Hari ini 11 Nov 2011. Tanggal 12 Nov 1975 Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdul Razak memberikan jawapan kepada Lim Kit Siang dalam parlimen mengenai royalti minyak. Jawapan itu boleh dilihat pada poster di sebelah yang dihadiahkan oleh pihak kerajaan Kelantan kepada PM Malaysia sekarang, DS HJ Najib yang merupakan anak kepada mantan Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Malangnya jawaban Najib dalam Parlimen tentang royalti minyak Kelantan menyanggahi apa yang dijawab bapanya.
DS HJ Najib baharu pulang dari Mekah menunaikan haji. Orang balik haji yang dipanggil Pak Haji ni biasanya orang baik, atau orang mahu menjadi baik. Lepas lihat Kaabah, lepas tawaf, lepas saie, lepas wukuf di Arafah, lepas minum air zam-zam sepatutnya ada perubahan positif yang berlaku.
Dalam konteks seorang Perdana Menteri, perubahan yang berlaku antaranya perubahan sikap dan pandangan terhadap hak royalti Kelantan. Apatah lagi poster yang dibawa itu pula bukan setakat poster orang biasa, bukan poster orang Myanmar atau Kemboja di Seri Bandi atau Sungai Miang tetapi poster ayahandanya sendiri.
Tidak terdetikkah di hatinya yang baharu menunaikan ibadah haji itu untuk terasa menunaikan amanah bapanya sendiri dan membenarkan kata-kata bapanya itu, melampaui batas sempadan rasa sakit hati terhadap Kelantan? Atau merasai kuasa adalah segala-galanya sehingga menolak kebenaran ucapan bapa sendiri?
Kalau pembaca sebagai seorang anak, kemudian ditunjukkan gambar bapa dengan ucapannya yang tertentu bercanggah dengan ucapan saudara, apa perasaan saudara? Tidak terasa langsung dalam hati? Tidakkah hubungan bapa dan anak itu ada nilai sentimentalnya yang tersendiri?
Justeru, amat wajar tindakan kerajaan Kelantan membawa poster Tun Razak bersama jawapannya berkenaan royalti itu kepada anaknya Najib yang baharu pulang dari Mekah. Ia bukan perbuatan menangguk di air keruh dan semata-mata mengumpan sentimen bapa dan anak, tetapi mencedok di air jernih dan mahu menjadikan si anak itu menghormati kata-kata bapanya.
0 comments:
Post a Comment