SOSILAWATI DAN 3 LELAKI...... 4 VARIASI BERITA.

on Sep 13, 2010

1. 4 mengaku bunuh, bakar Sosilawati

2. Dipukul, dibakar, dibuang

3. Diseksa sampai mati

4. Empat dipercayai hilang selepas urusan tanah dengan peguam






KOSMO
BANTING - Empat pekerja ladang buah-buahan dan ternakan milik seorang peguam bergelar Datuk mengaku terlibat membunuh dan membakar Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lelaki bersama jutawan kosmetik itu di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, berdasarkan pengakuan empat daripada lapan lelaki yang ditahan reman itu, polis kemudian berjaya menemui lokasi empat mangsa yang dipercayai ditahan, dibunuh dan dibakar di ladang ternakan tersebut.
"Kesemua lelaki terbabit mengaku membawa mangsa ke ladang seluas empat hektar itu sebelum dipukul sehingga mati dan mayat mereka kemudian dibakar.
"Abu mayat mangsa kemudian dibuang ke sebatang sungai berhampiran sebuah ladang ternakan di situ," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dekat sini semalam.
UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR 12 Sept. – Empat suspek termasuk seorang peguam bergelar Datuk ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga yang lain sejak 30 Ogos lalu.

Suspek yang berusia 41 tahun itu merupakan suspek paling dikehendaki, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada pukul 1.40 petang dari Balai Polis Bukit Jalil di sini untuk disoal siasat.
Turut ditahan reman untuk tempoh yang sama ialah tiga lagi individu termasuk seorang yang dipercayai adiknya yang disyaki terlibat dalam kes tersebut.

Semalam misteri kehilangan jutawan kosmetik, Sosilawati, 47, dan tiga lagi lelaki sejak 30 Ogos lalu, hampir terungkai dengan tertangkapnya lapan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.
Mingguan Malaysia semalam melaporkan, misteri kehilangan keempat-empat mangsa itu hampir terungkai dengan tertangkapnya lapan suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut kelmarin di sekitar daerah ini.
Hasil siasatan ke atas suspek, polis mendapat maklumat bahawa kesemua mangsa sudah dibunuh dan dibakar manakala abu mayat mereka dibuang ke dalam sungai di Ladang Gadong di Banting, Selangor.

BERITA HARIAN ONLINE:-

Foto
BANTING: Penahanan suspek utama dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, juga dipercayai dapat membantu polis merungkai empat lagi kes seumpamanya sebelum ini.

Difahamkan, suspek itu seorang peguam dan ahli perniagaan bergelar Datuk, boleh membantu siasatan berhubung kehilangan empat individu, termasuk warga India yang dilaporkan hilang kira-kira setahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata empat individu itu, termasuk beberapa ahli perniagaan dikatakan hilang selepas berurus niaga tanah membabitkan suspek sama.

“Selain kes Sosilawati, ada empat lagi kes seumpamanya dilaporkan sejak setahun lalu dipercayai membabitkan suspek sama, dengan motif juga dikatakan soal kewangan dan urus niaga tanah.

“Kita sedang meneliti kaitan semua kes itu dan usaha mengesan mangsa sedang giat dilakukan hasil soal siasat yang dijalankan ke atas suspek terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi Sosilawati dan tiga individu bersamanya dibunuh sebelum mayat mereka dibakar di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini, semalam. 
Hadir sama Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti-Pengganas) Bukit Aman, Datuk Fuzi Md Harun; Timbalan Pengarah JSJ (Operasi/Risikan) Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman.

Bakri berkata, identiti keempat-empat mangsa yang masih hilang itu sedang dikenal pasti namun tidak menolak kemungkinan mereka adalah ahli perniagaan.

“Kita masih menyiasat suspek berhubung kes itu. Hanya suspek yang mempunyai maklumat dan petunjuk berhubung kes itu,” katanya.

Ditanya apakah keempat-empat mangsa itu menerima nasib yang sama seperti Sosilawati dan tiga individu lain yang dilaporkan hilang bersama, beliau enggan mengulas lanjut namun mengesahkan modus operandi digunakan adalah sama.

“Dalam kes Sosilawati, semua mangsa dipercayai ditahan, dipukul (hingga mati) sebelum dibakar dan abu mayat dibuang ke dalam sungai bersama barang peribadi mangsa bagi tujuan menghapuskan bahan bukti.

“Ada kemungkinan mereka menggunakan cara sama dalam empat lagi kes sebelum ini,” katanya.

Berdasarkan corak perlakuan jenayah, Bakri yakin perbuatan itu dilakukan lebih daripada seorang suspek.

“Bagi kes Sosilawati, lapan suspek ditahan setakat ini dan akan ada lebih banyak tangkapan selepas ini. Kita juga mengenalpasti motif jenayah ini,” katanya.

Bakri berkata, walaupun suspek, termasuk dalangnya dikenal pasti dan ditahan, polis tidak menganggap kes itu selesai.



myMETRO :-

KUALA LANGAT: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu hilang bersamanya melalui detik ngeri diseksa, dibelasah selain ditikam menggunakan senjata tajam oleh sekumpulan penjenayah hingga mati berlumuran darah.
SIDANG AKHBAR...Bakri(kiri) mengadakan sidang akhbar berhubung kehilangan Sosilawati bersama tiga rakannya, semalam.
SIDANG AKHBAR...Bakri(kiri) mengadakan sidang akhbar berhubung kehilangan Sosilawati bersama tiga rakannya, semalam.
CARI BUKTI...anggota polis memeriksa sisa tulang dan abu mayat di Banting, semalam. Gambar kecil, salah seorang suspek yang ditahan.
CARI BUKTI...anggota polis memeriksa sisa tulang dan abu mayat di Banting, semalam. Gambar kecil, salah seorang suspek yang ditahan.
Penjenayah yang seolah-olah tidak mempunyai belas kasihan mencurahkan petrol sebelum membakar mayat mangsa sehingga menjadi abu bertujuan menghilangkan bukti jenayah.

Penjenayah kemudian mengutip cebisan dan abu mayat semua mangsa yang dimasukkan ke dalam guni atau bekas tertentu sebelum dibuang ke Sungai Panchau, di sini, kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dibunuh.

Perkara itu didedahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Sri Bakri Zinin, selepas anggotanya melakukan soal siasat lapan suspek ditahan selepas dipercayai ada hubung kait kes kehilangan jutawan berkenaan sejak 12 hari lalu.

Menurutnya, hasil siasatan, polis memberkas seorang peguam berstatus Datuk berusia 41 tahun disyaki dalang utama merancang kes penculikan dan pembunuhan kejam selain adik suspek berusia 38 tahun.

“Polis mengesan lokasi mangsa dipercayai dibunuh berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat, di sini, selepas menahan adik-beradik terbabit selain enam lagi suspek turut terbabit.

“Lima suspek awal diberkas Jumaat lalu sebelum peguam berstatus Datuk dan adiknya diberkas kelmarin. Polis menahan seorang remaja berusia 19 tahun turut dikaitkan kes pembunuhan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, semua suspek berusia 19 hingga 45 tahun berkenaan dikenal pasti pekerja kepada Datuk berkenaan termasuk ada antara mereka pekerja di ladang tempat mangsa dibunuh 

“Polis setakat ini tidak menolak kemungkinan mangsa dibawa ke ladang itu sebelum dibunuh dengan kejam, Ada kemungkinan mangsa dipukul sehingga mati menggunakan senjata sebelum sengaja dibakar hingga menjadi debu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Banting di sini, petang semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa yang bertukar menjadi debu dicampak ke sungai berhampiran dan dihanyutkan ke laut berhampiran pantai Morib, di sini.

|”Polis percaya mangsa dibunuh dan dibakar di tempat sama di dalam ladang kelapa sawit terbabit berdasarkan bukti awal diperoleh. Suspek dipercayai turut membuang senjata digunakan untuk membunuh mangsa di dalam sungai sama.

“Setakat ini polis masih menjalankan gerakan memburu saki-baki dan rangkaian kumpulan penjenayah merbahaya terbabit. Polis percaya kumpulan terbabit turut bertanggungjawab dalam satu lagi kes sama awal tahun ini,” katanya.

Difahamkan empat individu turut mempunyai kaitan dan urusan perniagaan dengan peguam berkenaan dilaporkan hilang sebelum ini dipercayai dibunuh dengan kaedah sama.

“Ada kemungkinan kes pembunuhan ini bermotifkan saingan perniagaan, namun polis masih menyiasat motif sebenar mangsa dibunuh kejam. Semua suspek akan ditahan reman sehingga 19 September depan untuk tujuan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 kanun Keseksaan.

“Apa yang boleh saya katakan, andaian mangsa masih hidup amat tipis. Bagaimanapun polis masih perlu mendapatkan pengesahan forensik mengesahkan sepenuhnya perkara berkenaan termasuk DNA bagi mengesahkan identiti mangsa dibunuh,” katanya.

Selain Sosilawati, turut dibunuh pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu semasa keempat-empat mangsa berada di Banting untuk bertemu peguam bergelar Datuk berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Bakri berkata, beliau tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar mereka dibunuh, tetapi ia mungkin antara tarikh mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos sehingga semalam.

Mengenai keluarga mangsa, beliau memberitahu, keluarga mangsa sudah dimaklumkan berhubung kes terbabit dan polis menjelaskan kepada mereka pengesahan lanjut daripada forensik dan Jabatan Kimia diperlukan mengesahkan sepenuhnya kematian semua mangsa.

“Apa yang saya boleh sahkan sekarang, pengakuan suspek menjurus ke arah itu,” katanya.

Mengenai tahap siasatan, beliau berkata, pihaknya tidak dapat menyatakan daripada segi peratusan, namun semua perkara hanya dapat disahkan dan disempurnakan selepas polis menerima laporan forensik dan kimia.

“Laporan forensik dan kimia akan mengambil masa, dan keluarga mangsa dan media akan dimaklumkan sebaik saja kami menerima semua laporan mengenai perkara ini,” katanya.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List