Neraka Pun Tak Terima Penjenayah Bunuh Sosilawati, 3 Individu - Shahrizat
KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita Umno mahu hukuman maksimum dikenakan terhadap mereka yang terlibat dalam pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.
Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, jenayah yang dilakukan sangat kejam dan menyifatkan 'neraka juga tidak dapat menerima penjenayah' seperti itu.
"Kami mendesak supaya keadilan dilaksanakan. Kami meminta pihak polis untuk menyelesaikan siasatan dengan secepat mungkin.
"Mereka yang terlibat hendaklah dibawa ke mahkamah dan kes juga didengar secepat mungkin, diberi keutamaan dan tidak ditangguh.
"Jika disabitkan, mereka mestilah dikenakan hukuman maksimum," katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis tahlil di kediaman Sosilawati dekat sini, Selasa.
Shahrizat yang mengenali Sosilawati sejak kira-kira tiga tahun lalu menyifatkan pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages itu sebagai seorang wanita yang sangat positif dan menjadi inspirasi kepada individu lain.
"Beliau (Sosilawati) datang ke kementerian sebagai seorang yang berjaya dan mahu membantu golongan wanita.
"Beliau seorang selebriti yang mempunyai banyak pengikut dan tarikannya adalah sikap yang cekal, sering fokus, rajin bekerja dan mempunyai impian serta tidak mudah mengalah," katanya mengulas penampilan Sosilawati.
Sosilawati, 47, bersama pemandunya, Kamarudin Shansuddin, 44, pegawai CIMB Bank Cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dibunuh dengan kejam sebelum dibakar.
Mereka dilaporkan hilang hampir dua minggu yang lalu selepas dikatakan menuju ke Banting, dekat sini, untuk bertemu seorang peguam bergelar Datuk bagi membincangkan isu pembelian tanah.
Pada Isnin, polis mengesahkan abu mayat mereka telah dibuang ke beberapa sungai berhampiran Tanjung Sepat, Banting.
BH
0 comments:
Post a Comment