Kehidupan Sosilawati Yang Penuh Suka Duka

on Sep 26, 2010

CERITA DARI DUA WARTAWAN.......


1. Lega anak urus niaga





KUALA LUMPUR: “Allahyarham pernah berkata kepada saya, dia lega anaknya boleh diharap dan mempercayai mereka seratus peratus untuk mengendalikan semua perniagaannya, lebih-lebih lagi tiada orang lain yang boleh dipercayai,” kata Datuk Zaidi Zain, peguam peribadi jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, yang dibunuh kejam.
BEROPERASI.... bangunan Nouvelle Beauty Centre di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
BEROPERASI.... bangunan Nouvelle Beauty 
Centre di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
SIMPATI... Nash ketika melawat anak tirinya.
SIMPATI... Nash ketika melawat anak tirinya.
Menurut Zaidi, arwah pernah berniat untuk membuat wasiat mengenai segala hartanya tetapi tidak kesampaian.

“Tidak lama dulu dia pernah memberitahu untuk membuat surat wasiat tetapi ia tidak diteruskan. Cuma pada perbincangan terakhir antara kami di bilik saksi sewaktu kes tuntutan harta terhadap bekas suaminya, Nash (Nasharudin Elias) di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos lalu, pelbagai perkara diluahkannya kepada saya.

“Antaranya, dia tidak mahu berkompromi dengan mana-mana pihak yang menipunya. Malah dia berkali-kali menyatakan tidak mempercayai sesiapa selain anaknya.

“Secara lisan, Allahyarham berhajat menyerahkan segala urusan perniagaannya kepada anak sulung iaitu Erni Dekritawati Yuliana atau Rita,” katanya.

Selain Rita, 25, lima lagi anak Allahyarham hasil perkahwinan dengan Bukhari Mohamad adalah Erwan Suwari Ridzuan, 24, Erwan Nasri, 23, Erni Erinawati Sofia, 21, Erni Reenilawati, 19, dan Siti Nur Fatimah, 13.


Ketika itu, Zaidi berkata, arwah menjelaskan hatinya kembali tenang dan betul-betul lega apabila lima daripada enam anaknya mampu menguruskan perniagaannya. 

“Daripada percakapannya, saya pasti dia betul-betul lega. Malah, gayanya seperti terlepas daripada satu beban yang sangat berat apabila dia mengatur tugas terhadap lima anaknya mengenai setiap perniagaan dimiliki.

“Arwah juga menjelaskan, dia tidak mahu memikirkan mengenai perniagaan yang diserahkan kepada anaknya. Dia ingin menumpukan perhatian terhadap bidang hartanah saja,” katanya.

Namun selepas kejadian ngeri yang berlaku, Zaidi yakin segala perihal mengenai perniagaan dan harta milik arwah yang dianggarkan bernilai lebih RM150 juta akan dimiliki waris pengasas kosmetik Nouvelle Visages iaitu anaknya meskipun tiada wasiat bertulis.

“Mulanya saya beranggapan apa diluahkan kepada saya waktu itu hanya kenyataan biasa. Namun bila sudah jadi begini, baru saya sedar apa diperkatakan arwah waktu itu.

“Ia boleh diibaratkan sebagai kenyataan secara lisan. Malah isu mengenai harta pusaka ini boleh berbalik kepada hukum syarak mengikut sisi perundangan.

“Bagi orang Islam, wasiat digunakan untuk memudahkan segala urusan dan mengelak kerumitan. Bagaimanapun, dalam situasi ini mungkin sistem fara’id diberi keutamaan terhadap pembahagian harta pusaka arwah,” katanya.

Allahyarham yang ditemui mati dalam keadaan ngeri awal bulan ini bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, turut meninggalkan seorang suami selain enam anaknya.

Selama perkenalannya dengan arwah, perbincangan mengenai harta keseluruhan milik jutawan itu mahupun penyampaian wasiat secara terperinci tidak pernah diadakan.

Menyentuh mengenai tuntutan harta bernilai RM1.38 juta yang difailkan Allahyarham terhadap Nash, Zaidi menjelaskan, kes itu tertangguh buat sementara waktu dan terserah kepada waris arwah sama ada mahu meneruskannya atau tidak.

“Saya tidak pasti sama ada waris arwah mahu meneruskannya atau tidak. Sehingga kini mereka adik-beradik masih berbincang. Setahu saya, anak Sosilawati sangat rapat dan menyayangi Nash.

“Namun ada dua isu di sini. Pertama sekali ialah kehendak dan hasrat arwah untuk menyelesaikan kes berkenaan manakala yang kedua adalah hubungan baik antara waris dengan Nash.

“Saya sudah menjelaskan semua hal berkaitan kepada Rita. Kini terpulang kepadanya sama ada mahu menghalalkan segala harta yang bakal menjadi miliknya bersama adik beradik atau meneruskan hasrat arwah ibu,” katanya.

Selain memasarkan produk kosmetik dengan beratus rangkaian termasuk stokis dan cawangan, Nouvelle Visages membuka galeri pengantin, penjagaan kesihatan, salun rambut dan kecantikan serta hartanah.

Butik andaman pengantin, salun rambut dan spa beroperasi di Wisma Nouvelle, Cyberjaya manakala Nouvelle Development pula membangunkan kawasan komersial di Kota Damansara.


>INFO:

Anggaran harta Sosilawati:-
> Mempunyai 300 rangkaian dan cawangan perniagaan kosmetik Nouvelle Visages di seluruh negara serta Brunei, Singapura dan Thailand dianggarkan bernilai RM11.4 juta
> Bangunan Nouvelle Beauty Centre
di Kampung Baru, Kuala Lumpur bernilai hampir RM1.5 juta manakala Wisma Nouvelle yang baru dibangunkan
di Cyberjaya pula bernilai RM20 juta
> Memiliki hampir 50 rumah yang disewakan dan dianggarkan bernilai RM20 juta
> Harta dalam bidang hartanah dan pembangunan bernilai kira-kira RM100 juta
> Memiliki beberapa butik pengantin di sekitar Kuala Lumpur bernilai RM1 juta
> Turut menceburi bidang automobil (jual beli kereta) secara kecil-kecilan RM1 juta
> Rumah banglo di Taman Harmonis, Gombak bernilai RM1 juta

JUMLAH KESELURUHAN: RM155.9 juta





Sosilawati mencari kasih.........

SEBAGAI individu, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bertuah kerana dianugerahkan Ilahi harta melimpah ruah hasil usaha kerasnya dalam bidang perniagaan, terutama kosmetik, selama ini.
Wartawan Metro Ahad, NORIAH IDRIS yang mengenali dan antara teman rapatnya sejak 16 tahun lalu, mempunyai bingkisan istimewa mengenai kisah hidup jutawan berhati waja itu.
"SATU hari ketika saya bermalam di rumahnya, dia pernah meluahkan rasa yang sangat meruntun hati saya sebagai sahabat dan wanita.

Beliau berkata: "Aku ada segala-galanya... (harta). Apa yang aku inginkan semua Tuhan bagi kecuali satu, iaitu kasih sayang. Aku tak pernah mengharapkan harta daripada mereka sebab aku sudah ada. Yang aku inginkan hanya kasih sayang.
"Sebenarnya, susah mencari lelaki yang benar-benar ikhlas menyayangi diri ini. Kalaulah aku dapat, pasti aku hidup bahagia. Lebih baik kita hidup sendiri daripada terus dikhianati." Banyak kegembiraan dan kedukaan di sebalik tabir hidupnya tersingkap antara kami sehingga kepada hal peribadi. Namun hebatnya wanita bernama Sosilawati (Wati) ini, dia tidak pernah mempamerkan kepada khalayak akan kepedihan hatinya, misalnya duka perceraiannya dengan Bukhari Mohamad yang juga bapa kepada enam anaknya, sebagai batu penghalang kejayaannya.

Melihat kegigihannya bekerja dan sikapnya cepat mesra dengan sesiapa saja, terdetik di hati bahawa wawasan anak penoreh getah dari Kampung Sri Medan, Batu Pahat, Johor ini untuk melebarkan empayar perniagaan kerana dia terkenal sebagai gigih, degil, fokus dengan apa dilakukan serta bijak mengetepikan antara masalah peribadi dengan kerjaya, pasti tercapai.
Bercerita pengalamannya ketika premisnya di Jalan Raja Bot, dia pernah dihalau dan dengan titisan air mata, dia keluar dari pejabat berkenaan tetapi azam kuat disemat di dada bahawa dia akan buktikan sesuatu keajaiban akan berlaku.

Teringat kata-katanya bahawa dia perlu bekerja keras demi mempertaruhkan seluruh hidupnya dalam perniagaan selepas rumah tangga yang dibina lebih 10 tahun sebagai isteri kedua gagal. Ketika perniagaan beralih ke Diamond Square, Jalan Gombak, dia mendapat khabar bangunan kedai di Jalan Raja Bot bakal dilelong dan dia terus meminta penasihat kewangannya sebelum membuat permohonan untuk ‘mendapatkannya’ dan ternyata nasib menyebelahinya apabila dia membeli bangunan kedai itu dengan ‘bermaruah’.

Biarpun berpendidikan SPM, kesedaran terhadap pentingnya pelajaran sering menjadi pertaruhan buat anak dan sekali gus mewariskan perniagaan itu buat mereka.
Justeru, tidak hairan apabila dia membuat keputusan menghantar tiga anak perempuannya iaitu Erni Dekritawati Yuliana (Rita), 25, Erni Erinawati Sofia (Rina), 21, dan Erni Reenilawati (Reeni), 19, ke United Kingdom untuk mempelajari bidang yang menjadi aspirasi impian masing-masing.
Manakala Erwan Suwari Ridzuan, 24 dan Erwan Nasri, 23, banyak membantu urusan perniagaan ibunya manakala si bongsu, Siti Nur Fatimah, 13, masih menuntut dalam tingkatan satu di sebuah sekolah antarabangsa.

Sepanjang ketiadaan anaknya, saya bersama beberapa lagi rakan rapatnya yang lain banyak menemaninya demi mengelak kesunyian. Dia sebenarnya tabah menghadapi apa juga situasi dan terkenal sebagai insan yang kental semangatnya.
Setiap tahun dia terbang ke London bagi meninjau keadaan anak dengan membawa tiga lagi anaknya untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar dan untuk teman, dia tidak pernah melupakan buah tangan, bahkan sering mengajak menemaninya bercuti.

Derita perkahwinan bagi Wati tidak lama kerana dia sering dikelilingi lelaki yang sering mengintip hatinya. Antara kebahagiaan yang pernah terakam dalam hidupnya dan pernah berbahagia rasa itu adalah mengenai rahsia cinta yang paling dalam terhadap vokalis rock kumpulan Lefthanded, Jamaluddin Elias (Nash).
Setiap kali bercerita mengenai lelaki yang bertakhta di hatinya itu, matanya sentiasa bersinar dan nama hebat itu tidak lekang daripada bibir apabila saya dapat menghidu bibit cintanya selepas dia mengerjakan umrah pada 2006 dan memberitahu pada tahun itu juga akan berkahwin.
Lalu perkahwinan paling berprestij dilangsungkan dalam tiga majlis resepsi dengan perbelanjaan hampir menelan lebih RM300,000.

Namun kebahagiaan dikecapi tidak panjang kerana di awal perkahwinan, beliau dapat menghidu sesuatu yang menyedihkan berlaku. Hampir dua minggu saya menyimpan rahsianya apabila dia sudah pun meminta peguam syarie, Datuk Zaidi Mohd Zain untuk memfail kes cerai.
Apabila segala-galanya terbongkar dan putuslah kasih antara mereka, cerita perceraiannya menjadi tatapan umum dan semua itu menjadi bahan luahan rasanya apabila kami berbual. Lepas satu-satu kontroversi melanda diri wanita bertaraf jutawan ini, namun sesuatu yang mengagumkan mengenainya, dia memang seorang yang tabah.

Seperkara lagi yang sering menjadi ingatan, apabila tidak lalu makan dan ke rumahnya, perkara pertama yang dilakukan adalah terus menuju ke dapur. Di atas meja sedia terhidang makanan buat rakan rapat atau sesiapa saja kerana dia terkenal hebat di dapur. Kalau saya ada masalah dan tidak mahu makan, dia akan menyuapnya ke mulut dan memaksa kita untuk terus mengunyahnya selayak ibu memaksa si anak makan. Sempat juga bergurau dengannya, selalu kami katakan kalau hendak ‘diet’ jangan datang ke rumah Wati dan dia akan tergelak besar.
 
Pernah dalam gurauannya dia berkata, bila ‘banglonya’ bakal dibina di Cyberjaya siap kelak, dia meminta ‘menjaga’ banglo di Taman Harmonis, Gombak apabila dia dan anak sudah ke sana. Pernah juga dia menunjukkan pelan banglo baru yang dianggar bernilai RM5 juta siap kelak, dia sudah menyiapkan bilik khusus buat rakan baiknya.

Mengenali Wati sebenarnya, hidup wanita itu ditabiri warna yang beraneka. Apabila sekali lagi kisah hidupnya tersingkap berikutan kes tangkap khalwat pada malam tahun baru 2010 bersama pasangannya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tetapi dinafikannya bahawa beliau sudah bernikah dengan lelaki berkenaan. Saya yang tahu perancangan pernikahannya seawal November hanya tersenyum dengan spekulasi itu.

Kenangan terindah yang tidak mungkin saya lupa sampai bila-bila adalah berpeluang mengerjakan umrah pada April 2008 bersama dia yang tujuh kali melakukan ibadat itu, selain ditemani saudara-maranya, stokis dan kenalan yang rapat dengannya. Ketika kunjungan ke Makkah waktu itu, dia membawa adik perempuan tiri dan ibu tirinya.

Di situlah saya mengenali hati budi pemandu peribadinya Kamaruddin Shansuddin (Kamal), 44, dan Noorhisham Mohammad, 38 (pegawai bank CIMB) yang dipercayai turut dibunuh serta isteri Noorhisham, Suzana Radin Pangat.

Hubungan kami sangat akrab dan ketika Sosilawati, Kamal, Norhisham dan peguam, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, diberitakan hilang dan dibunuh kejam, hati ini menangis pedih kerana sudah tiada lagi teman tempat menyandarkan serta berkongsi rasa.

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List