Sebahagian besar cabang PKR akan mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) bermula hari ini untuk memilih pemimpin dan mencalonkan mereka yang berkelayakan untuk bertanding di peringkat pusat.
Cabang di Kedah dan Kelantan akan memulakan AGM hari ini manakala mereka di Perak, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perlis dan Sabah akan bermesyuarat mulai esok.
Cabang PKR di Selangor, Johor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan pula akan bermesyuarat mulai minggu depan.
Pertandingan sengit dijangkakan di beberapa cabang yang membabitkan tokoh terkenal PKR.
Di Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dijangka akan dicabar dalam pertandingan tiga penjuru bagi jawatan ketua Ijok, meskipun beliau adalah ADUN Ijok dan juga Menteri Besar Selangor.
Malah, Ketua PKR Selangor, Azmin Ali juga akan dicabar di cabang di Gombak yang diterajuinya. Azmin adalah juga ahli parlimen Gombak.
Di Perak, naib presiden PKR dan ketua PKR Perak, Mustafa Kamil Ayub dijangka akan menghadapi saingan sengit bagi mereka yang mengintai kerusi cabang Pasir Salak.
AGM di lebih 200 cabang diadakan di seluruh negara bermula 17 September hingga 3 Oktober depan.
Selepas pertandingan di peringkat 203 cabang berakhir, pencalonan untuk kepimpinan pusat pula akan ditutup pada 10 Oktober. Senarai calon akan dimuktamadkan dan dipamerkan pada 24 Oktober ini.
Pengundian bagi barisan kepimpinan pusat akan dijalankan pada peringkat cabang dan diadakan pada hujung minggu antara 29 Oktober hingga 21 November. Lebih 400,000 ahli layak mengundi pada pemilihan secara langsung ini.
Pengundian di Selangor, Sabah, Pulau Pinang, Perak dan Wilayah Persekutuan dijangka paling mencuri tumpuan kerana sebahagian besar ahli PKR adalah di negeri-negeri berkenaan. Selangor adalah negeri yang mempunyai paling ramai ahli dan ini diikuti oleh Sabah, Pulau Pinang dan Perak.
Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution berkata di sebalik jumlah calon yang ramai menawarkan diri, beliau hanya menerima 10 aduan pada peringkat pencalonan.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan lebih banyak aduan akan diterima apabila mesyuarat cabang dan pengundian bermula.
Kongres kebangsaan PKR dijadualkan pada 27 November ini.
MK
Bekas askar kena jel 6 bulan pukul isteri 36 tahun
1 minute ago
0 comments:
Post a Comment