Terkini :- Kes Sosilawati:- AG arah polis buat siasatan lanjut

on Sep 22, 2010



Kami sekeluarga berdebar-debar menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijangka diketahui dalam tempoh seminggu lagi dan berharap itu (cebisan tulang) bukan dia.

Gambar: Tengku Abdullah bertanya sesuatu kepada Irfan Aiman sambil diperhatikan Zainab (kiri) ketika melawat keluarga berkenaan, semalam.

“Tapi jika benar itu dia, kami reda dan walau diberi hanya tulang pun kami kena terima juga untuk dikebumikan,” kata kakak pemandu peribadi Datuk Sosilawati Lawiya, Kamaruddin Shansuddin, ketika ditemui selepas menerima kunjungan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di rumahnya di Indera Mahkota, di sini, semalam.

Ramlah, 49, berkata, dia sekeluarga masih berharap Kamaruddin, 44, dapat kembali dalam keadaan sempurna sama ada hidup atau mati.

“Jika cebisan tulang arwah dapat dikebumikan, anaknya yang masih kecil dapat menziarahi pusara bapa mereka apabila dewasa kelak.

“Sekarang ini pun, anak Kamaruddin masih bertanya sama ada bapa mereka akan pulang atau tidak kerana belum mengerti apa yang berlaku,” katanya.

Kamaruddin yang berpisah dengan isterinya, Noorfazilah Ab Sani mempunyai tiga anak, Balqis Dayana,12, Izran Akmal, 9, dan Irfan Aiman, 8.

Sementara itu, Tengku Abdullah turut menzahirkan kesedihannya dengan kejadian yang menimpa keluarga Kamaruddin dan Sosilawati serta meminta keluarga mangsa supaya tabah dan sabar.

“Saya tidak tahu Kamaruddin asalnya dari Pahang dan satu ketika ketika ibunya pernah bekerja dengan Almarhum dan Almarhumah nenda saya.

“Kita berharap keluarga ini, terutama anak Kamaruddin dapat diawasi dan diasuh mendapat pendidikan sempurna,” katanya yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga Sosilawati yang menerima pingat kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk dari Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

TERKINI


Kes Sosilawati: AG arah polis buat siasatan lanjut

KUALA LUMPUR, 22 Sept — Pejabat Peguam Negara telah memulangkan kertas siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dengan mengarahkan polis melakukan siasatan susulan.

Difahamkan keputusan itu dimaklumkan kepada polis hari ini.

Kertas siasatan itu telah diserah kepada Pejabat Peguam Negara semalam.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika mengesahkan perkara itu turut memberi jaminan bahawa laporan lengkap kes pembunuhan itu akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi.

Hishammuddin berkata polis kini menunggu laporan DNA yang ada ketikanya mengambil masa sedikit untuk disiapkan.

Bagaimanapun, tarikh dan tempoh untuk laporan lengkap itu telah ditetapkan iaitu dalam tempoh dua minggu lagi sebelum hasil siasatan lengkap kes itu diserah kepada Peguam Negara untuk proses pendakwaan, katanya.

Setakat ini lapan suspek ditahan berhubung kes pembunuhan ini.

Tahanan perintah mereka telah dilanjutkan baru-baru ini. -TMI

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List