PM jumpa Ku Li di Parlimen Isnin ini

on Oct 9, 2010

PUTRAJAYA, 9 Okt — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan pertemuan dengan anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah Isnin ini di Parlimen untuk membincangkan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pertemuan itu nanti akan turut membincangkan mengenai strategi yang akan digunakan bagi memenangi kerusi tersebut setelah Tengku Razaleigh menyatakan persetujuannya untuk menjadi Pengarah Pilihan Raya itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Tengku Razaleigh Hamzah (kerana menerima pelantikan tersebut) dan kita akan aturkan satu pertemuan antara Tengku Razaleigh Hamzah dan Presiden parti untuk mereka berbincang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Juara Rakyat dan Kenduri Bahasa sempena sambutan bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Putrajaya 2010, di sini hari ini.

Tengku Razaleigh (gambar) pagi ini mengesahkan menerima pelantikan sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi DUN Galas sebaik tiba dari London di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Bagaimanapun beliau berkata cadangan untuk menamakan beliau sebagai calon perlu dibincangkan dengan Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional terlebih dahulu.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata teguran beliau terhadap Pergerakan Pemuda dan Puteri sebelum ini lebih merupakan teguran seorang bapa kepada anak-anaknya.

Beliau berkata adalah tidak adil untuk menakrifkan kenyataan beliau sebagai ‘‘sweeping statement’’ kerana pihak pengurusan lebih tahu apa yang berlaku di setiap bahagian dan sayap.

“Saya Setiausaha dia. Saya Setiausaha Pemuda, Wanita dan Puteri. Saya nasihat sebagai bapa kepada anak. Siapa yang makan cili dia yang terasa pedas, itu sahajalah,” katanya.

Tengku Adnan sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa beliau sedih melihat kedua-dua pergerakan itu yang dilihat tidak bermaya dan hanya ghairah merebut jawatan bagi kepentingan peribadi.

Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin semalam menyatakan kekecewaan terhadap kenyataan itu, mengatakan ia tidak seharusnya dikeluarkan di media.

Tengku Adnan bagaimanapun berkata kenyataan yang beliau keluarkan itu hanya sebagai menjawab soalan pemberita. — Bernama

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List