Memahami mengapa Morsi iktiraf Israel?

on Nov 1, 2012





Banyak kalangan di dunia Islam khususnya gerakan Islam akan berasa kecewa dengan pengiktirafan Presiden Morsi terhadap Israel.Tetapi sebarang kekecewaan mesti diimbangi dengan pemahaman realiti geopolitik yang dihadapi oleh Morsi di samping keadaan Ikhwanul Muslimin dan gerakan Islam.

Pertamanya, Morsi adalah presiden negara Mesir dan pemimpin rakyat Mesir tanpa mengira aliran politik mereka. Pertimbangan yang perlu dilakukan ialah mengutamakan negara dan rakyat Mesir.

Maknanya walaupun Morsi adalah anggota dan wakil Ikhwanul Muslimin tetapi platform politiknya adalah Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP). Maka apabila beliau mengangkat sumpah presiden, ia berlandaskan pada kehendak perlembagaan negara bangsa Mesir.

Morsi sememangnya membawa aspirasi Ikhwanul Muslimin dan seperti gerakan Islam lain yang secara asas menolak kewujudan negara Israel.

Tetapi walaupun JFP adalah sayap politik Ikhwanul Muslimin, tetapi ia bukan Ikhwan. JFP adalah parti politik sementara Ikhwan adalah jemaah Islam. Kedua-duanya pula sebahagian daripada gerakan Islam, baik di Mesir dan di seluruh dunia.

Dari sudut lain pula, Ikhwan adalah idealisme sementara JFP adalah realiti politik, walaupun ia mendokong aspirasi Ikhwan.

Sementara Morsi pula adalah presiden kepada negara dan bangsa Mesir, dipilih melalui demokrasi oleh majoriti pengundi, tetapi yang minoriti terpaksalah menerima kepimpinannya.

Maka Morsi perlu membuat pertimbangan, dengan idealismenya dari Ikhwan dan dengan segala tradisi serta tarbiahnya, berdepan pula dengan realiti politik negaranya serta institusi yang diwarisi oleh Hosni Mubarak dan Anwar Sadat sebelum ini.

Maka dengan mengambil semua pertimbangan itu, beliau meneruskan dasar Mubarak dan Sadat untuk mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara bangsa.

Realitinya, Morsi dan sesiapa pun presiden Mesir tidak ada pilihan lain. Perjanjian Camp David telah dipersetujui oleh Kaherah dan Tel Aviv dan ia menjadi batu asas kepada perdamaian kedua belah pihak.

Sebarang pemansuhan perjanjian ini akan membawa kepada peperangan baru dan penarikan balik pelbagai sokongan serta bantuan Amerika Syarikat ke atas Mesir.

Hakikatnya, Mesir sudah pun bergantung kepada Amerika khususnya dari segi ekonomi. Morsi sememangnya wajar melihat gambaran politik lebih besar dan berjangka panjang.

Sememangnya wajar dua matlamat ditetapkan bagi negara Mesir iaitu memperbaiki kedudukan ekonominya dan memberi kesejahteraan kepada rakyat dengan akhirnya tanpa bantuan Amerika.

Namun begitu, jangka panjangnya ialah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, dengan keselamatan terjamin perlu diwujudkan.

Dari segi kaedah berpolitik, cara Morsi adalah serupa dengan apa yang dilakukan oleh Reccep Erdogan di Turki. Erdogan tetap meneruskan dasar kerajaan terdahulu Turki dalam hal mengiktiraf kenegaraan Israel.

Namun begitu, Erdogan berpegang kepada dasar membantu rakyat Palestin dalam bentuk menghantar flotila kapal ke Gaza.

Mesir dan Turki mempunyai kepentingan nasional yang memerlukan mereka terus mengiktiraf Israel dan bersekutu dengan Amerika.

Daripada kedudukan begini, sebagai negara yang dipimpin oleh gerakan Islam, Mesir dan Turki juga perlu memperjuangkan pembebasan Palestin untuk menjadi negara merdeka dan berdaulat.

Masalah Palestin bersifat serantau dan sejagat. Jalan demokrasi yang digunakan oleh Morsi dan Erdogan kini hendak diperluaskan ke Syria, Lubnan dan Iran yang akhirnya akan mengepung Israel dan membebaskan Palestin.

Sememangnya kaedah Mesir dan Turki disambut sinis oleh banyak pihak di kalangan umat Islam. Tetapi cara lama seperti yang pernah dilakukan oleh kerajaan bukan demokratik seperti Mubarak, Assad, Gaddafi dan Saddam telah gagal.

Begitu juga dengan cara Iran di satu pihak, dan Al-Qaeda di pihak yang lagi satu. Cara mereka telah menimbulkan banyak kesengsaraan rakyat di samping menjejaskan kepentingan nasional. Jalan demokrasi adalah satu ikhtiar baru. 

Oleh Burong Punggok

Photobucket

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List