PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak veteran, Ahmad Busu, berada dalam keadaan sihat dan sedang berehat di rumahnya di Taman Seri Andalas, Klang, Selangor.
Dia yang beransur pulih dari penyakit strok itu menepis khabar angin tentang berita kematiannya yang tersebar melalui laman web sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam.
"Saya masih sihat, saya sendiri terkejut apabila ramai rakan artis dan wartawan yang telefon saya bertanyakan hal tersebut.
"Berita itu juga telah menyebabkan pihak keluarga saya di kampung cemas, daripada mana berita yang mereka dapat pun saya tidak tahu?" ujarnya yang dihubungi mStar Online, Ahad.
Pelakon yang mempunyai empat orang cahaya mata itu memberitahu masih menerima rawatan susulan pada setiap bulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
"Alhamdulilah, kini saya masih lagi menerima rawatan di PPUM pada setiap bulan. Malah sudah 70 peratus penyakit strok yang saya alami sejak tahun lalu semakin pulih.
"Kini saya sudah boleh berjalan tanpa mengunakan tongkat," katanya yang menasihatkan agar mereka yang menyebarkan sesuatu berita tentang kematian lebih berwaspada.
0 comments:
Post a Comment