BANTING 13 Sept. – Dua jurukamera video dan seorang pemberita ditahan oleh anggota polis yang berkawal di Ladang Gadong, Tanjong Sepat, lokasi yang dipercayai menjadi tempat jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dibunuh dan dibakar.
Mereka ialah jurukamera agensi berita Xin Hua, Lim Ling Fong; stringer NTV7, Mohd. Shahif Ibrahim; dan wartawan portal berita Malaysian Insider, Yow Hong Chieh.
Ketiga-tiga mereka ditahan kira-kira 4.15 petang tadi ketika cuba menyusup masuk ke ladang ayam, tempat di mana kesemua mangsa dipercayai dibunuh dan dibakar.
Namun mereka hanya berjaya menyusup masuk kira-kira 200 meter dari tempat polis berkawal, iaitu di kawasan pintu masuk jalan ke ladang berkenaan.
Selepas ditahan, mereka diarah menaiki kereta peronda polis sebelum dibebaskan pada 5.43 petang kira-kira 50 meter dari tempat mereka ditahan.
Mohd. Shahif berkata, ketika ditahan, anggota polis cuma memeriksa kad pengenalan mereka dan memberi amaran agar tidak lagi menceroboh tempat kejadian.
Dalam kejadian itu, Sosilawati, 47, menjadi mangsa pembunuhan kejam bersama pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44; pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd. Karim, 32. – Bernama
0 comments:
Post a Comment