Penganalisis politik, Prof Dr Abdul Aziz Bari menganggap Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) tidak memahami inti sebenar Perlembagaan Persekutuan.
Anggapan itu gara-gara inisiatif ekstrem Datuk Paduka Ibrahim Ali mengasaskan Perkasa bagi mempertahankan hak keistimewaan Melayu, bahasa Melayu, Majlis Raja-Raja Melayu serta Islam seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang kononnya sedang dihakiskan oleh pihak 'bukan Melayu' tertentu.
"Lagipun kefahaman Perlembagaan (Persekutuan) oleh Perkasa adalah tidak tepat kerana tidak ada sesiapa yang boleh memadam peruntukan yang mereka (Perkasa) kata perlu dipertahankan," ujar pakar perlembagaan itu kepada Harakahdaily.
Kata ahli akademik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) lagi, langkah Perkasa itu seakan menghalang kebebasan bersuara rakyat dalam membincangkan isu-isu yang selama ini dianggap sensitif oleh pemerintah.
"Perkasa juga semacam lupa bahawa Perlembagaan memberi hak bersuara selagi ia tidak meminta pemansuhan kedudukan yang sedia ada itu, termasuk Raja, bahasa dan lain-lain," ujarnya.
Walhal, katanya sesetengah isu-isu yang diwacanakan oleh rakyat, khususnya bukan Melayu tidaklah sampai pada tahap membelakangkan Perlembagaan.
Lanjutan itu, beliau mempersoal motif sebenar Ibrahim, Presiden Perkasa menggunakan media untuk meniupkan api perkauman ekstrem belakangan ini.
"Jadi, apa yang hendak dipertahankan?" soalnya.
Beliau turut mempersoal idea Ibrahim pada Ahad lalu yang mahu Perkasa mewujudkan muafakat politik baru, iaitu menerima keanggotaan bukan Melayu.
"Dengan idea ekstrem yang mereka bawa, nak kerjasama dengan bukan Melayu yang macam mana.
"Jadi, macam Perkasa nak buat kerjasama...dengar nama Perkasa pun mereka (bukan Melayu) sudah meluat," ujarnya.
Hari ini, dilaporkan Ibrahim menuduh MCA menguasai Umno pula.
Tuduhan terbaru itu selepas Ibrahim menuduh PAS tunduk pada kemahuan politik para pemimpin bukan Islam dari DAP serta Pakatan Rakyat yang lain.
Tuduhan-tuduhan Ibrahim itu ekoran keengganan pihak masing-masing untuk menerima pelawaan Perkasa, badan bukan kerajaan untuk mempopularkan politik ekstrem Melayu di tanah air.
Manakala, Umno pula dilihat seakan dalam dilema sama ada mahu berwajah liberal atas nama slogan 1Malaysia atau kekal dalam kerangka 'ultra Melayu' seperti yang didesak Perkasa.
Harakahdaily
1 comments:
ibrahim ali bukan tak faham Perlembagaan Malaysia, tetapi tak BACA kot.
Saya rasa, kalau tak baca tak kan berani membuta tuli , terpekek terlolong sana sini mempertikaikan ARTIKEL 153 Perlembagaan Malaysia... oleh itu saya percaya ibrahim ali ada niat buruk untuk mengambil alih kuasa dan pengaruh UMNO bagi warga Melayu, ibrahim ali dah tak ada kuasa dan pengaruh dalam MP BEBAS. Jadi kena tubuh Perkasa dan peralatkan perkasa untuk kepentingan diri yang sendiri, Keahlian Perkasa majoriti adalah keahlian UMNO. Tak ke lemah UMNO??? ibrahim ali mungkin berangan angan nak jadi PM ke 7 dalam GE13, mana tahu.
Atau bersekongkol dengan tdm, dimana tdm sokong penuh PERKASA. saya percaya Perkasa adalah rancangan ibrahim ali dan tdm untuk mengambil alih kuasa UMNO dalam GE13, tdm pun nak anaknya jadi PM ke 7. Malu lah tdm, kerana TAR anaknya pun jadi PM
Post a Comment