini.
Selasa lalu, Bashir berkata terminal penerbangan tambang rendah yang baru KLIA2, dengan kemudahan kelas dunia untuk mengendalikan 45 juta penumpang setiap tahun, dijangka menelan kos antara RM3.6 bilion hingga RM3.9 bilion dan akan memulakan operasi pada April 2013.
Bashir juga berkata jambatan udara akan dipasang untuk kegunaan semua penumpang termasuk mereka yang kurang upaya, wanita mengandung dan kanak-kanak.
“Kami berharap syarikat penerbangan yang beroperasi di KLIA2 akan menyokong keputusan kami dengan menggunakan jambatan udara memandangkan berdasarkan kos kiraan hanyalah 25 sen setiap penumpang dan orang awam telah menunjukkan kesanggupan untuk membayar bagi penggunaan jambatan udara,” kata beliau.
Bashir berkata kerja-kerja ke atas KLIA2 itu, meliputi kawasan seluas 257,000 meter persegi, yang bermula Oktober 2009, kini telah pun siap 42 peratus dan akan mempunyai 68 balai berlepas. Ia adalah lebih daripada mencukupi untuk menampung penumpang kos penerbangan tambang rendah seperti yang dikehendaki oleh standard industri.
Beliau juga berkata landasan ketiga yang baru dengan kelebaran empat kilometer kini sedang dibina untuk KLIA2, yang akan mampu menerima pesawat A380, pesawat penumpang terbesar dunia.
KLIA2 hanyalah 1.5 kilometer dari bangunan terminal utama KLIA, dan jejambat/laluan atas yang baharu sedang dibina bagi menghubungkan jalan utama dari KLIA ke KLIA2, yang bermakna KLIA2 adalah lebih dekat berbanding LCCT.
Selain itu, AirAsia menjelaskan, siasatan pihaknya sendiri menunjukkan anggaran kos membina KLIA2 hanyalah sekitar RM700 juta berbanding kos asal MAHB RM2 bilion.
Malah menurut AirAsia, surat Bashir bertarikh 9 Ogos lalu kepada Pengerusi AirAsia Tan Sri Rafidah Aziz mengesahkan bahawa terminal KLIA2 sudah cukup memadai untuk menampung sekitar 30 juta penumpang setahun.
Menurut kandungan surat pertama, Fernandes telah membawa tiga opsyen kepada MAHB berkenaan BHS tetapi menggesa agar agensi itu melaksanakan opsyen ketiga iaitu BHS automatik sepenuhnya.
Fernandes juga menggariskan anggaran pertumbuhan AirAsia dengan berkata kadar pengguna dijangka mencecah 28.7 juta orang pada 2015, 45.3 juta pada 2020 dan 60.3 pada 2025.
“Kami percaya Tan Sri (Bashir) akan faham dan akan menyokong keputusan AirAsia, memandangkan ia akan membawa manfaat yang signifikan kepada AirAsia,
MAHB dan negara secara keseluruhan,” kata suratnya.
Dalam pada itu, surat yang ditulis kepada Pengerusi AirAsia X Tan Sri Rafizah Aziz, MAHB menjelaskan bahawa selepas surat Fernandes, satu mesyuarat telah diadakan membabitkan kesemua pihak pada 1 Julai untuk membincangkan cadangan BHS automatik sepenuhnya.
“MAHB telah membangkitkan pada mesyuarat ini bahawa kemajuan semasa pembinaan KLIA2 telah mencapai hampir 40 peratus mengambil kira jadual penyelesaiaan Oktober 2012, sebarang perubahan dalam sistem BHS kemungkinan besar akan memberi impak ke atas tarikh penyempurnaan  pembinaan,” katanya.
Ia juga menjelaskan bahawa opsyen kedua, versi yang sudah diubahsuai telah dipersetujui di mana beberapa ciri daripada sistem BHS akan disertakan mengikut kesesuaian.
Bagaimanapun, MAHB berkata, lembaga pada mesyuaratnya pada 4 Julai lalu telah menimbulkan kebimbangan bahawa AirAsia kemungkinan akan mengubah pendirian pada masa depan berkenaan BHS dan sukar untuk memenuhi sebarang perubahan.
“Maka, lembaga pengarah memutuskan untuk melaksanakan opsyen ketiga (syor awal AirAsia) bagi mengadakan BHS automatik sepenuhnya, yang ada kapasiti dan keanjalan memenuhi pertumbuhan dan pembangunan berterusan AirAsia dalam jangka panjang,” katanya lagi.



sumber :-  malaysianinsider
Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List