Raja Petra Cabar Putrajaya BincangTerma Pulang Dari ‘Buangan Kendiri’.

on Sep 24, 2010



LONDON, 24 Sept — Raja Petra Kamarudin kini melahirkan kesediaan untuk berhadapan dengan pihak berkuasa Malaysia berhubung isu beliau yang kini berada dalam “buangan kendiri” di London dan mencari penyelesaian  yang “muktamad”.


Beliau memberitahu peluang terbaru kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan kes beliau.
Blogger berkontroversi ini, yang lebih dikenali sebagai “RPK”, akan menghantar sepucuk surat menerusi penasihatnya kepada kerajaan Malaysia Isnin ini, jika bukan esok, meminta untuk diadakan satu pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Zakaria Sulong untuk membincangkan terma-terma pulang ke tanah air.


Kata Raja Petra (gambar), pendiriannya itu merupakan satu peluang bagi kerajaan untuk membawa beliau kembali ke tanah air, yang pihak berkuasa mendakwa sedang berusaha untuk mengesannya sejak setahun lalu.
“(Kini) terserah kepada kerajaan untuk respons,” kata beliau sambil menambah, jika tidak lupakan sahaja isu ini buat selamat-lamanya.
“Berpegang pada ini atau jika tidak, jangan hubungi saya lagi,” kata Raja Petra.
“Beritahu Datuk Zakaria bahawa apabila beliau datang pada 2 Oktober, saya mahu beliau menunjukkan saya pasport saya yang baru dan tanpa tiket kapal terbang, bagaimana mahu terbang (balik)?” kata beliau dengan merujuk kepada pasportnya yang telah pun luput tarikh.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini perlu mengeluarkan pasport baru kepada Raja Petra bagi membolehkannya kembali ke tanah air.


Raja Petra, yang berada dalam buangan kendiri sejak Mei 2009 di sebalik kes-kes berkaitan dengan hasutan dan fitnah jenayah mendakwa kerajaan berbohong sejak dahulu lagi.
Sementara polis Malaysia mendakwa mereka sedang berusaha untuk mengesan lokasinya, Raja Petra muncul untuk berucap pada khalayak awam Mei lalu dengan mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) memang mengetahui di mana beliau berada sekarang memandangkan pernah menemui beberapa pemimpin Umno di United Kingdom sejak tahun lalu.


Ketika ditanya oleh The Malaysian Insider tentang terma-terma yang akan diturunkan, Raja Petra enggan mendedahkannya kerana ia sedang disediakan oleh peguam-peguam.
Bagaimanapun pada Julai lalu, beliau mengeluarkan tawaran terbuka kepada Datuk Seri Najib Razak baginya kembali ke tanah air jika perdana menteri boleh menjamin bahawa tidak akan meletakkannya dalam tahanan tanpa perbicaraan seperti ISA dan lupakan kesemua enam tuduhan “yang sedang disediakan terhadap saya.”


Beliau berjanji akan kembali untuk menghadapi kes-kes hasutan dan fitnah yang pihak berkuasa telah gugurkan selepas Raja Petra tidak hadir manakala waran tangkap pula sudah tamat tempoh.
Raja Petra akan memohon untuk bertemu dengan Zakaria pada 2 Oktober ini  pada masa dan di tempat di mana Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengarah Strategi PKR Tian Chua dijadual untuk bercakap di hadapan penyokong Pakatan Rakyat (PR) di sini.
Raja Petra juga mencabar pihak berkuasa Malaysia agar mengekstradisikan beliau dari United Kingdom.


Penulis ruangan “No Holds Barred” dalam portal Malaysia Today ini juga ada memberitahu bahawa peguam-peguamnya pernah memaklumkan Scotland Yard bahawa beliau boleh diakses bila-bila masa.
Pada 2 September lalu, Mahkamah Persekutuan menangguhkan rayuan oleh Kementerian Dalam Negeri terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Raja Petra yang ditahan selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, ke tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian.


Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Hamzah memberitahu tiga panel hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria, bahawa pihak pendakwaan masih belum menyerahkan notis rayuan kepada Raja Petra, menyebabkan beliau tidak hadir hari ini.

Hakim Arifin yang bersidang bersama Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusof dan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan rayuan itu kerana mereka masih belum menyerahkan notis rayuan itu kepada Raja Petra.


Tun Majid berkata perintah menteri itu akan bersifat akademik selepas 21 September 2010.
Pada 7 November 2008, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan pembebasan Raja Petra daripada ISA selepas memutuskan penahanannya selama dua tahun di Kem Tahanan Kamunting di Taiping, Perak adalah tidak sah.


Raja Petra ditangkap pada 12 September 2008 kerana beliau disifatkan sebagai satu ancaman terhadap keselamatan negara dan perintah untuk menahan beliau di bawah ISA dikeluarkan pada 22 September 2008.


0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List