Naib Presiden PKR Mustafa Kamil Ayub menerima tamparan awal apabila tewas tipis 17 undi dalam pemilihan peringkat cabang Pasir Salak hari ini.
Dalam pertembungan dua penjuru, Mustaffa mendapat 94 undi manakala pesaingnya Osman Abdul Rahman - bekas ketua cabang itu - mendapat 111 undi.
Keputusan mengejutkan itu baru diumumkan sebentar tadi.
Menurut seorang pemimpin cabang itu, Mahmud Yahya, Mustaffa bagaimanapun akan membuat bantahan berhubung kekalahannya itu dalam masa terdekat kerana mengesyaki berlakunya "politik wang".
"Ada konspirasi untuk menjatuhkan karier politik Mustaffa di Perak dan peringkat pusat," dakwa Mahmud yang juga salah seorang penyokong kuat bekas pemimpin NGO Islam itu.
Setakat ini, tambah Mahmud, pihaknya sedang mengumpul bukti berkaitan untuk dikemukakan kepada jawatankuasa pemilihan PKR.
Bagaimanapun, menariknya, beliau dicalonkan bertanding jawatan timbalan presiden daripada cabang itu berganding dengan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Sementara itu, usaha Malaysiakini menghubungi Mustaffa setakat ini belum berhasil.
Pemerhati politik berpendapat, kekalahan itu bakal menyukarkan lagi laluan Mustaffa yang juga merebut jawatan timbalan presiden parti menentang dua tokoh heavyweight Naib Presiden Azmin Ali dan Penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim.
Untuk pencalonan sebagai jawatan nombor dua PKR itu, Mustafa setakat ini mendapat 13 pencalonan daripada 100 cabang yang keputusannya telah diperoleh.
Beliau ditinggalkan jauh oleh Azmin dengan 58 pencalonan manakala Zaid pula sebanyak 25 pencalonan cabang setakat ini.
0 comments:
Post a Comment