Naib presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub mencadangkan supaya semua calon yang bertanding jawatan tertinggi pusat mengisytiharkan harta dan belanjawan masing-masing.
Beliau yang juga calon jawatan timbalan presiden PKR, menyarankan supaya cat jari digunakan dalam pemilihan bulan depan demi integriti parti.
Katanya, sepanjang pilihan raya umum dan kecil lepas, pembangkang mengajak rakyat percaya bahawa kebanyakan pemimpin Umno/BN mengamalkan rasuah dan menyalahguna kuasa.
"Kita bukan sahaja mencabar mereka yang terbabit mendedahkan akaun dan belanjawan untuk pilihan raya, malah kita juga mendesak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menyiasat beberapa pemimpin Umno/BN yang kita anggap tiada integriti.
"Cabaran dan desakan ini semata-mata kerana kita mahu melihat proses pilihan raya dan demokrasi berlangsung secara bersih, bebas dan adil.
"Apa yang kita cadangkan serta desakan ini, bagi saya adalah suatu pembaharuan institusi - iaitu kita mereformasi sistem yang sedia ada supaya mengangkat pemimpin yang adil dan bersih," katanya dalam satu kenyataan.
"Sekarang kita tidak mampu melakukan semua pembaharuan institusi ini dalam kerajaan; khususnya SPR kerana kita masih tidak berpeluang
mendapat mandat rakyat," tambah Mustaffa.
Bagaimanapun, tegasnya, jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) mempunyai kuasa untuk membuktikan bahawa semua ini relevan dan realistik untuk dilaksanakan dalam negara, "dengan kita menjadikan parti kita sebagai pelantar ujian yang sihat."
"Biar dunia melihat bahawa semua cadangan pembaharuan institusi ini relevan dan realistik untuk dilaksanakan dalam Malaysia dengan melihat pelantar ujian kita.
"Yang terjejas, mungkin pemimpin yang melakukan korupsi atau menyalahguna kuasa sahaja. Rakyat akan melihat komitmen ini," tambahnya.
Dengan itu, tegasnya, tidak mustahil rakyat akan menyokong usaha tersebut dan bersedia memberi mandat kepada Pakatan Rakyat, khususnya PKR, kerana mereka percaya PKR - jika memerintah selepas PRU13 kelak - akan melaksanakan pembaharuan institusi dalam negara, "sebagaimana yang telahpun dibuktikan dalam parti kita".
Mustaffa juga mencadangkan JPP perkenalkan sistem dedah akaun peribadi calon dan cap jari demi mengangkat imej parti sebagai parti yang bersih dan saksama.
"Saya percaya calon-calon yang bertanding memang bersedia untuk membuktikan parti kita sebagai parti yang bersih, integriti dan demokratik untuk semua rakyat Malaysia," tambahnya.
Kelantan: Mayat wanita bertudung tersangkut pada 'taut'
40 minutes ago
0 comments:
Post a Comment