1. Zaid Ibrahim, calon Timbalan Presiden PKR paling kontroversi - berkemungkinan besar akan dizalimi dan dianiayai dalam pemilihan parti tersebut Novermber depan. Kenyataan demi kenyataan yang dibuatnya sejak akhir-akhir ini, dilihat menongkah arus daripada kepimpinan perdana PKR, malah, mula dianggap sebagai ancaman "dalaman" kepada parti tersebut.
2. Beberapa pemerhati politik mendakwa - adalah tidak mustahil Zaid Ibrahim akan disabotaj pada saat-saat akhir menjelang hari pemilihan parti itu. Kenyataannya yang terlalu vocal agak sukar diterima oleh Anwar Ibrahim - sekali gus mengundang rasa kurang senang dalam kalangan orang-orang yang rapat dengan Anwar Ibrahim.
3. Namun demikian, kelantangan Zaid pada hemat saya, sama sekali tidak akan mengubah pola pengundian yang bakal diterima oleh Zaid. Rata-rata pemerhati politik mendakwa, Zaid sangat popular dalam kalangan ahli-ahli PKR yang berbangsa Cina dan India - bahkan, terdapat ramalan awal bahawa Zaid akan mendapat undi solit daripada ahli PKR yang berbangsa Cina dan India. Dalam hal ini "kumpulan Azmin" menyedari hakikat tersebut. Ideologi liberal yang dianuti oleh Zaid sangat digemari dan diterima oleh masyarakat Cina dan India, berbanding dengan ideologi "Takiyyah" Azmin Ali dan ideologi Islamisasi Mustaffar Kamil Ayup.
4. Malah, terdapat juga pandangan yang mendakwa, undi yang bakal diterima oleh Zaid tidak akan terlalu jauh bezanya dengan undi yang diterima oleh Azmin - sekali gus tidak mencerminkan "semangat pencalonan" yang banyak yang telah diterima oleh Azmin dari seluruh Cabang PKR sebelum ini. Soanya sekarang hanya satu, bagaimana Azmin dan kumpulannya mahu menyekat Zaid?
5. Walaupun andaian awal sudah dibuat - Zaid Ibrahim akan tewas dan Azmin Ali akan dinobatkan sebagai Timbalan Presiden PKR, tetapi apakah jaminan untuk memastikan Zaid tidak akan buat "kacau" lagi dalam PKR pada masa yang akan datang? Selagi Zaid berada di dalam PKR, selagi itulah ia akan dilihat sebagai "menyemak" dalam pentadbiran Azmin Ali - sekali gus turut mengganggu kelangsungan politik kroni nombor satu Anwar Ibrahim tersebut.
6. Azmin Ali dilihat tidak mempunyai pilihan - langkah politiknya masih jauh. Selagi kerusi Presiden PKR tidak berada dalam genggamannya, maka kedudukan Azmin Ali masih goyah dan mudah tercabut. Keadaan akan bertambah kritikal, sekiranya Anwar Ibrahim dicampak ke penjaran dan tidak lagi bersama dengan PKR. Kedudukan Azmin terlalu bergantung dengan Anwar Ibrahim, hal ini sangat berbeza dengan Zaid - yang jelas dan terang bergantung pada diri sendiri. Idealisme Zaid jelas dan tidak kabur seperti Azmin. Keberanian Zaid juga tampak nyata dan tidak bersifat bersembunyi seperti Azmin. Zaid mempunyai masa depan yang cerah dalam politik PKR - tetapi Azmin berada dalam keadaan yang bahaya.
7. Sabotaj dan tikam kawan dari arah belakang masih tetapi menjadi senjata pilihan dalam kebanyakan ahli politik dan organisasi - hanya cara ini sahaja, jalan paling mudah dan selesa untuk membunuh pesaing paling rapat. Tidak terlalu sukar untuk meramal keadaan Zaid dalam tahun-tahun yang akan datang. Bahkan, saya percaya Zaid akan meluahkan ketidakpuashatinya dalam pemilihan PKR November ini - bahkan, jangan terkejut akan muncul perkataan-perkataan seperti berikut, "Saya Disabotaj", "Saya Dianiayai", "Saya Dizalimi". "Pemilihan Tidak Telus". "Penyelewengan" dan "Ada Tangan Tersembunyi Caturkan Kemenangan".
8. Ramalan saya mudah - Zaid akan tewas, tetapi undi yang diperolehnya daripada para perwakilan bakal mengejutkan ramai pihak - sekali gus membuktikkan pengaruh Zaid di peringkat akar umbi sangat kukuh. Zaid akan disabotaj dan nafikan haknya - namun demikian, ia tidak akan mengubah apa-apa keputusan. Azmin Ali akan tetap berada di kerusi nombor dua PKR - tetapi akan terus diganggu dengan bayang-bayang Wan Azizah dan Zaid Ibrahim. Walauapapun akhirnya, tinggal tujuh hari lagi ahli-ahli PKR yang akan menentukan siapa yang mereka mahu memimpin PKR, bermula 29 Oktober ini sehingga 21 November depan. Selamat Datang Keadilan! Baca Laporan di bawah :
PENGERUSI PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim memulangkan ‘paku buah keras’ kepada panglima-panglima Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kenyataan terbaru beliau semalam. Zaid yang dalam rangka berkempen di Selatan tanah air berkata, beliau kesal dengan pihak tertentu dalam PKR yang memarahinya kerana tidak membela Anwar dalam kes tuduhan liwatnya yang masih berjalan di mahkamah.
“Bukan tak bela (Anwar), memang ada (bela), perhimpunan dah buat.., doa dah buat, Datuk Seri Anwar telah ada peguam, kita juga kena ingat perkara (isu) lain pun kita (perlu beri perhatian dan) jangan abaikan,” kata calon Timbalan Presiden PKR itu. Sebelum ini. Naib Presiden PKR, Azmin Ali, dan R Sivarasa serta Setiausaha Agung parti itu Saifuddin Nasution mengatakan Zaid terperangkap dengan propaganda UMNO apabila membuat kenyataan supaya PKR keluar dari tumpu isu ‘keadilan untuk Anwar’ sahaja.
Berikutan itu, Zaid mengakui, walaupun beliau bukan calon kegemaran untuk pemilihan kepimpinan parti itu tetapi maklum balas yang diterima daripada ahli adalah baik dan memuaskan. Menurut Zaid, antara tiga calon Timbalan Presiden PKR yang bertanding pada pemilihan November ini, hanya ada seorang calon yang diminati ramai.
“Saya bukan calon kegemaran ramai, calon kegemaran seorang sahaja, itu kamu (media) kena tanya Datuk Seri Anwar Ibrahim, dia tahulah,” katanya. Beliau mengulas peluangnya bertanding jawatan itu bersama dua lagi pencabarnya iaitu Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan Ketua Perhubungan PKR Perak, Mustaffa Kamil Ayub. Pemilihan bagi jawatan tertinggi parti tersebut diadakan pada 31 Oktober hingga 21 November, manakala kongres kebangsaan parti mulai 26 hingga 28 November.
Zaid berkata, beliau tidak kisah pertandingan itu melibatkan tiga penjuru dan menyerahkannya kepada pengundi, selain berharap proses pemilihan akan berjalan lancar. “Pertandingan lima penjuru pun tidak apa, harap semuanya berjalan lancar dan jangan jadi macam (pemilihan) baru-baru ini (timbul masalah) dari segi pengundian, bilangan undi dan sebagainya,” katanya.
Ditanya adakah kedatangannya ke Johor hari ini untuk berkempen bagi meraih undi, beliau berkata, perjumpaan itu adalah pertemuan biasa kerana ahli PKR negeri mahu berjumpanya. Mengenai kegagalan PKR dan Parti Maju Sabah (SAPP) mencapai persetujuan untuk meletakkan calon di Parlimen Batu Sapi, Sabah, beliau kecewa dengan perkara itu. Jelas beliau, sepatutnya PKR dan SAPP perlu memastikan salah satu daripada parti berkenaan bertanding satu lawan satu dengan Barisan Nasional bagi merebut kerusi Batu Sapi.
0 comments:
Post a Comment