SHAH ALAM: Perhimpunan suaikenal anjuran PKR Selangor di sini malam tadi bertukar menjadi medan menggodam Zaid Ibrahim dalam usaha untuk membersihkan parti dari "trojan horses".
Walaupun beberapa pemimpin parti tidak menyebut nama individu berkenaan secara spesifik namun jelas mereka menghentam setiap kenyataan negatif bekas pengerusi PKR Wilayah Persekutuan itu terhadap parti.
Zaid yang juga bekas menteri undang-undang mengambil keputusan keluar parti berkuatkuasa 16 Disember ini dalam satu sidang akhbar yang penuh sesak dengan wartawan dari berbagai media cetak dan elektronik di kediamannya semalam.
Pengerusi PKR Selangor Azmin Ali, pesaing terdekat Zaid dalam jawatan timbalan presiden sebelum ini, dalam ucapannya merayu kepada kepimpinan tertinggi parti agar bertindak tegas dan berani untuk membersihkan "trojan horses" ini kelak.
Menurut beliau, gesaan Zaid supaya Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur dari parti disifatkan sebagai melampau.
Minta Anwar berundur tindakan melampau
Azmin berkata, "ada suara-suara sumbang……. jika suruh saya berundur saya terima. Tapi kalau suruh Datuk Seri Anwar Ibrahim berundur itu tindakan melampau.
"Beliau umpama orang tiada rumah, kita jemput masuk dan beri segala kemewahan, beri segala makanan dan tilam empuk, permaidani hebat…setahun nikmati kemudahan itu," tambah beliau.
Ujar beliau, "maka saya rayu Anwar, (Presiden) Wan Azizah (Wan Ismail), Timbalan Presiden (Syed Husin Ali), Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat selesai kongres……. kita perlu tegas dan berani untuk membersihkan ‘trojan horses’ yang wujud dalam parti.
"Jangan tangguh…sebab kita bimbang dengan orang-orang seperti ini.
Kita bersama presiden, Anwar dan rakyat sudah bina parti ini 12 tahun lalu," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 1,000 anggota PKR di Auditorium MBSA malam tadi.
Katanya, semakin banyak serangan diterima PKR beliau yakin parti itu akan bertambah kuat.
Penyandang timbalan presiden Dr Syed Husin Ali yang cukup lantang mengkritik Zaid mengalu-alukan pengunduran beliau daripada PKR.
"Apa hendak kita gelarkan kepada seseorang yang menafikan keputusan Pakatan Rakyat memboikot Utusan Malaysia dan memburukkan parti?," tanya Azmin.
"Jika orang ini hendak keluar…sila keluar. Jika orang ini nak gunakan tali gantung untuk gantung diri pastikan biar sampai mati," katanya.
‘Fikir banyak kali, jangan nanti ‘gila bayang’
Sementara itu, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan pemimpin yang keluar parti kelak agar tidak bertindak seperti orang ‘gila bayang’.
Beliau turut merujuk kepada kes bekas setiausaha agung PKR P Jenapala yang menyaman parti berhubung pemilihan ini sebagai tidak dapat menerima hakikat.
Saifuddin menyifatkan Jenapala sebagai ‘tidak dapat menerima hakikat’ ekoran pemecatan dalam PKR sehingga bertindak untuk saman parti.
"Pemimpin seperti ini memang kurang ajar, jangan kita biarkan mereka. Setuju atau tidak untuk bersama dengan dia?," soal Saifuddin sambil disahut ‘tidak’ oleh para mereka yang hadir.
"Beliau mahu keluar parti 16 Disember….sebab nak jelajah nak dapat sokongan," kata Ahli Parlimen Machang itu tanpa menyebut nama individu terbabit.
Dipecat kerana muflis
"Mereka hantar saman sedangkan sebelum saya jadi setiausaha Jenapala sudah dipecat sebab muflis. Dia tidak terima hakikat dan hantar surat. Saya ingatkan kembali sebelum mahu bercerai fikir banyak kali, jangan nanti gila bayang"," katanya.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pula dilihat lebih tenang daripada pemimpin lain yang cukup agresif ketika mengkritik dan mempersoal kesetiaan Zaid terhadap parti.
Beliau menekankan semangat setia kawan serta semangat perjuangan dalam parti berusia 12 tahun itu.
Tegas beliau, "kita perlu ingat bahawa kejayaan PKR bersama-sama Pakatan Rakyat mesti mementingkan rakan pasukan bukan diri sendiri, itu kekuatan kita.
"Setiap ahli wajar pegang prinsip perjuangan dan semangat setia kawan maka rakan lain turut terasa apabila ‘cubit peha kiri peha kanan terasa sakit," katanya.
0 comments:
Post a Comment