Gunung Merapi Bakal Meletus Bila-bila Masa. Pelajar Malaysia Dipindahkan......???

on Oct 25, 2010

Gunung merapi menunggu masa meletus, pelajar Malaysia dipindah ke kawasan selamat

JAKARTA - Kesemua 34 pelajar Malaysia di sebuah pesantren atau institusi agama di Secang, Magelang dipindahkan ke Solo hari ini sebagai langkah menghindarkan mereka daripada kesan debu Gunung Merapi, yang dijangka meletus bila-bila masa.

Pakar-pakar menjangka, letusan kali ini akan lebih besar daripada yang terakhir berlaku pada tahun 2006.

Pemindahan pelajar Malaysia terbabit dilakukan berikutan peningkatan status amaran oleh pihak berkuasa Indonesia ke tahap awas, iaitu status amaran tertinggi yang mengkehendaki semua penduduk di sekitar kaki gunung berapi paling aktif di dunia itu, berpindah ke kawasan selamat.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar berkata, setelah berada di Solo dan dipastikan keselamatan mereka, para pelajar terbabit bersama sekumpulan pelajar kedoktoran dari Universiti Negeri Surakarta (UNS) 11 Maret kemudiannya akan menyumbang khidmat sebagai sukarelawan membantu mangsa-mangsa bencana itu nanti.

Dr Junaidy berkata, para pelajar Pesantren Sirajul Mukhlasin itu merupakan pelajar persendirian dan keadaan mereka pada masa ini adalah selamat kerana kedudukan pesantren itu yang agak jauh dari Gunung Merapi.

Bagaimanapun, mereka tetap akan dipindahkan ke kawasan lebih selamat bagi menghindari bahaya kesan debu belerang gunung berapi itu selain memastikan mereka berada di kawasan yang mempunyai rangkaian perhubungan telefon secara terus menerus, katanya.

Dr Junaidy berkata, pelajar-pelajar Malaysia di Yogyakarta turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi kesan bencana letusan Gunung Merapi itu serta untuk menjadi sukarelawan.

Status awas gunung, yang berada di perbatasan Provinsi Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY) dan Jawa Tengah itu diumumkan Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kegunungapian (BPPTK) Yogyakarta pukul 6 pagi waktu tempatan hari ini.

Jumlah penduduk yang tinggal di kawasan rawan bencana itu dianggar berjumlah kira-kira 40,000 orang, yang tersebar di daerah Sleman (DIY), daerah Klaten, daerah Magelang dan daerah Boyolali (Jawa Tengah).

Peningkatan status Gunung Merapi itu dilakukan dengan berbagai pertimbangan, di antaranya peningkatan deformasi gunung yang telah mencapai 42 sentimeter setiap hari dengan gempa pelbagai fasa yang mencapai sekitar 500 kali.

Mengikut data yang direkodkan semalam, sehingga pukul 12 tengah hari, aktiviti seismik Gunung Merapi menunjukkan berlakunya 90 kali guguran bahan vulkanik, gempa pelbagai fasa (MP) 290 kali, gempa vulkanik dalam sebanyak tiga kali dan gempa vulkanik singkat sebanyak 36 kali.

Di daerah Sleman, pemindahan penduduk di kaki gunung itu dilakukan sejak pukul 7 pagi ini.

Pegawai Daerah Sleman Sri Purnomo meminta warganya untuk bersedia berpindah ke tempat yang selamat dan terus meningkatkan kewaspadaan.

Sementara itu, di Magelang, pihak berkuasa daerah memindahkan secara terhad warga di beberapa kawasan yang rawan terkena kesan letusan gunung berapi itu.

Dalam kejadian letusan Merapi yang terakhir pada pertengahan 2006, ia antara lain ditandai dengan semburan awan panas, luncuran lava pijar, dan hujan abu secara intensif.

Merapi tidak meletus seperti gunung berapi pada umumnya, namun berlaku letusan atau keluarnya magma dari perut gunung dengan cara meleleh turun sampai ke kakinya. 


GUNUNG MERAPI BAKAL MELETUS: PENDUDUK MULA DIPINDAHKAN

PULUHAN trak digunakan untuk memindahkan penduduk yang tinggal berdekatan Gunung Merapi, ekoran amaran tahap tertinggi dikeluarkan oleh kerajaan Indonesia berhubung kemungkinan gunung itu akan meletus bila-bila masa sahaja.

Pemindahan pertama melibatkan 2,260 penduduk dari beberapa kawasan termasuk Sumberejo, Kaliurang Utara dan Kaliurang Selatan sedang dilaksanakan.

Pihak berkuasa meramalkan kawasan yang akan terlibat jika gunung itu meletus ialah sekitar empat kilometer persegi dari kawasan pergunungan itu. -singalutmetro

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List