Beberapa hari lalu, kami telah menerima maklumat bahawa di N57 Belaga beberapa agensi Kerajaan Pusat seperti KEMAS, JASA, dan TEKUN sedang beroperasi. Mereka dikatakan menetap di rumah-rumah panjang dan berkempen untuk pihak Barisan Nasional.
Kehadiran operasi jentera-jentera Kerajaan Pusat ini membawa pelbagai tanda tanya dan dikhuatiri akan direplikasi di semua DUN-DUN di dalam pilihanraya negeri kali ini - yang dianggap paling berisiko buat Ketua Menteri Taib Mahmud.
Pertama, bukankah penggunaan agensi-agensi Kerajaan untuk berkempen dalam pilihanraya itu satu salahlaku? Kami dengan ini meminta satu siasatan dibuat SPR dengan segera, demi keadilan dalam pilihanraya negeri Sarawak.
Kedua, adakah tindakan membawa masuk agensi-agensi ini sebenarnya satu pengakuan oleh Barisan Nasional bahawa jentera BN negeri Sarawak telah gagal dan memerlukan bantuan BN Semenanjung? Lebih khusus, kerana ramai anggota agensi-agensi ini adalah anggota UMNO, adakah ini satu petanda UMNO sedang cuba memasuki negeri Sarawak dengan senyap?
Selain isu ini, kami ingin membangkitkan kepada pihak media, oleh kerana banyak pengundi di kawasan pedalaman, sistem pengundian di Sarawak agak unik di mana peti-peti undi akan dibawa ke rumah-rumah panjang untuk proses pengundian dijalankan. Proses pengundian sebegini akan terbuka kepada pelbagai unsur yang mungkin sukar dikawal.
Sebagai contoh, seperti yang saya sebutkan tadi, kewujudan jentera BN yang bertapak di rumah-rumah panjang mungkin menjadi satu tekanan, atau bagaikan ancaman kepada para pengundi di situ untuk mengundi dengan bebas. Lebih-lebih lagi sekiranya jumlah anggota jentera BN itu melebihi jumlah petugas SPR.
Oleh itu, sekali lagi kami meminta siasatan dibuat pihak SPR untuk mengesahkan tiada salahlaku yang bakal timbul akibat situasi-situasi yang saya bangkitkan ini.
Akhir sekali, PKR mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak-pihak yang semalam telah melakukan serangan Distributed Denial of Service (DDoS) ke atas laman web Malaysiakini, Radio Free Sarawak dan Sarawak Report. Kami menggesa MCMC agar menyiasat dengan segera pihak-pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan tersebut dan membawa mereka ke muka pengadilan. Kejadian sebegini tidak boleh dibenarkan berlaku, terutamanya dipertengah waktu berkempen.
*Kenyataan media oleh Nurul Izzah Anwar selaku Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat.
0 comments:
Post a Comment