Buat kali pertama, jumlah pengundi baru yang berdaftar mencatat rekod dan bakal memberi kesan besar ke atas pilihan raya umum (PRU) ke-13 Malaysia yang mesti diadakan sebelum hujung April tahun depan.
Jumlah pengundi baru adalah 2.9 juta orang dan mereka membentuk satu perlima atau 22 peratus daripada keseluruhan 13.1 juta pengundi di negara itu.
Kedua-dua parti, Barisan Nasional (BN) yang memerintah dan pembangkang Pakatan Rakyat, dijangka memberi fokus pada pengundi baru ini dalam kempen masing-masing.
Sejumlah 2,920,828 rakyat Malaysia berdaftar sebagai pengundi baru dari 2008 hingga 30 Jun lalu.
"Ini jumlah paling tinggi pernah dicatatkan. Sejak empat tahun lalu, kami telah cuba mengurangkan jumlah pengundi yang tidak berdaftar di Malaysia," kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.
Menurut beliau, jumlah pengundi baru berusia di bawah 39 tahun hampir sama dengan bilangan pengundi baru berusia 40 tahun ke atas.
"Tidak boleh dinafikan bahawa pengundi baru ini akan memberi impak yang cukup besar pada PRU-13 walaupun terdapat pengundi muda atau warga emas dalam setiap undi yang dikira," kata Datuk Wan Ahmad.
Sejumlah 155,420 rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi pada 2008 dan jumlah itu meningkat kepada 279,270 pada 2009; 826,462 pada 2010 dan 1,221,635 tahun lepas.
Seramai 438,041 orang mendaftar sebagai pengundi sepanjang 1 Januari hingga 30 Jun lalu.
Sementara itu, ketiga-tiga ahli majlis mesyuarat negeri (Exco) Selangor daripada Parti Keadilan Rakyat(PKR), Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak berasa membelanjakan lebih wang pembayar cukai untuk mengadakan pilihan raya berasingan sebagai satu masalah.
YB Ronnie Liu, daripada DAP, berkata ini kerana jika rakyat tersalah pilih kerajaan, perbelanjaan negeri atau negara akan semakin meningkat akibat memilih pemimpin bermasalah.
"Kos lagi tinggi kalau pilih kerajaan membazir, melakukan jenayah rasuah atau ketirisan. Lagi teruk nanti kalau sampai harga air dan elektrik meningkat.
"Bagi saya, kita kena buat perbandingan. Memang kos tinggi kalau buat pilihan raya berasingan, tapi berbaloi jika boleh memilih kerajaan lebih berkesan, saksama dan bersih," katanya sebagaimana dipetik Sinar Harian Online.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pendirian Selangor, yang ditadbir Pakatan Rakyat, enggan menyertai negeri lain pada PRU-13 nanti.
YB Iskandar Abdul Samad daripada PAS berkata pendirian Selangor hendak mengadakan pilihan raya asing tidak melanggar perlembagaan Malaysia.
"Ini hak kita dalam demokrasi. Kalau kata kos tinggi, (kerajaan Pusat) buatlah pilihan raya bersama-sama (Selangor)," katanya.
Ahli Dewangan Undangan Negeri Bukit Lanjan, Cik Elizabeth Wong, daripada PKR, menyifatkan mengundi dua kali dalam pilihan raya berasingan antara proses pengukuhan sistem demokrasi biasa dan ia sebagaimana diamalkan di negara maju.
0 comments:
Post a Comment