Nasib baik ada "Raja Melayu", "Ketuanan Melayu" kalau tidak.......???

on Jan 6, 2011

Ketuanan Melayu - satu slogan yang berdentam-dentum dilaungkan sekarang. Umno dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dalam kepompong BN turut melompat-lompat, menghentak meja kononnya Malaysia sudah tidak selamat lagi apabila parti-parti pembangkang sudah enggan mempertahankan Ketuanan Melayu.

Yang seronoknya, apabila mereka terdesak, slogan Ketuanan Melayu ini dijadikan bahan, kononnya Pakatan Rakyat jika berjaya menawan Putrajaya - yang mahu dipertahankan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak habis-habisan dikaitkan kononnya mereka ini, tidak menghormati istana dan Raja-Raja Melayu

Benarkah? Adakah sejarah tercatat mengatakan PAS, KeADILan dan DAP memang tidak menghormati Ketuanan Melayu dan Raja-Raja Melayu? Atau, sejarah mencatatkan bahawa Umno secara nyata pernah memalukan institusi Raja-raja hingga meminda Perlembagaan negara! 

Benarlah, bekas pemimpin Umno suka menggunakan perkataan Melayu mudah lupa. Tetapi Melayu yang mudah lupa, mereka tidak mudah melupakan bagaimana Umno mengajak rakyat berhimpun di merata tempat dan menggunakan media massa untuk mendedahkan pelbagai cerita buruk dan jijik mengenai Raja-Raja Melayu.

Dua tahun dahulu, apabila berlaku krisis perlantikan Menteri Besar Terengganu berlaku, bukan orang PAS, atau KeADILan atau DAP yang mengoncang pagar istana tetapi Adun-Adun Umno yang diiringi penyokong yang membawa sepanduk dengan kata-kata hodoh mendesak pihak Istana Terengganu supaya tidak menolak cadangan Umno untuk menamakan Menteri Besar.

Apa perkataan yang digunakan, tidak usahlah diulang-ulang tetapi itu satu contoh di mana perangai Adun-Adun Umno yang mewakili BN dalam pilihan raya, apabila sudah menang, mereka mulakan acara rasmi mereka dengan menyerang dan mengherdik istana.

Inikah Ketuanan Melayu? Inikah yang menyebabkan mereka hari ini, beria-ia sangat mahu mengekalkan Ketuanan Melayu tetapi dalam masa yang sama, mereka mahu rakyat dan orang Melayu lupa bahawa Umno dan BN lah sebenarnya yang tidak pernah mahu menghurmati Ketuanan Melayu yang mereka perkatakan sekarang.

Sejarah memang sudah membuktikan bahawa semua kaum, selain dari orang Melayu menghormati Ketuanan Melayu. Mereka tahu, datuk nenek mereka memang pendatang ke bumi Malaysia ini. 

Tetapi, generasi yang ada hari ini adalah generasi yang dilahirkan dan mendapat pendidikan di sini. Persoalannya, masih ada yang mahu mengatakan bahawa selain dari Melayu, semuanya kaum pendatang.

Tentulah orang Cina dan orang India tidak dapat menerima hakikat tersebut. Itulah sebabnya, bekas Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Ahmad Ismail dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjung Piai, Johor, Nasir Safar dikenakan tindakan kerana kenyatan mereka yang berbaur perkauman.

Jadi, kalau dari pemimpin Umno dan mereka yang taksub dengan kehebatan BN mahu memperjuangkan Ketuanan Melayu, perkara pertama yang mereka harus buat ialah dengan mengajar orang-orang mereka supaya tahu apa itu Ketuanan Melayu yang sedang mereka laungkan.

Janganlah, hanya kerana terdesak mahu mempertahankan Putrajaya, rakyat dibohongi dengan cerita Ketuanan Melayu - hanya BN sahaja yang faham dan mampu mempertahankannya. 

Ketuanan Melayu perlu diterjemahkan bahawa pemimpin Umno dan BN menjauhi rasuah dan tidak merampas hak rakyat untuk mengisi tembolok mereka.

Ketuanan Melayu cintakan kejujuran dan keikhlasan. Oleh sebab itu, usahlah menjerit dengan Ketuanan Melayu, lalu mengucup keris tumpul dan akhirnya tersedu-sedu menahan kesedihan kerana terpaksa meminta ampun dan maaf daripada MCA yang menentang keris dikucup oleh pemimpin Umno.

Umno dan BN boleh mempertahankan kuasa yang mereka pegang, jika mereka boleh berubah. Memetik kata-kata Perdana Menteri, "berubah atau rebah". 

Jadi, betullah, Umno bukan kalah kerana gagal mempertahankan Ketuanan Melayu sebaliknya, gagal berkhidmat dengan penuh jujur dan menjauhi rasuah.

Tanpa menyentuh pendakwaan yang sedang dihadapi bekas Presiden MCA, Tun Dr. Ling Liong Sik dan bekas MB Selangor Dato' Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, para pemimpin Umno kena ingat kata-kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; "seseorang itu bukan sahaja perlu bersih tetapi dilihat bersih".

Apakah masih ada saki-baki pemimpin Umno yang bersih dan dilihat bersih? Janganlah disebabkan tidak ada lagi pemimpin yang bersih dan dilihat bersih, maka mereka mahu jadikan slogan Ketuanan Melayu sebagai 'kambing hitam' bagi tujuan memberi oksijen bagi menyambung hayat Umno dan BN.

Selama ini Umno dan BN sahaja yang menterjemahkan apa ertinya Ketuanan Melayu. Maka terjemahan mereka, ikut kefahaman mereka. 

Kalau ada pihak lain, khususnya dari Pakatan Rakyat yang menterjemahkannya, mereka akan anggap terjemahan itu tidak tepat. Malangnya, kefahaman mereka terhadap Ketuanan Melayu kini sudah semakin sempit.

Umno dan BN sekarang cukup rindu untuk mengucup keris tumpul. Mereka sudah tidak ada peluang untuk berbuat demikian kerana MCA dan Gerakan tidak benarkan. 

MCA dan Gerakan mahukan Umno berubah dalam suasana politik yang lebih bijak, selain dari mengucup keris. Sesekali, bertelingkah MCA dan Gerakan - tetapi, kemudiannya semua senyap seolah-olah isu itu sudah selesai.

Sebenarnya, MCA dan Gerakan berdendam. Ketika Umno mengungkit-ungkit jasa mereka kepada MCA dan Gerakan yang menang bertanding di kawasan majoriti Melayu, hakikatnya Umno sendiri sedar bahawa kawasan yang Umno menang adalah kawasan yang pengundi Cina atau India menjadi penentu kemenangan.

Cuba bertanya kepada Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Hussein, mampukah dia menafikan kemenangannya di Parlimen Sembrong, Johor kerana undi dari pengundi Cina? 

Jika dia menafikannya, kita sama-sama tunggu apakah Hishammuddin masih mahu kekal bertanding di kerusi yang ditandinginya sekarang atau tidak?

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List