Hisham dakwa ramai kecewa pendirian Soi Lek di konvensyen BN

on Dec 9, 2010



Datuk Seri Hishammuddin Hussein mendakwa Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah menyinggung sejumlah pemimpin hujung minggu lalu ekoran kenyataan agar ungkapan-ungkapan tertentu antaranya “Ketuanan Melayu” dilarang daripada digunakan manakala Umno pula tidak lagi meluluskan dasar-dasar kerajaan dalam mesyuarat Majlis Tertingginya.

Naib Presiden Umno ini (gambar) berkata banyak pihak telah melahirkan rasa tidak puas hati mereka dengan sikap Presiden MCA itu menggunakan konvensyen Barisan Nasional (BN) Ahad lalu sebagai platform untuk melahirkan keluhan dan rintihan terhadap parti pemerintah ini.

“Saya dengar ramai yang tidak gembira dengan apa yang dikatakan oleh Soi Lek termasuk pemimpin-pemimpin MCA sendiri, dalam konteks konvensyen BN,” kata Hishammuddin pada sidang media di lobi bangunan Parlimen hari ini.

Kenyataan Hishammuddin hari ini kelihatan satu persekitaran menghidupkan balik ‘perang’ antara dua komponen BN ini, selepas kedua-dua berbalas pandangan berhubung saranan MCA mengenai pemansuhan tindakan afirmatif dan sasaran ekuiti 30 peratus Bumiputera.

Bagaimanapun Hishammuddin jelaskan, meskipun kecewa dengan apa yang dikatakan oleh Dr Chua, apa yang lebih penting ialah konvensyen Ahad lalu menunjukkan BN adalah satu perikatan yang benar-benar bersatu.

“Kesemua presiden parti dalam BN telah diberi peluang untuk memberikan ucapan tetapi sudah pasti, isu sensasi ini (yang) dipetik,” kata beliau.

Hishammuddin menambah, jika beliau respons ke atas kenyataan keras Dr Chua terhadap parti pemerintah, isu itu kemungkinan akan berterusan sewenang-wenangnya.
“Sebaliknya, saya mahu melihat ke depan. Apa yang dikatakan (oleh Dr Chua) mungkin terjadi ke atas kesemua pemimpin, kesemua parti, tetapi apa yang penting ialah rumusan konvensyen, dalam ucapan pengerusi BN (Datuk Seri Najib Razak), kata-kata beliau dan aspirasi beliau untuk mentransform BN, itu yang lebih penting,” kata beliau.

Berhubung kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Puad Zarkashi yang secara terbuka membidas Dr Chua dalam rencana disiarkan hari ini berkenaan dengan isu “Ketuanan Melayu” dan kenyataan mengenai sistem “abang, adik” yang wujud dalam BN, Hishammuddin berkata:
“Kemungkinan ada sedikit kekecewaan dirasakan oleh beberapa pemimpin tetapi ia tidak bermakna BN bersetuju secara total dengan Soi Lek atau BN bersetuju dengan timbalan menteri.”

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List