Haji, Hajah Bersihkanlah Hati Walau Dimana Anda Berada

on Nov 1, 2012




SEKARANG ini musim haji, sudah berbondong-bondong jemaah termasuk saudara mara kita berangkat ke Tanah Suci. Jika berpandukan kuota satu peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara, ada 28,000 jemaah haji dari Malaysia. Mungkinkah jumlah ini termasuk ribuan jemaah yang mendapat tajaan kerajaan Persekutuan dan negeri daripada kalangan imam, bilal dan pengerusi JKKK?

 Boleh dikatakan semua orang menunaikan Rukun Islam kelima berharap mendapat haji mabrur (kecualilah mereka yang pergi dengan ada niat lain) yang balasannya tiada lain, kecuali syurga. Abu Hurairah menyatakan Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Dosa yang berlaku di antara dua umrah adalah dihapuskan dan tidak ada balasan bagi haji mabrur (haji yang diterima) melainkan syurga.” (Bukhari dan Muslim)

 Haji dan hajah yang baru kembali dari Tanah Suci, jika amalannya diterima, berkeadaan bersih sebersihnya. Macam bayi, suci. Namun haji yang mabrur itu bukan bermakna kepatuhan seseorang kepada semua perintah dan larangan Allah SWT berakhir sebaik saja meninggalkan Tanah Suci, sebaliknya perlu dikekalkan sepanjang hayat. 

 Kata ulama, jika mahu tahu sama ada seseorang itu mendapat haji mabrur atau tidak, lihat kepada amalannya selepas bergelar haji dan hajah. 

Pembaca sendiri boleh membuat penilaian terhadap seseorang insan bergelar haji dan hajah di persekitaran masing-masing; benarlah kebanyakannya dihormati dan disegani sepanjang hayat tetapi biasalah adalah seorang dua bergelar ‘Haji Bakhil’, ‘Haji Sangkut’ ‘Pak Haji Penipu’ ‘Pak Haji Gila Kuasa’, ‘Hajah Murai’, ‘Hajah Dedah Aurat’, ‘Hajah Si Gila Beg Tangan’ dan sebagainya. Dan biasalah, ada haji dan hajah yang marah jika ada orang tidak memanggil atau menulis pada pangkal namanya dengan gelaran istimewa itu.

Seorang haji atau hajah adalah ibarat utusan kebenaran, dia menegakkan yang hak dan menentang kebatilan. Hak tertinggi adalah mengakui keesaan Allah SWT dan mengharungi kehidupan berdasarkan pengakuannya dalam solat “hidup dan matiku hanya untuk Allah Tuhan seru sekalian alam.” Dia tahu dia menghadapi dosa dan pahala dalam setiap perlakuannya. 

Misalnya, menolong orang dengan niat betul, mendapat pahala. Jadi dia akan terus membantu sesama manusia, hatta membantu anjing kehausan pun diganjari syurga Allah SWT seperti mana dinyatakan dalam sebuah hadis. Melakukan fitnah, mendatangkan dosa besar, jadi dia menjauhkannya. Bayangkan, alangkah jijiknya seorang haji atau hajah membuat fitnah misalnya mendakwa seseorang itu berbuat perkara keji malah bersumpah pula di masjid sedangkan dia tidak pun menyaksikannya.

Sebagai pejuang kebenaran haji dan hajah wajib menyatakan yang hak dan batil dalam semua aspek kehidupan termasuklah ketika menghadapi pilihan raya. Jika benar, katakan benar, jika salah katakan salah; jangan berselindung lagi kerana “tidak malukah kita dengan apa yang sudah kita ucapkan (berdoa) kepada Tuhan ketika kita munajat di depan Kaabah, di Arafah, Mina dan Mudzalifah.” 

Antara rintihan jemaah haji: “...Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada MENZALIMI dan dizalimi, menyerang atau diserang atau membuat kesalahan dan dosa yang tidak Engkau ampunkan...Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada keras hati, kelalaian, kehinaan dan kemiskinan. Aku juga berlindung dengan-Mu daripada kekufuran, kefasikan, pepecahan, cinta kepada kemasyhuran dan riyak...” 

Jadi selepas bergelar haji dan hajah, masih tergamakkah kita berbuat perkara tidak elok malah menyalahi hukum agama. Tidak payahlah dinyatakan perkara berat-berat; ambil yang mudah saja, misalnya bersalaman lelaki perempuan bukan mahram. 

Ewahh...dengan selamba saja kita melakukannya sedangkan Nabi yang kita cintai itu (sekarang orang cukup marah dengan filem ‘Innocence of Muslims’) tidak pernah berbuat begitu malah ada bersabda yang maksudnya: “Bahawa sesungguhnya adalah lebih baik seorang lelaki untuk bergeseran dengan khinzir yang berlumuran dengan tanah atau lumpur daripada dia menggeserkan bahunya dengan bahu seorang wanita yang tidak halal baginya." (Daripada Abi Umamah)

pinjam dari lanh14

Photobucket

1 comments:

mohamad said...

Rahsia mendapat mabrur baca buku Ke Arah Haji Yang Mabrur terbitan Telaga Biru yg baru sahaja terbit. Lihat bagaimana cara menghidupkan semangat haji setelah kembali ke tanahair, utk mendapat mabrur kerana sebhg kemsbrurannya adalah terletak kpd perubahan sikap kita.

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List