Sebagai orang Melayu, aku rasa tak banyak cacat celanya parti Barisan Nasional khususnya UMNO. Tentulah ada yang tak kenanya. Tapi tak banyak. Jika ditinjau dari segi dasar yang diperjuangkan oleh UMNO semenjak dari dulu lagi memang sesuai untuk orang Melayu. UMNO memperjuangkan orang Melayu. UMNO tu cakap prang putih. Cakap Melayunya ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ( bagi anak muda yang tak begitu faham apa dia UMNO itu). Jadi matlamatnya memperjuangkan orang Melayu lah.
Semenjak ditubuh oleh Dato’ Onn, UMNO sememangnya untuk memajukan Melayu. Tidak hairanlah kalau sampai ke hari ini matlamatnya untuk kebahagian dan kesejahteraan orang Melayu. MCA untuk memajukan orang Cina. MIC pulak untuk kesejahteraan orang India. Jadi kalau ada yang mengatakan UMNO itu ditubuhkan untuk memajukan orang Cina, itu berbohong namanya. Untuk memajukan ketiga-tiga bangsa ( Melayu, Cina dan India ) maka ditubuhkan PERIKATAN yang kemudiannya Barisan Nasional yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC.
Kalau betul dasar UMNO itu untuk memperjuangkan orang Melayu, mengapa ramai orang Melayu kini menentang UMNO? Persoalan inilah yang nak aku jelaskan berdasarkan pandangan dan pemerhatian aku. Akan aku tulis secara ikhlas dan tepat. Tidak takut-takut. Untuk kepentingan pemimpin UMNO, kalau-kalau masih dapat diperbaiki oleh mereka segala kepincangan dan masalah yang ada dalam UMNO kini menjelangnya PRU 13..
Kaum Cina secara umumnya sememangnya menentang kerajaan Barisan Nasional kini. Kaum India yang tinggal di bandar-bandar ( yang terpelajar ) semamngnya bersama-sama dengan kaum Cina dan Melayu ( bandar ) menentang kerajaan BN. Mengapa? Adakah mereka ini anti nasional yang sepatutnya dibuang negara atau ada sebab-sebab lain yang menyebabkan mereka menentang. Adakah mereka ini sudah mula mahu menderhaka kepada Yang Diperuan Agung dan Raja-Raja Melayu?
Sebelum perbincangan ini dilanjutkan, elok juga ditinjau tentang peristiwa-peristiwa lampau untuk kita melihat apakah pernah wujud penentangan yang begitu meluas seperti sekarang ini terhadap kerajaan BN. Seingat aku tak pernah. Mengapa? Sekiranya kita mahu mengatakan bahawa dasar kerajaan BN sekaranglah yang menyebabkan kaum bukan Melayu khususnya kaum Cina yang begitu menentang kerajaan BN sekarang, aku rasa tohmahan itu tak begitu tepat.
Semenjak PRU 1 sehingga PRU 11 tidak nampak penentangan yang meluas terhadap kerajaan BN sehinggalah berlaku PRU 12. Sekiranya kaum bukan Melayu tidak menyetujui dasar UMNO memajukan Melayu, maka penentangan secara besar-besaran itu sudah pasti bermula semenjak awal tahun 1970an lagi apabila Dasar Ekonomi Baru mula diperkenalkan di Malaysia. Ataupun boleh juga diandaikan sekiranya orang bukan Melayu tidak setuju dengan dasar kerajaan yang memperuntukan ‘ pemberian hak keistemewaan orang Melayu’ dalam perlembagaan Malaysia, tentulah penentangan secara besar-besaran bermula selepas sahaja negara mencapai kemerdekaan. Tetapi semuanya ini tidak berlaku.
Negara ditadbir dengan aman, kecualilah peristiwa perbalahan kaum yang berlaku pada tahu tahun 1969. Tetapi selepas peristiwa itu tidak pernah lagi berlaku peristiwa sedemikian. Negara aman. Tahap perpaduan antara kaum semakin hari semakin baik. Terdapat harmoni yang luar biasa di negara kita. Zaman pemerintahan Dr. Mahathir memperlihat satu zaman keemasan bagi negara kita. PRU demi PRU diadakan dan kerajaan BN sentiasa menang dengan majoriti 2/3. Tidak ada kekacauan. Maknanya rakyat tidak ada masalah langsung dengan dasar kerajaan sekiranya pentadbiran dijalankan dengan teratur dan adil.
Oleh itu yang menyebabkan rakyat menolak kerajaan BN yang ada sekarang ialah ketidak puasan hati dengan cara pentadbiran yang dijalankan kini. Pengamalan rasuah yang berleluasa dikalangan pihak yang berkuasa. Keberkesanan pegawai kerajaan menjalankan tugas yang diarahkan dipersoalkan. Amalan kronisme bermaharjalela. Undang-undang dan peraturan kadang-kadang diketepikan.
Inilah diantara perkara-perkara yang menyebabkan rakyat marah. Sekiranya diperincikan pula rakyat marah apabila mereka didedahkan dengan berbagai-bagai berita yang tidak menyenangkan hati mereka. Walaupun mungkin bukan berita yang sahih tetapi ‘persepsi’ rakyat terhadap berita-berita yang sebegini cukup mempengaruhi fikiran mereka untuk ‘membenci’ personaliti yang mentadbir kerajaan kini. Misalnya,
· Kisah Altantuya. Rakyat mungkin tidak tahu siapa dan hubungannya dengan keadaan negara kita. Tetapi nama Altantuya dipalitkan dengan warna yang hitam-legam yang menyebabkan rakyat benci.
· Seluruh rakyat Malaysia tahu mengenai DS Shahrizat Jalil dengan kisah lembu yang bernilai 250 juta ringgit. Rakyat di kampung terutamanya merasa agak meluat mendengar berita sebegini kerana bagi mereka nak membeli seekor lembupun terlalu sukar bagi mereka untuk mengumpulkan wang sebanyak itu.
· Rakyat memerhatikan gelagat para pemimpin BN terutamanya pemimpin UMNO yang menjadi kaya raya dalam ‘sekelip mata’. Jangankan para menteri atau timbalan menteri ataupun wakil rakyat (parlimen dan negeri), AJK Umno peringkat cawangan pun diperhatikan oleh rakyat hidup senang lenang dengan tidak payah bersusah payah bekerja sebagaimana yang mereka lakukan.
· Di dengar juga oleh rakyat terbanyak bagaimana para menteri terlibat dalam berbagai skandal dan penipuan tetapi akhirnya terlepas begitu sahaja dari tindakan undang-undang. Mereka nampak perkara ini berlaku.
Dengan demikian rakyat cukup meluat dengan gelagat-gelagat pihak yang berkuasa dalam BN (UMNO,MCA ,MIC ) dan rakyat hampir tidak menyentuh langsung mengenai dasar BN. Maknanya dasar yang dijalankan oleh BN itu boleh diterima oleh rakyat terbanyak, walaupun ada dasar berkenaan yang lebih condong memperbaiki taraf hidup orang Melayu. Inipun tidak ditentang oleh kaum bukan Melayu.
Mereka faham.
Abuhassanadam
0 comments:
Post a Comment