Supremo DAP Lim Kit Siang akan membincangkan cadangan penggabungan antara parti itu dengan Snap bersama pemimpin kanannya apabila beliau melawat Sibu esok. Lim mengakui cadangan yang dikemukakannya awal minggu ini - tiga hari selepas DAP mencatatkan kemenangan terbesarnya di Sarawak - menerima pelbagai aksi berbeza. “Terdapat respon yang berbeza, ada menyokong dan ada menentang terhadap cadangan supaya DAP dan Snap secara serius menggabungkan kedua-dua parti mereka,” katanya. Setiausaha Snap Stanley Jugol berkata tidak ada kemungkinan partinya akan bergabung dengan DAP. “Ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini. Kami tidak teruja dengan cadangan itu,” katanya kepadaMalaysiakinisemalam. PKR Sarawak pula melahirkan rasa terkejut apabila mendapat tahu bahawa Lim telah membuat cadangan seupama itu. "Oleh kerana kami adalah rakan dalam Pakatan Rakyat, kami menghargai penjelasan cadangan penggabungan daripada Lim dan DAP,” kata pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dalam satu kenyataan akhbar yang bernada keras. Katanya, Snap di sebalik retoriknya sebagai anggota Pakatan Rakyat sebelum ini, secara terangan menampilkan 26 calon sehingga menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru dengan PKR di beberapa kerusi. Lim menjelaskan hari ini perbincangan cadangan penggabungan antara DAP dan Snap tidak akan diteruskan jika pemimpin Snap menentangnya. “Cadangan supaya kemungkinan digabungkan DAP dengan Snap bagi mempercepatkan kesedaran politik Dayak berikutan pilihan raya Sarawak 16 April lalu adalah untuk mengelakkan pertandingan pelbagai penjuru - ia hanya cadangan.” Tambah Lim perkara itu juga belum dibincangkan dengan pemimpin DAP Sarawak dan juga jawatankuasa pusat negeri. “Saya akan ambil peluang lawatan ke Sibu esok bagi bincangkan idea tersebut dengan pemimpin DAP Sarawak dan saya alu-alukan komen mereka berhubung cadangan itu... sebelum menentukan sama ada bagi melanjutkannya di DAP dan Pakatan Rakyat,” kata pemimpin veteran DAP itu.
0 comments:
Post a Comment