Pejabat Parti Keadilan Rakyat hari ini menyifatkan Utusan Malaysia dan blogger upahan Umno sebagai dangkal dan berniat jahat kerana terus mempersoalkan catatan Twitter dan Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim bersabit fitnah video lucah.
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata akhbar milik Umno dan blogger upahan parti itu membuat tuduhan melulu tanpa menyedari pesanan yang dipaparkan di laman Twitter adalah sejam lebih cepat berbanding di laman Facebook.
Sabtu lalu, Rafizi memberi bukti bahawa Anwar membuat 9 pesanan melalui akaun Twitter yang turut dipamerkan di Facebook, bermula jam 10:38 malam pada 21 Februari 2011.
Video lucah itu kononnya dirakam di sebuah hotel di Kuala lumpur dari jam 10.23 hingga 10.45 malam.
Pesanan-pesanan di alam siber itu secara jelas menunjukkan mustahil Ketua Pembangkang adalah pelaku video lucah sebagaimana yang difitnah oleh Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Dato’ Shazryl Eskay Abdullah.
Utusan Malaysia tidak menyiarkan kenyataan Rafizi itu kelmarin atau pun semalam.
Rafizi berkata dengan menjual hujah sebegitu kepada orang awam, Utusan Malaysia dan bloger upahan Umno jelas hanya berniat memfitnah Anwar.
“Saya dengan sengaja meninggalkan penerangan mengenai kenapa pesanan yang dipaparkan di laman Twitter adalah sejam lebih cepat berbanding di laman Facebook pada 21 Februari 2011 itu, untuk memberi peluang kepada Utusan Malaysia, media perdana dan blogger UMNO mengkaji dengan lebih mendalam demi kebenaran,” kata Rafizi.
“Saya menjangkakan mereka tidak akan berusaha memahami bagaimana laman Twitter dan Facebook berfungsi, sebaliknya akan terus memfitnah dan menggunakan isu itu” kata beliau.
Rafizi menjelaskan perbezaan satu jam pada 21 Februari 2011 itu boleh diterangkan dengan mudah sekiranya mereka benar-benar memahami konsep “daylight time saving” yang diamalkan di Amerika Syarikat dan bagaimana laman Twitter dan Facebook berfungsi.
Masa yang dipamerkan di laman Facebook adalah masa tempatan, kerana Facebook merujuk kepada masa yang ditetapkan di dalam komputer peribadi atau laptop semasa akaun dibuka.
“Oleh sebab itu, berbeza dengan akaun Twitter, Facebook tidak membenarkan pengguna menetapkan zon masa kerana rujukan masa dibuat secara terus kepada masa yang ditetapkan di dalam komputer peribadi pengguna,” kata Rafizi.
“Oleh itu, mereka yang arif mengenai teknologi maklumat tahu bahawa masa yang dipamerkan di laman Facebook adalah masa tempatan di mana pengguna Facebook berada,’ jelas beliau.
Masa setiap pesanan dibuat oleh pengguna dari seluruh dunia akan merujuk kepada masa di pelayannya kemudian ditambah perbezaan masa mengikut zon masa dunia.
Oleh sebab itulah, laman Twitter menetapkan bahawa pengguna perlu memilih zon masa apabila mula-mula membuka akaun.
Rafizi berkata proses itu melibatkan isu perbezaan masa di antara zon-zon masa dunia dengan San Francisco, Amerika Syarikat.
“Ini akan memberi kesan kepada perbezaan masa di antara zon-zon masa dunia, apabila jam diubah di Amerika Syarikat mengikut “daylight saving’ yang bermakna masa di pelayan laman Twitter juga akan berubah.” kata beliau.
Rafizi menjelaskan bagi musim sejuk (November hingga Mac di Amerika Syarikat), perbezaan masa antara San Francisco dan Malaysia adalah 16 jam.
Setiap pesanan yang dibuat ke laman Twitter dalam tempoh masa itu akan berbeza selama 16 jam dan pelayan laman Twitter akan secara automatik mengira waktu di tempat asal berdasarkan perbezaan 16 jam itu.
Sebagai contoh, pesanan yang dibuat pada jam 10:40 malam di Malaysia pada 21 Februari 2011 adalah bersamaan dengan jam 7:40 pagi di San Franciso (kerana jam Malaysia tidak diubah mengikut daylight saving).
Tetapi pelayan Twitter akan menambah 16 jam, maka masa yang dipamerkan di laman Twitter adalah satu jam lebih cepat iaitu 11:40 malam (kerana Malaysia tidak mengubah jam seperti di Amerika Syarikat) kata Rafizi.
Rafizi seterusnya menjelaskan apabila jam di Amerika Syarikat diubah semula bermula pada hari Ahad kedua bulan Mac mengikut daylight saving, perbezaan di antara zon masa Malaysia dan San Francisco menjadi 15 jam.
“Maka, pesanan yang dibuat ke laman Twitter mempamerkan masa yang seragam dengan masa tempatan, “ kata beliau.
“Perkara yang semudah ini tidak dapat difikirkan secara rasional oleh Utusan Malaysia dan blogger UMNO kerana mereka
taksub dan tenggelam dengan fitnah mereka sendiri,” kata Rafizi,
“Mereka lupa prinsip mudah iaitu yang bertukar jam adalah pelayan Twitter di San Francisco kerana Amerika Syarikat menggunapakai sistem daylight saving sedangkan Malaysia tidak,” tambah beliau.
Oleh itu, masa yang ditunjukkan oleh laman Facebook yang menggunakan masa tempatan mengikut masa komputer peribadi dan laptop masing-masing adalah masa yang tepat dan tidak dipengaruhi oleh perubahan satu jam (di Twitter) akibat perubahan waktu di Amerika Syarikat menggunakan kiraan daylight saving.
Rafizi turut menggunakan pesanan yang dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pada 5 Disember 2010:
Beliau menghantar pesanan melalui laman Twitternya bahawa “PM @NajibRazak sedang memberi ucaptama di Konvenseyen BN”. Laman Twitter mempamerkan masa pesanan itu dibuat pada jam 9:55 pagi iaitu satu jam lebih cepat dari yang ditunjukkan oleh laman Facebook beliau.
“Saya jemput Utusan Malaysia dan semua blogger UMNO untuk menyemak kembali aturcara Konvensyen BN pada 5 Disember 2010 dan mereka perlu menerima hakikat bahawa ucaptama Perdana Menteri bermula sekitar jam 8:30 pagi, sekaligus membuktikan bahawa masa yang dipamerkan di laman Facebook adalah tepat,” kata Rafizi.
Rafizi berkata penutupan fakta-fakta ini oleh Utusan Malaysia dan tindakan Perdana Menteri dan UMNO yang mengalih perhatian kepada video seks lucah tanpa mengambil hukuman berat ke atas dalangnya, “membuktikan bahawa ia satu lagi konspirasi jahat UMNO.”
“Isunya bukanlah perbezaan satu jam atau aktiviti Twitter Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Isunya adalah nama dan maruah negara yang dimalukan kerana cubaan fitnah ini. Isunya adalah perlakuan jenayah oleh beberapa orang kuat UMNO yang sehingga kini masih bebas dan tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa,’ tegas Rafizi.
“Isunya adalah tindakan pihak berkuasa membenarkan kegiatan jenayah itu berlaku di tempat awam yang rapat dengan kerajaan. Isunya adalah perlakuan rasuah yang cuba membeli Ahli Parlimen KEADILAN yang sehingga kini belum diambil tindakan oleh SPR mahupun SPRM,’ tambah beliau.
sumber: TVS News
0 comments:
Post a Comment