Persoalannya bukan PERKASA, tetapi jawapannya Khairy....!!!!

on Sep 22, 2010

Hubungan UMNO dengan PERKASA menjadi tumpuan apabila Setiausaha Agungnya, Tengku Adnan Tengku Mansor dipetik media untuk menyatakan pendirian bahawa UMNO-BN akan menjauhkan diri daripada PERKASA, di samping beberapa tuduhan termasuk NGO ini sebagai punca UMNO-BN kehilangan sokongan.
Maka bermulanya "perang" antara PERKASA, yang disokong oleh bekas Presiden UMNO Mahathir Mohamad, dengan beberapa orang pemimpin UMNO, terutamanya Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz.  Lebih menarik, lidah UMNO, Utusan Malaysia yang pada mulanya tidak menyiarkan kenyataan Tengku Adnan, akhirnya menyebelahi PERKASA untuk mempertikaikan pendirian tersebut.
Memang sesuatu yang diduga apabila Utusan Malaysia memihak kepada PERKASA, seandainya kita mengikuti rencana yang tersiar dalam ruang dada akhbarnya sebelum ini.  Ia hanya mencungkil sedikit kesangsian "sama ada Najib telah hilang kawal", apabila lidah UMNO ini secara jelas, malah dengan lantang mempertikaikan pendirian yang dinyatakan Setiausaha Agung partinya.
Andaian Najib tidak sehaluan dengan PERKASA
Sememangnya PERKASA dilihat sebagai batu penghalang kepada slogan 1Malaysia, yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO-BN Najib Abdul Razak.  Malah, hampir semua rencana dalam akhbar Cina menonjolkan Najib sebagai pembawa perubahan, yang kini dikepung dan diserang golongan konservatif dalam UMNO.
Pada hakikatnya, segala-gala ini hanyalah andaian mereka yang "bersangka baik" terhadap Najib (gambar kanan), atau konsep "1Malaysia".  Padahal Najib tidak pernah menyatakan pendiriannya yang jelas terhadap PERKASA.  Bahkan gagasan "1Malaysia"-nya mempunyai takrifan yang pelbagai, mengikut keperluan masing-masing - sudah tentu MCA dan PERKASA akan bersama menyokong "1Malaysia", untuk definisi yang berbeza.
Sekali imbas, dalam satu wawancara bersama Al-Jazeera pada 2 April 2010, kenyataan Najib berhubung PERKASA berbunyi, "...tetapi PERKASA tidaklah begitu ekstrem, seandainya anda mendengar secara teliti daripada mereka.  Mereka boleh melaungkan hak Melayu selagi pandangan mereka tidak begitu ekstrem, dan anda tahu had batas toleransi kami dengan PERKASA..."
Malah, Najib mempertahankan PERKASA dan Mahathir Mohamad dalam satu wawancara bersamaCNBC, "Mereka bukannya menentang kami.  Mereka lebih membicarakan hak bumiputera.  Namun kami tidak mengambil apa-apa dari bumiputera.  Tetapi kami berkata, biar kami melakukannya dengan cara yang berlainan..."
Baru-baru ini, Najib menyatakan hasratnya untuk menentang "fahaman pelampau" dalam Perutusan Hari Malaysia-nya.  Bagaimanapun, beliau tetap enggan mengulas apabila ditanya wartawan kemudiannya, sama ada "pelampau" itu dirujuk kepada PERKASA.
Pendirian Najib terhadap PERKASA
Jadi, pendirian Najib yang jelas dalam isu hubungan antara UMNO-PERKASA ialah "kabur".  Ia sebenarnya memperlihatkan dilema UMNO, sebagaimana yang disifatkan oleh ahli parlimen Kuala Selangor-PAS, Dzulkefly Ahmad - UMNO mungkin mampu mengelakkan ketidakpuasan bukan Melayu jikalau menjauhkan diri daripada PERKASA, tetapi tidak semestinya mampu mempertingkatkan undi komuniti tersebut.  Sebaliknya, jikalau UMNO mengiktiraf PERKASA, ia semestinya kehilangan lebih undi bukan Melayu, pada masa yang sama, belum terjamin lagi peningkatan undi Melayu.
Dari segi perhitungan politik, Najib mungkin tidak perlu untuk menyatakan pendiriannya dengan tergesa-gesa.  Dengan "kekaburan" yang sedia ada, ia memberi lebih ruang kepada Najib, sama ada untuk mara ke depan, mahupun undur ke belakang.
Persoalannya, mengapa isu ini ditimbulkan?  Sekali imbas, mereka yang kelihatan menonjol dalam kem yang "menyerang PERKASA" adalah Khairy Jamaluddin, Nazri Aziz dan Tengku Adnan Tengku Mansor.  Tetapi, seandainya diteliti dalam alam siber, pencetus kontroversi ini sebenarnya Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO yang tampil dengan imej baru untuk menentang puak "konservatif".
Perbalahan antara Khairy dengan Presiden PERKASA, Ibrahim Ali telah berlanjutan sejak beberapa minggu yang lalu, melalui twitter dan media.  "Bodoh", "tak ada otak". "gila", "opportunist" dan sebagainya (moronic statementlike a madmanstupid, brainlessconfused child etc) antara cemuhan yang dilontarkan terhadap graduan Oxford ini.
Khairy vs Ibrahim Ali
Sementara itu, Khairy pula enggan mengalah, membalas dengan melemparkan "gelaran" gedebe politik, jaguh kampung dan lain-lain lagi terhadap ahli parlimen Pasir Mas ini.  Perbalahan ini kemudiannya menular, sehingga kenyataan Tengku Adnan Tengku Mansor terpampang di ruang media bahasa Inggeris, khususnya.
Sumber yang dekat dengan orang dalaman UMNO memberitahuMerdekaReview, bahawa Majlis Tertinggi UMNO sebenarnya tidak membincangkan isu berhubung PERKASA, malah tidak pernah memberi amanah kepada Tengku Adnan untuk menyatakan pendirian bahawa UMNO akan menjauhkan diri daripada PERKASA.
Lebih-lebih lagi, apa yang merunsingkan Najib bukanlah perbalahan yang berlaku antara PERKASA dengan Khairy dan Nazri, atau Utusan Malaysia yang menyiram minyak ke dalam api, tetapi Khairy yang menyemarakkan pertikaian ini, menurut sumber.
Seandainya isu ini dibaca dalam konteks pergelutan kuasa dalam UMNO, dengan Khairy sebagai Ketua Pemuda yang dipinggirkan dari kabinet, mungkin segala-galanya akan terjawab.  Soalan mungkin boleh dijawab dengan soalan, adakah menantu bekas PM, Abdullah Ahmad Badawi ini masih berpeluang untuk bertanding dalam PRU ke-13?
Mungkin ini salah satu perspektif untuk menjelaskan apa yang berlaku baru-baru ini.  Khairy (gambar kanan) agak berjaya untuk menampilkan dirinya sebagai pemimpin muda yang progresif, dengan menyasarkan pengundi elit, golongan menengah dan penduduk bandar - selepas beliau memenangi jawatan Ketua Pemuda pada tahun 2009.
Malah, Khairy mendakwa terdapat persamaan antara dirinya dengan Najib, dalam satu wawancara bersamaMalaysiakini, yang disiarkan pada 8 September 2010.  Beliau cuba menyatakan kedudukannya yang mungkin dilihat "bergerak solo" dalam membawa perubahan kepada UMNO.
Ringkasnya, Khairy mungkin lebih berjaya untuk membuktikan bahawa perjuangan PERKASA adalah bertentangan dengan konsep 1Malaysia, yang diuar-uarkan Najib Razak.  Cerita yang selebihnya - seandainya Khairy sebagai pendukung setia 1Malaysia digugurkan dari PRU ke-13, apakah maksud tersiratnya?
*Wong Shu Qi ialah wartawan senior MerdekaReview, edisi bahasa Cina.  Tulisan ini diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang, daripada teks asal.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List