Surat amaran diberi kepada MP Serdang.

on Aug 28, 2010




Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan menghantar surat amaran kepada Ahli Parlimen Serdang dari DAP, Teo Nie Ching yang dilaporkan menyampaikan ceramah di ruang solat Surau Al-Huda di Kajang Sentral pada Ahad lepas.
Pengerusi Mais Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dalam satu kenyataan media di sini hari ini berkata tindakan Teo itu menyebabkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dan berdukacita.
Beliau berkata baginda telah mengarahkan Mais supaya mengambil tindakan segera dan tegas terhadap pengurusan surau terbabit.
“Mais sudah memanggil pengurusan surau berkenaan semalam untuk menjelaskan isu itu. Selepas meneliti penjelasan daripada pihak terbabit, Mais mendapati bahawa ucapan Ahli Parlimen itu di dalam dewan solat surau berlaku seperti yang dilaporkan,” katanya.
Media hari ini menyiarkan laporan sebuah laman blog yang mendakwa Teo memasuki ruang solat Surau Al-Huda dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada ahli-ahli PAS, Ahad lepas.
Laman blog itu turut menyiarkan gambar wakil rakyat terbabit dalam keadaan tidak bertudung dan hanya memakai kebaya pendek sambil berdiri di bahagian imam ruang solat surau berkenaan.
Mohamad Adzib berkata Mais memandang serius isu terbabit memandangkan ia adalah kes kedua seumpamanya membabitkan ahli politik dan orang bukan Islam memberikan ucapan di dalam masjid atau surau di Selangor.
Pada Ogos tahun lepas, Anggota Exco Kerajaan Selangor Dr Xavier Jayakumar berucap dalam satu majlis berbuka puasa di dewan utama Masjid Taman Sri Andalas, Klang sehingga menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan penganut beragama Islam.
Sehubungan itu, Mohamad Adzib berkata Mais membuat keputusan untuk mengambil alih pengurusan dan pentadbiran surau terbabit serta merta kerana insiden itu jelas bertentangan dengan titah Sultan.
“Mais juga mengingatkan mana-mana wakil rakyat bukan Islam untuk tidak mengulangi perbuatan yang sama serta menggesa supaya semua pihak termasuk parti politik agar lebih sensitif dengan perasaan umat Islam selain hendaklah menjunjung titah perintah Sultan Selangor bagi menjaga kesucian institusi masjid dan surau di Selangor,” katanya. — Bernama

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List