Dr Asri: Sudah masanya Anwar bersara 'politik'.....???

on Nov 1, 2010


Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin berkata sudah sampai masanya untuk ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara 'politik' kerana banyak rentak tari politiknya makin 'tidak seimbang'.

Menulis dalam blognya di bawah tajuk 'Politik kita memerlukan anjakan baru', Dr Mohd Asri menegaskan "politik kita memerlukan watak-watak baru yang bernas, matang dan tangkas".

Mereka yang disifatkan oleh sarjana politik Islam sebagai mempunyai 'al-quwwah' (kemampuan), al-Amanah (amanah) dan mereka yang berteraskan politik idea dan nilai, bukan politik duit, atau politik tauke, tulisnya lagi.

"Kita perlu politik idea iaitu politik yang berteraskan kebijaksaan dan pemikiran yang bernas dalam memajukan masyarakat dan negara. 

"Kita tidak mahu politik sekadar kutuk-mengutuk, maki-memaki dan hina menghina tanpa sebarang cadangan yang membina dan memajukan pemikiran rakyat. 

"Kita mahu ahli-ahli politik kita berkualiti sehingga kita rasa mereka layak mewakili kita atas kebolehan kepimpinanan mereka yang berteras ilmu dan budi," tambahnya

Sehubungan itu, Dr Mohd Asri menyarankan semua ahli politik yang merasakan zaman mereka sudah habis, "berilah laluan kepada mereka yang baru demi untuk kebaikan rakyat."

"Sama ada di pihak pembangkang ataupun kerajaan, hal yang sama mesti dilakukan. Ramai pelakon veteran sudah tidak sesuai menjadi 'hero' dalam pentas baru politik hari ini. 

"Biarlah mereka tersimpan dalam diari sejarah politik kita dengan kadar sumbangan yang telah dibuat. Jika Tun Abdulllah (Ahmad Badawi) pun bersara, makin mereka yang 'sewaktu' dengannya dalam pembangkang pun perlu bersara," tulisnya.

Mengenai saranannya supaya Anwar bersara politik, Dr Mohd Asri berkata zamannya mungkin makin menyusur pergi dan "saya tidak fikir generasi baru terus bertahan untuk melihat 'story-design' politik yang sama."

"Berilah peluang untuk beliau berundur dengan aman. Demi untuk mewjudkan pembangkang yang lebih berkualiti dan berkesan. Saya rasa beliau perlu menerima hakikat ini. 

"Demikian setiap kita ada hari datang dan hari pergi. Biarlah kita datang disambut mesra, dan kita pergi diucapkan terima kasih dan hormat, bukan dipaksa keluar," tambahnya.

Sambil memohon maaf, Dr Mohd Asri berkata beliau apa-apa kepentingan kedudukan ataupun jawatan atas pandangan yang seperti ini. 

"Saya tahu sesetengah pembangkang cepat 'melenting' jika ada pandangan yang mereka tidak setuju. 

"Namun, mereka kena ingat banyak pandangan yang saya tajam terhadap kerajaan, alhamdulillah mereka tidak melenting, sebaliknya berinteraksi dengan baik," tulisnya.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List