Ibu Segala Pilihan Raya

on Dec 14, 2011




JIKA pilihan raya umum (PRU) akan datang ini dianggap sebagai ‘the mother of all elections’ (ibu segala pilihan raya), maka keputusan PRU ke-13 nanti akan menatijahkan dua kemungkinan – demokrasi atau kuku besi.

Pemerhati melihat, jika Umno-BN mencapai kemenangan bermakna demokrasi benarbenar terancam, sementara jika Pakatan Rakyat menang, bermakna demokrasi selamat, malah berkembang subur.


Riuh rendah sebelum pilihan raya umum ini sudah kedengaran di mana-mana – setiap hari - malah oleh Umno- BN ‘gendang perang’ sudah dipalu. Dalam masa yang sama Pakatan Rakyat sudah bersiap sedia hampir dalam semua segi.

Isu-isu besar masih berlegar dalam dunia politik Malaysia walaupun PRU ke-13 itu dikatakan sudah hampir benar.
Antaranya yang terpenting isu lapan tuntutan Bersih 2.0 yang masih tiada jawapan.

Di samping itu, walaupun Dewan Rakyat telah meluluskan laporan awal jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pilihan raya – yang mengandungi lebih 10 syor termasuk penggunaan dakwat kekal, segala-galanya belum pasti lagi sama ada PRU13 nanti akan benar-benar bersih dan demokratik.
Dalam situasi yang tidak menentu ini, isu perkauman semakin membara, terutama  seperti yang ditiupkan dalam Perhimpunan Agung Umno barubaru ini, yang selama empat hari – siang malam – mencerca pemimpin dan Pakatan Rakyat.

Ramai yang menggelengkan kepala memikirkan bagaimana selama empat hari itu, pemimpin Umno seperti kena histeria ketika menyerang musuh politiknya – PAS, KeADILan dan DAP.
Ucapan pemimpin mereka dan para perwakilan tidak memperlihatkan kematangan berpolitik walaupun Umno sudah berumur 60 tahun, masih tidak rasional, tidak ada idea baru mengenai cara mana hendak mencemerlangkan negara ini dalam pelbagai segi.

Malah letusan suara perkauman menenggelamkan hal-hal lain.

Dalam kekalutan begini, rakyat berterusan menyaksikan pelbagai perlakuan rasuah, penyelewengan, kronisme, pembaziran dan sebagainya sedang berleluasa. Terkini skandal projek lembu yang bukan saja menjijikkan tetapi juga menjadi bahan tertawaan.

Dalam masa yang sama kebebasan rakyat semakin terhakis dengan pelbagai bentuk larangan, antaranya, rakyat dilarang berhimpun walaupun dengan aman. Bahkan deklamasi sajak oleh Sasterawan Negara A Samad Said juga terhalang, malah sajak juga sudah dianggap sebagai ancaman.

Inilah wajah paling hodoh dunia politik negara ini dan dalam suasana inilah juga kita sedang melangkah menuju ke PRU13, Jika pilihan raya umum akan datang ini dianggap sebagai ‘the mother of all elections’, maka pertarungan antara Umno-BN dengan Pakatan memang begitu sengit.

Ini adalah pertarungan antara kebatilan dengan kebenaran, antara dusta dan fakta, antara cercaan serta maki hamun dengan kata-kata lunak dan murni, malah antara kepurapuraan dengan yang sebenarnya.
Oleh itu, Pakatan Rakyat yang akan memasuki PRU ke13 dengan secukupnya untuk menghadapi situasi yang tidak dapat digambarkan bagaimana keadaannya jika pilihan raya itu berlangsung.

Seperti yang diketahui, isu perkauman yang dimainkan oleh Umno ditujukan kepada orang Melayu, khususnya di luar bandar, dengan harapan Umno dapat mengaut undi orang Melayu sebanyak mungkin dengan menanamkan rasa bimbang di kalangan Melayu, konon andainya Umno tidak menang, maka ‘Melayu tidak selamat’. Hal ini sudah diketahui umum. Tetapi sebenarnya isu perkauman ini tidak lagi memikat hati di kalangan orang bukan Melayu sendiri.

Generasi lama yang ada di luar bandar semakin merosot jumlahnya disebabkan kematian, berhijrah ke bandar mengikut anak dan sebagainya. Dalam masa yang sama, pengaruh media baru – melalui internet dan media cetak alternatif – semakin menembusi masyarakat luar bandar walaupun masih terbatas. Ini tidak mengejutkan.
Dalam masa yang sama anakanak peneroka dan anak desa yang lain yang bekerja di bandar memberikan maklumat berbeza dengan apa yang disaksikan oleh ibu bapa mereka di kampung.

Ini menyebabkan ada perubahan persepsi pengundi luar bandar yang memungkinkan mereka menyokong Pakatan Rakyat, walaupun mungkin dalam jumlah yang tidak begitu besar, tetapi memang ada perubahan.
Oleh itu, kempen perkauman parti sekular itu semakin tidak berpengaruh. Mungkin ramai pemimpin Umno ini sedar, namun mereka terpaksa juga meneruskan kerana mereka ketandusan idea.
Bagi Pakatan Rakyat, khususnya PAS, yang mungkin banyak meletakkan calon di luar bandar, sewajarnya bukan saja memahami, tetapi juga bersedia untuk mengetahui situasi ini.

Jentera Penerangan PAS perlu bersedia menangani isu popular yang kemungkinan besar ditiupkan oleh Umno, antaranya isu PAS diperalat oleh DAP, PAS sudah menyeleweng daripada dasarnya memperjuangkan Islam, Melayu tidak selamat jika Umno kalah, isu ancaman Kristianisasi dan lain-lain.
Namun, pada pendapat saya, berdasarkan trend politik Umno yang wujud sekarang, maka isu perkauman kemungkinan menjadi ‘ibu segala isu’ oleh Umno. Ini kerana isu inilah yang akan mendominasi kempen mereka terutama di luar bandar.

Sementara itu, Pakatan Rakyat mestilah bersedia secukupnya untuk menghadapi ‘serangan’ Umno-BN, terutama di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Sudah pastilah Selangor yang kaya dan strategik itu menjadi tumpuan utama mereka.

Kerajaan Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menunjukkan prestasi cemerlang pentadbirannya, bukan saja di segi pengurusan ekonomi, tetapi juga hal-hal lain, seperti pendidikan, kepedulian terhadap rakyat pelbagai kaum dan agama dan sebagainya.
Cuma ada masalah yang belum lagi dapat diselesaikan iaitu, mengenai penyebaran penerangan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kepada rakyat di luar bandar, khususnya di kawasan Felda. Ini sewajarnya dilakukan sesegera mungkin.

Jika Pakatan Rakyat sudah benar-benar bersedia dengan segala kekuatannya – mental dan fizikal - maka ia tidak perlu khuatir untuk menghadapi ‘ibu segala pilihan raya’.


Oleh ABDUL SHUKUR HARUN
Detikdaily

Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List