Leteran Hakim Hisham Kepada UMNO

on Nov 10, 2011

http://criticallegalthinking.com/wp-content/uploads/2011/01/auku_edited.jpg



Keputusan Mahkamah Rayuan, 31 Oktober lalu, melalui Hakim Hishamuddin Yunos dan Linton Albert, bahawa Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bercanggah dengan Perlembagaan dan memihak empat siswazah sains politik UKM, diterima berbelah bahagi pemimpin BN.


Sudah pasti, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah -- yang konsisten berusaha membebaskan dunia kampus daripada kebekuan dan kelesuan -- gembira dengan perkembangan menyegarkan itu. Difahamkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden MCA, Senator Gan Ping Sieu juga menerimanya dengan baik, serta mahu Auku dikaji semula.

Meneliti Utusan Malaysia dan Berita Harian yang dikontrol Umno, jelas akta "ketinggalan zaman dan karut-marut" itu mahu dipertahankan sehinggakan artikel sama oleh seorang pelajar Universiti Malaya, yang memberi justifikasi bebal terhadap Auku, disiarkan kedua-dua akhbar berkenaan, di halaman rencana utama.

Apa pun, ia bukanlah menghairankan, bukankah sejak lama harian Melayu cukup memalukan...

Apa pun, saya percaya jika Perdana Menteri memberi reaksi berbeda, maka segalanya bertukar. Seperti juga apabila Najib Razak mengumumkan inisiatif tranformasi politik dengan memansuhkan ISA, perisytiharan darurat dan pindaan Akta Mesin Cetak, pendirian terhadap akta rimba itu pun berubah. Berebut-rebutlah juak-juak Umno dan tukang kipas media menyokong "langkah pembaharuan" PM itu.

Secara peribadi saya mengharapkan lebih ramai pemimpin kerajaan tampil berani seperti Saifuddin, walaupun terpaksa bertembung menterinya sendiri. Auku yang digubal pada 1971 dan diperketatkan 1975 sudah tidak boleh dipertahankan lagi. Realiti politik tanahair dan gelombang pendemokrasian di seluruh dunia, lambat atau cepat, pasti memberikan pukulan paku terakhir buat keranda akta-akta drakonian seumpama Auku.

Sehari selepas penghakiman bersejarah itu, Menteri Pengajian Tinggi, Khalid Nordin cuba membenarkan hujah larangan pelajar berpolitik, demi memastikan matlamat utama pendidikan untuk membina minda dan keupayaan intelektual pelajar dipenuhi. Pengerusi Biro Pengajian Tinggi Wanita Umno, Senator Norliza Abd Rahim menyokong Seksyen 15, bagi mengekalkan suasana kondusif di kampus sebagai tempat menimba ilmu dan bukan medan politik.

Daleh kolot yang tidak masuk akal ini hanya akan menjadi bahan ketawa. Apatah lagi dengan cuba membayangkan, jika warga kampus dibenarkan berpolitik, maka pensyarah yang berbeda parti dengan pelajarnya mungkin akan membalas dendam dengan menggagalkannya. Waduh, cukup singkat akal pemuja Auku ini, sekali gus satu penghinaan buat tenaga akademik kita.

Sebaliknya dunia mahasiswa yang diserkup Auku mempunyai banyak sisi gelapnya. Saifuddin kerap membangkitkan hal ini: "Kehidupan mahasiswa tidak terhad dalam batasan pagar universiti. Mahasiswa perlu bersama masyarakatnya, mendengar denyut nadi masyarakatnya, menjadi jurubicara masyarakatnya dan menjadi agen perubahan dalam masyarakatnya. Ini termasuk semua perkara, seperti sosial, ekonomi dan politik. Malah mahasiswa sebahagian daripada kehidupan warga dunia."

Aneh sekali Seksyen 15. Mahasiswa mahu diputuskan hubungan dengan dunia sekelilingnya, walhal ramai pelajar terutama peringkat sarjana dan PhD yang bukan saja memegang jawatan dalam parti-parti politik, malah merupakan Adun ataupun Ahli Parlimen. Mereka juga sebenarnya dikurung Auku. Definisi politik juga kerap ditafsirkan secara sempit dengan warna hitam pekat.

Saya melihat Seksyen 15 itu memang jantung kepada Auku namun masalah lebih besar adalah sikap pentadbiran universiti, terutama Urusetia Hal Ehwal Pelajar, yang sentiasa memandang rendah, memperlekeh dan memperbodoh mahasiswa. Segalanya perlu kelulusan HEP, hatta untuk mencetak dan mempamerkan sekeping risalah. Setiap undangan terhadap tokoh luar, terutama pembangkang, pasti disaring halus dan akhirnya ditolak mentah-mentah.

Kalau dahulu Universiti Malaya pernah berbangga dengan Debat Ekonomi yang menampilkan penalis hebat tanahair dan dihadiri ribuan orang luar, kini aktiviti mahasiswa terhad kepada warga kampus dan cukup sukar mendapat kebenaran menjemput pemimpin pembangkang. HEP berhak melarang tanpa perlu memberi alasan. Saya mengimpikan aktivisme pelajar tanpa entiti bernama HEP itu, sepertimana sebelum Auku digubal.

Walaupun dikembalikan Sudut Pidato tetapi dengan kontrol melampau HEP, kampus terus sunyi. Skrip perlu disediakan untuk tapisan HEP. Kakitangan akademik lebih tertekan. Untuk menyuarakan pandangan berkaitan kepentingan umum, berdasarkan kepakaran dalam bidang masing-masing pun terhalang, apatah lagi memberikan respons terhadap isu-isu semasa yang kontroversi. Nah, khazanah ilmu kita terpendam berkarat.


Ada benarnya cadangan felo penyelidik kanan UKM, Denison Jayasooria yang mendapat ilham berdasarkan perarakan peguam-peguam pada 2007 ketika mengulas sekatan terhadap para pensyarah, seperti dihadapi Prof Dr Aziz Bari: "Jika kita boleh mendapatkan 1,000 ahli akademik berarak ke Putrajaya, saya rasa barulah kerajaan akan mendengar suara kita."

Jika kehidupan mahasiswa nampak terkepung dan terkurung, warga akademik lebih "tersiksa". Budaya takut dan sikap tidak peduli semakin serius. Ramai mengambil jalan mudah, dengan turut "mengampu dan mengipas". Justeru, sukar sekali mahasiswa mencari ikon atau pendorong-penggalak di kalangan pensyarah sendiri.


Akhirnya, elok direnung kembali penghakiman Hishamuddin, yang berpendapat seksyen yang "melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara" adalah tidak munasabah. Beliau tidak dapat melihat bagaimana sokongan atau bangkangan pelajar ke atas mana-mana parti politik boleh memudaratkan kepentingan atau moral awam.

"Bukankah parti politik adalah entiti sah dari segi undang-undang yang menjalankan aktiviti politik yang sah. Bukankah pemimpin politik, termasuk menteri dan penggubal undang-undang persekutuan dan negeri juga adalah ahli parti politik. Peruntukan ini tidak rasional," katanya.


Linton pula berkata, seksyen itu tidak masuk akal kerana empat pelajar berkenaan berdepan tindakan tata tertib, termasuk dibuang universiti hanya kerana menghadiri kempen pilihan raya kecil itu.

Hakim sudah menjalankan tugasnya dengan berani. Sesekali seronok juga apabila menteri dan pentadbir universiti dipaksa mendengar leteran hakim seperti pernah dilalui Dr Mahathir Mohamad di zaman Tun Salleh Abas dahulu. Soalnya, apakah kes UKM4 ini mempunyai momentum atau lonjakan untuk membebaskan dunia kampus tempatan, yang penuh kecelaruan, double-standard dan percanggahan ini?

Diharapkan bara api yang mula menyala ini, dimulai dengan isu Dr Aziz Bari, dan kini perisytiharan Seksyen 15 bercanggah Parlimen boleh membawa sinar baru, sekurang-kurangnya membakar jiwa anak muda untuk menjulang kembali idealisme perjuangan mahasiswa.



sumber :- AHMAD LUTFI OTHMAN
Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List