Wan Azizah atau Zaid Ibrahim...???

on Oct 11, 2010

WALAUPUN demokrasi dikatakan diamalkan sepenuhnya dalam pemilihan pucuk pimpinan PKR, seseorang tidak sepatutnya bertanding hanya kerana ada pencalonan merebut jawatan tertentu.

Memang, dua pencalonan sudah melayakkan seseorang bertanding. Tetapi selain pencalonan, tentulah ada perkara lain yang perlu difikirkan secara serius sebelum mereka memutuskan berlawan. Apakah mereka layak untuk jawatan yang calonkan? Apakah mereka bersedia memikul tanggungjawab sekiranya terpilih? Apakah dengan menawarkan diri bertanding tidak akan menjejaskan perpaduan parti?


Perlu juga ditanyakan ialah, apakah sekiranya seseorang yang dicalonkan itu bertanding dan menang tidak akan timbul soal seperti pilih kasih, nepotisme, dan sebagainya. Semua ini perlu difikirkan supaya selepas pemilihan nanti PKR tidak dilihat seperti parti anak-beranak.

* SENGAJA saya timbulkan soal nepotisme dan parti anak beranak ini sebab sudah ada cakap kononnya Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah, akan bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Malah, seorang Ahli Majlis Tertinggi parti, Zaid Ibrahim, sudah menyatakan akan memberi laluan – dan menyokong – anak Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merebut jawatan No.2.

Nurul menerima tiga pencalonan untuk melayakkan bertanding jawatan itu. Bukanlah hendak memperkecil bekas ‘Puteri Reformasi’ itu, tetapi pada saya ada ramai lagi calon lebih sesuai dengan jumlah pencalonan lebih tinggi, termasuk Zaid sendiri menerima 38 pencalonan.

Nurul masih terlalu awal untuk bertanding jawatan itu. Berilah peluang kepada orang lain yang lebih senior. Kalau saya jadi Nurul, paling pun saya hanya akan bertanding Majlis Tertinggi.

Katakan Nurul menang dan menjadi Timbalan Presiden. Ibunya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula menang Presiden (beliau menerima 123 pencalonan untuk jawatan itu), ayahnya pula menjadi Penasihat yang berfungsi ketua parti.

Bayangkan No.1 Wan Azizah, No.2 Nurul Izzah, dan Anwar kekal sebagai ketua, sahlah PKR yang lahir berikutan reformasi itu betul-betul parti anak beranak. Sebab itu saya yakin cakap-cakap Nurul akan berlawan jawatan Timbalan Presiden itu hanyalah gimik untuk menghangatkan suasana.

* DENGAN Wan Azizah menerima pencalonan paling tinggi (123) jawatan Presiden, kemungkinan besar doktor pakar pergigian itu menang, kecualilah jika Anwar yang menerima 15 pencalonan, bersedia menentang isterinya.

Walaupun ada desakan sesetengah pihak supaya bekas Timbalan Perdana Menteri itu bertanding jawatan No.1, ramai berasa Anwar, dengan masalah peribadi yang belum selesai, tidak akan bertanding. Itu langkah yang bijaksana.

Zaid menerima tiga pencalonan untuk jawatan No.1 itu. Sama ada beliau bersedia bertanding jawatan itu, bergantung kepada sama ada Nurul berlawan jawatan No.2 atau tidak. Seperti yang dilaporkan media beliau mungkin akan bertanding jawatan Presiden sekiranya Nurul bertanding Timbalan Presiden.

Dari segi pencalonan beliau sudah kalah dengan Wan Azizah. Tetapi, semua setuju pencalonan tidak semestinya diterjemahkan menjadi undi. Maka, siapa tahu Zaid akan menang dan menjadi Presiden baru PKR.

Tetapi, sekiranya dia tewas pun, itu masih tetap kedengaran gah, sebab tewas jawatan No.1. Itu tentulah lebih baik daripada tewas jawatan Timbalan Presiden.

* BAGI jawatan Timbalan Presiden, dari segi pencalonan Zaid adalah calon kedua popular. Beliau menerima 38 pencalonan jauh di belakang Azmin Ali yang mendapat 102 pencalonan. Lain-lain yang dicalonkan ialah Mustaffa Kamil Ayub (17), Tian Chua (5), Tan Sri Khalid Ibrahim (4), Wan Azizah (3) dan Nurul Izzah (3).

Sekiranya pencalonan betul-betul bertukar menjadi undi, Azmin akan menang jawatan No.2 penting itu. Tetapi, pencalonan tidak semestinya akan menjadi undi.

Dalam perlawanan bola sepak, ramalan paling hebat pun selalunya tidak menjadi, sebab bola bulat. Pertandingan PKR pun macam bola. Sekiranya betul-betul wujud demokrasi – tidak ada politik wang, tidak ada ugut-mengugut, dan tidak main pawang (ha ha ha!) – keputusan pemilihan November nanti mungkin mengejutkan. Bola mungkin memihak kepada Zaid.  Detikdaily

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List