KUALA LANGAT: Sungai Panchau dekat sini kemungkinan memiliki lebih banyak rahsia mengerikan daripada yang dibayangkan.
Di sebalik air sungai yang keruh itu mengandungi ratusan fragmen tulang manusia, dipercayai dijadikan sebagai ‘kubur berair’ bagi mangsa bunuh.
Difahamkan, polis menjumpai lebih 300 fragmen tulang manusia dari dasar sungai yang terletak hanya antara empat dan lima kilometer daripada ladang berlakunya pembunuhan empat individu.
Menurut seorang pakar yang mengendalikan pembakaran mayat sejak 20 tahun, apabila badan manusia itu dibakar, ia akan meninggalkan kira-kira 20 sehingga 25 fragmen tulang yang dapat dilihat.
Setakat ini, polis sedang menyiasat pembunuhan ngeri jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dan mengesahkan sekurang-kuranya lapan laporan mengenai individu hilang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek utama ke berkenaan.
Selain Sosilawati, tiga individu lain adalah pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32.
Mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu dan seminggu selepas itu cebisan mayat mereka dijumpai dalam Sungai Panchau dan beberapa sungai lain berhampiran Ladang Gadong.
Jumlah fragmen tulang yang banyak menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai mereka yang lain mungkin dibunuh di ladang terbabit sebelum Sosilawati bersama tiga individu.
Sumber yang mempunyai kaitan dalam penyiasatan itu berkata, fragmen tulang dianalisis oleh pasukan khas forensik dan jabatan kimia bagi mengenal pasti latar belakang mereka.
Pasukan polis forensik memulakan pencarian di sungai berkenaan sejak Ahad lalu dan menjumpai dua pisau, beberapa jam tangan dan barangan kemas.
Polis telah melantik dua pasukan khas manakala penyiasat melakukan tugas mereka sepanjang masa di lokasi kejadian.
Polis turut meneliti laporan kehilangan beberapa individu yang tidak diselesaikan sejak beberapa tahun lalu bagi mengenal pasti terdapat kaitan dengan suspek utama yang merupakan adik-beradik peguam.
“Diharapkan, kita dapat menyelesaikan beberapa kes yang dibuka semula dengan petunjuk-petunjuk baru ini,” menurut satu sumber.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, satu pasukan khas kini menyiasat semua laporan kehilangan individu yang mempunyai kaitan dengan suspek.
“Tiada satu pun akan terkecuali dan semua laporan orang hilang akan disiasat,” katanya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata pada Ahad, terdapat empat kes orang hilang yang disiasat semula berdasarkan laporan polis dibuat oleh keluarga yang mempunyai kaitan dengan adik-beradik peguam.
Satu sumber berkata, antara mereka yang hilang dipercayai ‘dihapuskan’ adalah seorang warga India, seorang wanita tempatan dan dua lelaki.
Difahamkan polis di bahagian pemalsuan wang akan memohon Majlis Peguam supaya aset dua peguam terbabit dibekukan.
0 comments:
Post a Comment