OLEH kerana Tunku Mahkota Johor telah menimbulkan isu 'Mengapa Orang Melayu Sahaja Yang Suka Menjatuhkan Raja" di dalam Twitter beliau seperti yang dipetik oleh Malaysiakini di SINI, maka terpanggil untuk saya mengulas isu berkenaan.
Hakikatnya orang-orang Melayu terlalu sensitif dengan Raja mereka. Ada rakyat yang benar-benar mahu melihat institusi Raja benar-benar berperanan sebagai pelindung kepada ugama, bangsa dan negara. Rakyat jenis ini kebanyakannya terdiri dari semua kaum, tidak kira Melayu atau bukan Melayu. Tetapi, ada juga rakyat yang mahu `menumpang' nama Raja-Raja untuk kepentingan diri mereka atau kumpulan mereka sahaja, terutama apabila mereka terdesak atau tertekan. Golongan ini hanya kembali kepada Raja setelah mereka merasa lemah, tetapi sewaktu mereka gagah mereka ketepikan Raja-Raja bahkan mereka menghina Raja-Raja sesuka hati. Bukti dan fakta adalah jelas jika kita imbau kembali terutamanya pada tahun 1993. Saya telah menulis fakta-fakta dan bukti ini di dalam penulisan saya sebelum ini.
Persoalan mengapa kaum-kaum lain tidak sehebat kaum Melayu yang saya maksudkan kaum Melayu tertentu pada tahun 1993 itu di dalam mempersendakan Raja-Raja? Sebenarnya kaum-kaum lain akur bahawa isu Raja amat sensitif buat mereka sentuh kerana institusi Raja ada sejarahnya kepada kaum Melayu dan negara ini. Tidak menyentuh isu Raja bukan bermakna semua tindakan Raja-Raja dipersetujui oleh kaum-kaum bukan Melayu. Siapa boleh nafikan bahawa tidak semua Raja bertindak dengan betul.
Memang kita bertuah kerana mempunyai Raja dan Raja juga bertuah kerana memiliki rakyat yang seharusnya dipayungi oleh Raja. Tetapi seandainya negeri atau negara tiada Raja, ianya tidak bererti akan punah ranah atau hancurlah bangsa di negeri atau negara itu. Mari rujuk Melaka, sebuah negeri yang dahulunya mempunyai Raja tetapi kini Melaka tiada Raja atau Sultan. Adakah hilang bangsa Melayu atau Islam di Melaka? Rakyat Melaka berbangsa Melayu kini masih berbahasa Melayu dan berugama Islam dan berapa orang Melayu di Melaka yang berkahwin dengan keturunan penjajah Portugis akibat tiadanya Raja di Melaka sejak tahun 1511?
Mana-mana negeri yang masih memiliki Raja, rakyatnya haruslah menyanjung institusi Raja dan mempertahankannya. Menyayangi Raja bukan bererti membodek Raja. Sayang kepada Raja mestilah peka kepada Raja, yang baik rakyat wajib sanjung tetapi sebagai manusia Raja juga kadangkala khilaf, maka rakyat yang sayang kepada Raja mestilah menegur. Raja yang baik adalah Raja yang boleh menerima teguran rakyat.
Sekiranya Tunku Mahkota Johor merasa pelik mengapa orang-orang Melayu suka menjatuhkan Raja, sejarah tahun 1993 ada jawapannya. Tun Mahathir juga ada jawapannya. Tahun 2008, di Terengganu persoalan Tunku Mahkota Johor ini tentu boleh dijawab oleh puak-puak Idris Jusoh waktu itu. Memang benar, di hadapan Istana Terengganu waktu itu bukan kaum Cina yang memasang pemidang menggelar Raja bahkan Yang DiPertuan Agung dengan satu gelaran yang amat buruk.
Amat malang sekali jika ada lagi kaum Melayu yang bercita-cita untuk menjatuhkan Raja atau memalukan Raja-Raja seperti di tahun 1993 itu. Tetapi, amat bertuah sekali jika ada seorang rakyat dari bangsa Melayu yang berani menegur Raja kerana cintakan Raja nya. Bertuahlah mana-mana Raja yang ada disekelilingnya rakyat yang boleh menegurnya jika tersalah, dan malang lah mana-mana Raja yang di sekelilingnya hanyalah para pengampu dan pembodek.
0 comments:
Post a Comment