LHDN tolong siasat Khir Toyo - Faekah Husin

on Dec 9, 2010



 Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diminta menyiasat bekas menteri besar Selangor kerana dakwaan yang dikenakan ke atas Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo tidak menggambarkan keseluruhan kesalahan yang telah dilakukan mantan Menteri Besar Selangor itu.
Ia juga tidak memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam menangani penyakit utama negara yakni rasuah. Jauh sekali membersihkan kekotoran yang terpalit dan sebati pada Umno.


Demikian kata Setiausaha Politik MB Selangor, Faekah Husin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.



Langkah ini perlu, apatah lagi kesalahan Dr Khir bukan semudah yang digambarkan, kata berliau dalam kenyataannya itu.



Pada 6 Disember lalu, Khir Toyo, 45, didakwa berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah di Seksyen 7, Shah Alam.



Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.



Dr Khir didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.



Adun Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.



Menurut Faekah, siasatan perlu dilakukan samada cukai hartanah dikenakan mengikut nilai sebenar lot tanah tersebut memandangkan Dr Khir dengan sengaja memberikan taksiran palsu bagi mengelak dari membayar cukai.



Begitu juga dengan bayaran duti setem. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana perbuatan mengelak dari membayar cukai dengan melakukan 'under declare' adalah satu kesalahan yang serius.



Rakyat, katanya, merasakan pendakwaan terhadap Mohd Khir ke mahkamah semata-mata sandiwara politik yang sering dimainkan Umno dan Barisan Nasional bagi menutup salahguna kuasa yang lain.



"Pendakwaan ini lebih kepada memberi laluan mudah bagi pimpinan UMNO untuk melantik Pengerusi Negeri yang baru," dakwa beliau. 



Ia juga, katanya, satu helah untuk Umno Selangor menonjolkan imej bersih dengan mengganti pemimpinnya yang sudah hilang kredibiliti. 



"Ingin ditegaskan, rakyat sebenarnya tidak peduli dengan sandiwara politik ini. Bagi rakyat, apa yang lebih penting ialah tindakan yang diambil pihak berkuasa terhadap pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan rasuah dan sejauh mana kesungguhan UMNO menangani masalah rasuah," tambah beliau.



Rakyat, katanya, tetap akan menghukum mereka kerana selama 50 tahun, pemimpin-pemimpin Umno bukan saja mengamalkan rasuah malah gagal mentadbir Negeri Selangor secara bijak, cuai dan tidak telus.



Puluhan projek pembangunan yang diluluskan tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan. Akibatnya ia hanya menguntungkan syarikat kroni dan projek pula terbengkalai begitu sahaja. Ribuan pembeli rumah di projek Bukit Botak tertipu dan ramai pula menjadi bankrup, tambah beliau.



Projek Alam Perdana pula, kata Faekah, yang melibatkan hartanah seluas lebih 7,000 ekar juga terbengkalai; puluhan ribu pembeli rumah menggigit jari sehingga ke hari ini.
Hutang Talam sebanyak RM391 juta adalah satu lagi contoh nyata kegagalan pentadbiran UMNO-BN. Ribuan ekar tanah telah diagih-agih sesama mereka, baik dalam bentuk pembangunan mahupun sebagai peneroka felda hatta Projek Revolusi Hijau.



"Mendakwa Dr Khir tidak bermakna mereka kini sedang di dalam proses pemutihan dan pemimpin yang bakal dipilih menerajui Umno Selangor harus diberikan peluang. Pilihlah sesiapapun, rakyat Selangor telah membuat keputusan," tambah beliau.



Dosa dan perbuatan rasuah mereka, katanya, terbongkar selepas Selangor diambil alih Kerajaan Pakatan Rakyat yang kini berhempas pulas membersihkan sampah sarap yang ditinggalkan.



"Memang sukar namun hampir separuh masalah tersebut telah berjaya diselesaikan walaupun baru bertapak di Selangor kurang dari 3 tahun. Kesilapan yang dilakukan oleh Umno dan BN tidak akan diulangi oleh Kerajaan Pakatan Rakyat kerana kami tidak akan sesekali memandang rendah kebijaksanaan rakyat membuat penilaian dan pilihan," tegasnya.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List