Angan-angan kebebasan akhbar.....???

on Sep 24, 2010

Saya merasa terpanggil untuk menulis artikel ini setelah terbaca salah satu ulasan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Nazri Aziz dalam percakaran beliau dengan Awang Selamat dari Utusan Malaysia yang dalam persoalan siapa bos mereka, sama ada Perdana Menteri, Pengerusi Barisan Nasional (BN), bekas Perdana Menteri, Ketua Pembangkang dan sebagainya.
Saya amat tertarik dengan "rahsia terbuka" yang diperkatakan oleh Nazri mengenai Utusan Malaysia milik UMNO dan The Star milik MCA yang sepatutnya memperjuangkan agenda dan propaganda parti-parti yang memiliki akhbar-akhbar arus perdana ini tanpa perlu menyebut lidah rasmi parti-parti politik lain seperti Suara Keadilan milik PKR, Harakah milik PAS mahupun Roket oleh DAP yang menjadi alat propaganda parti masing-masing.

Saban hari, dalam membicarakan mengenai kebebasan akhbar, kita sering mendengar pelbagai pihak terutama Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Malaysia yang tidak dapat tidak menyentuh mengenai Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang digesa agar dipinda, supaya penerbit tidak perlu lagi memohon lesen penerbitan akhbar dan majalah bagi memberi lebih ruang dan keterbukaan dalam penerbitan akhbar arus perdana.
Dalam semangat untuk terus berjuang ke arah kebebasan media yang lebih terbuka dan seimbang, selain asyik mengeluarkan kenyataan berkenaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, saya merasakan keperluan untuk kita melihat asas permasalahan yang sering diperdebatkan oleh banyak pihak terutama di kalangan pemimpin pembangkang yang mahukan lebih keterbukaan dalam erti kata turut menyiarkan berita-berita positif atau penjelasan dari mereka, bukan sekadar berita negatif sahaja.

BN pula pada masa yang sama menggunakan akhbar-akhbar arus perdana milik UMNO, MCA dan MIC untuk menerangkan agenda negara dan politik, merasionalkan segala tindakan yang diambil selain pada setiap masa cuba untuk memainkan isu-isu semasa bagi melemahkan lawan mereka.

Selain akta, soal pemilikan media...

Untuk bersikap realistik dalam soal kebebasan media di negara ini, kita perlu menjenguk kepada aspek terpenting kalau bukan utama mengenai pemilikan akhbar-akhbar arus perdana oleh parti-parti politik, seperti UMNO memiliki Utusan Melayu (M) Berhad dan Kumpulan NSTP, MCA pula menguasai The Star manakala MIC menguasai saham dalam syarikat yang menaungi akhbar Tamil Nesan.
Justeru, untuk merealisasikan impian kalau bukan angan-angan untuk melihat kebebasan media yang lebih seimbang, terbuka, bukan berteraskan perkauman dan mendapat perhatian oleh kebanyakan rakyat "atas pagar", kita harus cuba untuk memujuk semua parti komponen BN untuk melepaskan pegangan dalam semua akhbar-akhbar arus perdana.

Urusan penjualan tersebut menjadi lebih mudah kerana kebanyakan syarikat-syarikat penerbit akhbar arus perdana disenaraikan di Bursa Malaysia dan aktiviti penjualan dan pembelian saham boleh dilakukan pada bila-bila masa mengikut segala prosedur dan langkah-langkah tertentu oleh Bursa Malaysia.

Untuk membolehkan rakyat Malaysia terus mendapat maklumat terkini mengenai perikatan itu, BN boleh menerbitkan akhbar sebagai lidah rasmi parti itu seperti yang dilakukan oleh PKR, PAS dan DAP selama ini dan dijual kepada ahli-ahli sahaja dengan pelaksanaan penguatkuasaan yang cukup baik ke atas semua akhbar parti-parti politik tempatan bagi memastikan hanya ahli-ahli sahaja dapat melanggannya dan bukan terbuka untuk belian oleh sesiapa sahaja seperti akhbar-akhbar arus perdana.

Mogok pada tahun 1961
Dalam saranan penuh realistik ini, adalah baiknya juga jika kita mengimbau kisah mogokUtusan Melayu tahun 1961 yang dikepalai oleh Said Zahari (gambar kanan) yang secara jelas menunjukkan masyarakat negara ini terutama Melayu juga tidak mahu akhbar keramat yang lahir dari derma petani dan pesawah dan sumbangan gelang emas untuk digadai semata-mata demi meniupkan semangat kebangsaan menentang penjajah itu dikuasai oleh mana-mana parti politik.

Mogok selama berminggu-minggu itu jelas menunjukkan bahawa campur tangan parti politik dalam mana-mana akhbar arus perdana sememangnya tidak disukai oleh golongan wartawan sendiri sejak tahun 1960-an apatah lagi masyarakat luar yang menuntut keseimbangan dan keterbukaan dalam aspek pemberitaan dalam hal-ehwal negara terutama berkaitan politik dan ekonomi serta hak asasi sejagat.

Pada masa yang sama, saya juga berharap Pakatan Rakyat yang kini sedang ghairah untuk memacu ke Putrajaya agar tidak menyimpan hasrat untuk menguasai mana-mana akhbar arus perdana sekiranya rezeki berpihak ke sebelah anda pada pilihanraya umum ke-13 atau 14, manakala BN yang menjadi pemerintah semasa disarankan untuk membebaskan semua akhbar arus perdana kerana tidak lagi menjadi medium tunggal untuk mendapatkan berita.

Sebagai kesimpulannya, saya berpendapat bahawa bos akhbar-akhbar arus perdana ialah rakyat Malaysia kerana mereka membeli bukan untuk mendengar propaganda politik, tetapi untuk mendapatkan berita mutakhir perkembangan politik semasa, hiburan, luar negara, sukan dan sebagainya dalam corak penulisan berimbang, telus, terbuka dan sahih.  Hanya kuasa rakyat yang berhak untuk menentukan jatuh bangunnya sesebuah akhbar.

*Amran Ahmad ialah bekas Pengerusi NUJ Utusan Melayu.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List