'Pak Belang' muncul dalam kebun..........???

on Sep 28, 2010

FELDA BUKIT JALOR – Seorang isteri peneroka, Aminah Abdul Majid, 60, berasa begitu terkejut dan tergamam apabila melihat susuk tubuh 'Pak Belang' melintasi kawasan kebun getahnya, dekat sini, Sabtu lalu. 

Aminah berkata, dia yang ketika itu sedang menoreh getah kira-kira jam 9 pagi bersyukur kerana terselamat walaupun jarak dengan 'Pak Belang' itu kira-kira dua batang pokok getah di kebun berkenaan. 

Menurutnya, kejadian yang pertama kali berlaku sepanjang 40 tahun menetap di Felda Bukit Jalor itu begitu pantas dan harimau tersebut agak besar iaitu separas pinggangnya. Namun, suaminya yang turut berada di dalam kebun tersebut tidak berkesempatan untuk melihat 'Pak Belang' tersebut. 

"Sebelum ini pernah juga saya terdengar ada penoreh yang ternampak harimau tersebut di sini tetapi saya tidak ambil peduli kerana tidak pernah lagi ternampak. Bagaimanapun, kejadian pada hari ini membuatkan saya berasa takut untuk menoreh getah. 

"Malah, jika sebelum ini saya pernah juga terjumpa dengan babi hutan yang besar namun rasa takut itu tidaklah seperti sekarang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, kelmarin. 

Sementara itu, suaminya, Mohd Zin Jonet, 65, berkata, sejurus selepas kejadian, dia ada mendengar isterinya memekik, namun mengagak isterinya itu hanya menakut-nakutkan kera yang ada di dalam kebun. 

Bagaimanapun menurutnya, dia pergi juga melihat isterinya dan begitu terperanjat apabila dimaklumkan terdapat harimau yang melintas di kawasan kebun berkenaan. 

“Saya terus mengajak isteri balik dan memaklumkan kepada ketua blok. Akhirnya kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dihubungi dan datang memantau aduan. 

Manakala, Ketua Pejabat Perhilitan Daerah Gemas, Sobri Abd Latif berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu kira-kira jam 12 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 1 petang. 

Menurutnya, seramai dua kakitangan Perlihitan telah turun dan kira-kira 12 peneroka Felda bersama-samanya melihat kesan dan jejak yang didakwa ditinggalkan oleh harimau terbabit. 

“Bagaimanapun, kesan dan jejak berkenaan berkemungkinan adalah jejak babi hutan. Namun, kita tetap akan mengambil serius aduan ini dan akan meningkatkan lagi pemantauan dari masa ke semasa,” katanya.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List