Pemilihan Pimpinan Pusat PKR Bermula Hari Ini

on Oct 29, 2010




PETALING JAYA: Mulai hari ini sehingga 21 November, ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memilih pucuk pimpinan nasional mereka - yang bakal menyaksikan buat pertama kalinya pemilihan pucuk pimpinan sebuah parti politik di negara ini dilakukan secara terus oleh akar umbi. Menurut Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, seramai 400,000 ahli layak mengundi dalam pemilihan pucuk pimpinan parti itu.
"Saya ingin menyeru semua 400,000 ahli PKR yang layak mengundi dalam Pemilihan 2010 untuk turun beramai-ramai memenuhi hak mereka memilih pemimpin parti.
"Semangat meraikan demokrasi menerusi pengenalan dasar satu anggota satu undi yang pertama di Malaysia yang dilihat sewaktu pemilihan peringkat Cabang kini diteruskan di peringkat nasional,"katanya.
Pemilihan yang akan berlangsung selama sepuluh hari itu melibatkan semua cabang PKR di seluruh negara bermula dengan Kelantan dan Kedah.
"Setiap ahli diberi peluang untuk mengundi bagi jawatan timbalan presiden, empat naib presiden dan 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
"Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengekalkan jawatan presiden parti tanpa bertanding,” katanya lagi.
Bagi ahli Pemuda dan Wanita pula, Saifuddin berkata, mereka akan memilih ketua, timbalan, naib dan exco masing-masing dan proses pengundian untuk memilih pucuk pimpinan parti itu akan berlangsung pada hujung minggu.
Pemilihan bagi jawatan timbalan presiden menyaksikan saingan tiga penjuru antara dua Naib Presiden iaitu Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub serta Anggota MPP, Datuk Zaid Ibrahim yang juga pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.
Walaupun persaingan untuk jawatan itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru, secara umum mengetahui ia sebenarnya adalah pertandingan antara Zaid dan Azmin.
"Penyertaan Mustafa hanya sekadar kacau daun atau ibarat nasi tambah sahaja... tidak ada harapan untuk menang apatah lagi hendak mendapat tempat kedua," ujar seorang pemimpin MPP yang enggan dikenali ketika dihubungi oleh mStar Online hari ini.
Beliau berkata, ahli-ahli akan berhadapan dengan dilema siapakah di antara Zaid dan Azmin yang menjadi pilihan mereka. Ini kerana kedua-duanya ada kekuatan dan keistimewaan masing-masing.
"Azmin adalah generasi pengasas PKR dan telah berkhidmat dengan penuh taat setia selama 12 tahun sebagai naib presiden. Kematangannya sebagai ahli politik telah teruji menerusi jatuh bangun PKR.
"Manakala Zaid pula dilihat mewakili generasi baru PKR, mewakili wajah urban PKR dan pemikiran baru PKR... jadi kedua-duanya ada merit dan keistimewaan masing-masing.
"Jika ditanya saya, saya juga akan mengambil masa untuk memilih siapakah yang layak diletakkan sebagai orang nombor dua PKR," ujarnya.
Sementara itu, jawatan naib Presiden pula akan menyaksikan 17 calon layak bertanding antaranya ialah, Nurul Izzah Anwar, Abdullah Sani Abdul Hamid, Tian Chua, Dr Xavier Jeyakumar, Fuziah Salleh, Jonson Chong dan N. Gobalakrishnan manakala 132 calon pula akan bersaing bagi merebut 20 kerusi MPP.
Bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), penyandang iaitu Shamsul Iskandar Mohd Akin akan dicabar oleh Badrul Hisham Shaharin.
Jawatan Ketua Wanita pula menyaksikan Zuraida Kamaruddin berdepan dengan dua calon iaitu Animah Ferrar dan Suraya Sudin.
Esok sebanyak sepuluh cabang PKR akan mula mengundi, antaranya ialah, Langkawi, Kubang Pasu, Alor Star, Kuala Kedah, Pokok Sena, Tumpat, Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Pengkalan Chepa.
Cabang-cabang lain akan mengundi pada hari Sabtu hingga 21 November ini adalah seperti berikut:
(Sabtu, 30 oktober 2010)
Pahang: Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Indera Mahkota, Kuantan dan Pekan.
Negeri Sembilan : Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Rasah, Seremban dan Telok Kemang.
Sabah : Kudat, Kota Belud, Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Ranau, Keningau, Libaran, Sandakan dan Silam.
Kelantan : Kubang Kerian, Bachok, Ketereh, Tanah Merah dan Pasir Puteh.
Kedah : Kulim - Bandar Baharu dan Padang Serai.
Perak: Gerik, Lenggong, Larut, Parit Buntar, Bagan Serai, Bukit Gantang, Taiping, Padang Rengas dan Sungai Siput.
Perlis: Padang Besar, Kangar dan Arau.
(Ahad, 31 Oktober 2010)
Pahang :Paya Besar, Maran, Kuala Krau, Temerloh, Bentong, Bera dan Tampin.
Negeri Sembilan: Rembau dan Rompin.
Perak : Tambun, Ipoh Timur, Ipoh Barat, Batu Gajah, Kuala Kangsar, Beruas, Parit dan Kampar.
Pulau Pinang: Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bagan, Permatang Pauh, Batu Kawan dan Bukit Mertajam.
Melaka : Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu dan Bukit Katil.
Sabah : Tawau, Pensiagan, Kota Marudu, Sepanggar, Putatan, Sipitang, Beluran dan Tenom.
(Jumaat, 12 November 2010)
Kedah : Jerai, Merbok, Sungai Petani, Baling, Sik, Jerlun, Padang Terap dan Pendang.
Kelantan : Machang, Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.
(Sabtu, 13 November 2010)
Pulau Pinang : Nibong Tebal, Bukit Bendera, Bukit Gelugor, Bayan Baru dan Balik Pulau.
Wilayah Persekutuan : Kepong, Batu, Wangsa Maju, Segambut, Setiawangsa dan Titiwangsa.
Johor : Segambut, Ledang, Bakri dan Muar.
Terengganu : Setiu, Besut, Kemaman, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Nerus, Marang dan Kuala Terengganu.
Sabah : Batu Sapi, Kinabatangan, Semporna, Kalabakan dan Labuan.
Selangor : Sepang.
Perak : Gopeng, Tapah, Pasir Salak, Lumut, Bagan Datoh, Telok Intan dan Tanjong Malim.
Sarawak : Mas Gading, Petra Jaya dan Stampin.
Melaka : Kota Melaka dan Jasin.
(Ahad, 14 November 2010)
Wilayah Persekutuan : Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras dan Bandar Tun Razak.
Wilayah Persekutuan Putrajaya : Putrajaya.
Sarawak : Sri Aman, Betong, Julau, Lanang, Bintulu dan Miri.
Selangor : Kuala Langat, Kota Raja, Klang, Kapar, Shah Alam, Subang, Petaling Jaya Utara dan Petaling Jaya Selatan.
Pulau Pinang : Tanjong dan Jelutong.
(Sabtu, 20 November 2010)
Johor : Tenggara, Johor Bharu dan Pulai.
Selangor : Kelana Jaya, Puchong, Serdang, Sabak Berman, Sungai Besar dan Hulu Selangor.
Sarawak : Lawas, Hulu Rajang, Mambong, Santubong, Bandar Kuching dan Batang Lupar.
(Ahad, 21 November 2010)
Johor : Gelang Patah, Kulai, Pontian, Tebrau, Kota Tinggi, Pasir Gudang, Sekijang, Labis, Pagoh, Pengerang, Tanjong Piai, Ayer Hitam dan Mersing.
Selangor : Tanjong Karang, Kuala Selangor, Selayang, Gombak, Ampang, Pandan dan Hulu Langat.
Sabah : Kimanis.
Sarawak : Kanowit, Sibu, Sarikei, Sibuti, Lubok Antu, Kota Samarahan, Batang Sadong, Serian, Tanjong Manis, Mukah, Baram, Saratok, Kapit, Limbang dan Igan.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List