Bekas penyanyi kumpulan Lefthanded, Nasharudin Elias atau Nash menyifatkan pemandu peribadi Datuk Sosilawati Lawiya, Kamaruddin Shamsudin seperti adik kandungnya kerana mereka berkawan rapat sejak 25 tahun dulu.
Menurutnya, hubungan itu terjalin sebelum Kamarudin mendirikan rumah tangga kerana ketika itu beliau bekerja sebagai jurutera bunyi di King Studio, Kuala Lumpur.
Katanya, Kamaruddin banyak membantunya melakukan kerja-kerja muzik terutama sistem bunyi sama ada di dalam studio mahu pun konsert ketika dia bersama kumpulan Lefthanded dahulu.
"Malah ketika beliau mengadakan majlis perkahwinannya di sini, saya pun turut bersama rakan-rakan lain memasak makanan untuk hidangan majlis itu.
"Hubungan kami terlalu rapat dan keluarganya juga sudah seperti keluarga saya," katanya kepada pemberita selepas melawat ibu Kamaruddin, Zainab Ahmad dan ahli keluarga yang lain di Bandar Indera Mahkota 2 di sini hari ini.
Hadir sama melawat keluarga Kamaruddin ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan; Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Hazmi Yusof; Skuad Sayang Wanita UMNO Indera Mahkota serta bekas penyanyi Kumpulan XPDC, Mohd. Ali Ismail atau Ali.
Menurut Nash, berita tentang penemuan mayat keempat-empat mangsa termasuk bekas isterinya dan Kamaruddin diketahui pada malam raya lalu ketika dia berada di Sabah atas urusan peribadi.
Katanya, sebaik menerima berita itu, dia begitu sedih kerana pemandu yang hilang dan dipercayai dibunuh kejam itu adalah rakan baiknya sendiri.
Jelasnya, bukan itu sahaja, beliau juga pernah menjaga dua anak Kamaruddin semasa mereka tinggal di Shah Alam dan menghantar salah seorang anaknya ke sekolah di situ selama setahun.
"Bayangkan hubungan kami terlalu akrab dan anak-anaknya seperti anak saya sendiri.
"Saya berharap supaya anak-anak Kamaruddin sentiasa menghadiahkan doa kepada bapa mereka supaya rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan dengan orang-orang yang soleh," katanya.
Ali pula menyifatkan Kamaruddin seorang yang suka bergurau dan disenangi rakan-rakannya.
Katanya, Kamaruddin sentiasa membantu persembahan kumpulannya khususnya penyusunan sistem muzik sekiranya terlibat dalam sebarang konsert di negara ini.
"Kali terakhir saya berjumpa dengan dia pada tahun lalu dan tidak menyangka itulah pertemuan terakhir kami berdua," katanya.
0 comments:
Post a Comment