Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PAS tidak boleh menggantikan Umno dalam memperjuangkan hak orang Melayu atas alasan “Umno tiada galang-ganti” walaupun sejak tiga lalu parti teras BN itu mempelawa agak ia membentuk kerjasama politik.
Sebelum ini Umno berulang kali mengajak PAS agar membentuk kerjasama politik dan kerajaan perpaduan termasuk menyertai Barisan Nasional (BN).
“Nampaknya, apa yang berlaku hari ini bukan PAS ganti Umno seperti yang dicanang oleh mereka. PAS takkan boleh menggantikan Umno kerana Umno tiada galang-ganti.
“Yang sebenarnya berlaku ialah DAP ganti PAS. DAP bercakap mengenai Islam, PAS mengiyakan sahaja,” kata Timbalan Presiden Umno ini ketika berucap merasmikan Persidangan Agung Tahunan Puteri, Pemuda dan Wanita Umno di sini hari ini.
Muhyiddin mendakwa “DAP lah yang menjadi penentu arah aliran Islam yang dibawa oleh Pakatan Pembangkang. Bukankah ini maknanya DAP menggantikan PAS?”
Sehubungan itu kata Muhyiddin, untuk menutup kegagalan mereka mempertahankan kesucian Islam, PAS mengemukakan agenda Negara Berkebajikan.
“Kini, mereka mengatakan konsep Negara Islam tidak disebut dalam al-Quran, yang ada hanyalah Negara Berkebajikan. Malang bagi PAS kerana setelah puluhan tahun memperjuangkan negara Islam, tetapi akhirnya mengatakan konsep negara Islam tiada dalam al-Quran. Maknanya, selama ini PAS membohongi umat Islam dengan perjuangan palsu mereka,” kata beliau.
Dalam ucapannya, Muhyiddin seterusnya mengecam “walau apa pun, kita hendak bertanya kepada PAS... Negara Berkebajikan bagaimana yang mereka ingin wujudkan?”
“Yang kita tahu, bekalan air bersih pun tidak mampu mereka sediakan kepada rakyat Kelantan. Bukankah air adalah keperluan rakyat paling asas yang mesti dipenuhi oleh mana-mana kerajaan.
“Justeru, kita nak katakan kepada PAS, kalau bekalan air bersih pun tak dapat disediakan, janganlah simpan angan-angan hendak wujudkan Negara Berkebajikan. Selesaikan dahulu masalah air di Kelantan, kemudian barulah bercakap soal Negara Berkebajikan,” katanya lagi.
Kata timbalan perdana menteri, sebenarnya PAS bukanlah beriya-iya benar hendak mewujudkan Negara Berkebajikan.
“Mereka sendiri pun tak faham apa maksud Negara Berkebajikan. Slogan Negara Berkebajikan hanyalah helah politik PAS untuk menutup kelemahan sendiri kerana tergadainya matlamat untuk mendirikan negara Islam.
“Apa yang penting bagi PAS, slogan Negara Berkebajikan boleh diterima oleh DAP,” katanya lagi. -TMI
Ulasan
Apabila melihat gelagat Muhyiddin di atas, teringat kita tentang cerita zaman kanak-kanak dahulu tentang serigala dan anggur masam.
Sang serigala yang sangat kepingin memakan buah anggur telah terkial-kial melompat untuk mendapatkan buah anggur yang terlekat di atas pokok anggur tersebut.
Meskipun beberapa kali serigala malang itu cuba mendapatkan buah anggur tersebut tetapi usahanya gagal kerana lompatannya tidak cukup tinggi untuk mencapai anggur tersebut.
Akhirnya serigala malang tersebut dengan perasaan hampa berlalu pergi daripada pohon anggur tersebut sambil mengeluh saya bukan nak sangat makan anggur tersebut sebab anggur itu masam rasanya.
Anekdot di atas menjelaskan sikap Muhyiddin dan UMNO, tak dapat pikat PAS, berkatalah dia macam-macam mengenai PAS...
0 comments:
Post a Comment