Laporan terkini Economist Intelligence Unit (EIU) menjangkakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal mencabar bosnya, Datuk Seri Najib Razak untuk merampas kerusi Presiden Umno pada pemilihan parti itu tahun depan dan senario ini akan menyebabkan berlakunya ketidakstabilan politik di Malaysia.
"Umno dilihat lebih cenderung kepada pertarungan dalam merebut jawatan tertinggi parti itu tanpa menghiraukan kepentingan parti lain dalam komponen Barisan Nasional dan ini bakal berlaku ketika kedudukan kuasa BN mula terancam.
"Dalam situasi begini, pergolakan politik akan menjadi halangan terbesar untuk mereformasikan ekonomi. Usaha memperlecehkan kredibiliti Perdana Menteri, Najib Razak sehingga pada satu tahap meletakkan beliau dalam risiko bagi menggantikannya sebagai Presiden Umno sekaligus mengambilalih tampuk pemerintahan," kata EIU dalam laporan terbaru mereka.
Ia ternyata jelas apabila Muhyiddin tidak pernah benar-benar menyokong mana-mana dasar Najib semenjak hari pertama beliau memegang jawatan Perdana Menteri walaupun mereka berdua dilihat berkempen sebagai satu pasukan semasa pemilihan Umno 2009.
Pada ketika itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendahului pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden mengumumkan berundur diri daripada pertandingan itu bagi memberi laluan kepada Muhyiddin, yang mendapat sokongan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kini, Muhyiddin dan Dr Mahathir telah bersatu tenaga dengan pertubuhan ultra Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan gandingan ini dilihat mempunyai kuasa yang lebih besar di dalam Umno berbanding Najib.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Senator Dr Syed Husin Ali dalam reaksinya menyifatkan perkara itu sebagai perkembangan terbaru yang menarik apabila Dr Mahathir mula menyalahkan barisan kepimpinan Najib sebagai punca utama 'Wawasan 2020' yang diasaskannya sukar dicapai.
"Nampaknya, Dr Mahathir mula mengkritik dan menyindir kepimpinan Najib sementara Najib yang terdesak mula menyalahkan mentornya dan Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai punca sehingga menyebabkan parti itu terjerumus di dalam masalah yang lebih besar.
"Ini semuanya menunjukkan perkembangan politik yang semakin menarik dan wajar diikuti," ujar beliau melalui twitternya.
0 comments:
Post a Comment