Guru meradang maklumat peribadi didedah

on Oct 14, 2010

Beratus-ratus guru di Selangor meradang apabila maklumat peribadi dan sulit mereka didedahkan kepada umum oleh Jabatan Pendidikan.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mewakili guru berkenaan, bimbang dengan perkembangan itu kerana ia adalah tidak beretika dan jelas sekali melanggar kod profesion perguruan. 

Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng memberitahu Bernama beliau berharap Kementerian Pendidikan akan menghentikan tindakan itu secepat mungkin.

Beliau menjelaskan masalah itu timbul selepas Pejabat Pendidikan Negeri Selangor mengedarkan pekeliling pada 25 Mei, mengarahkan semua sekolah mengutip yuran dari guru untuk Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP).

Surat ingatan kedua dikeluarkan pada 21 Julai, kata Lok.

Beliau berkata apa yang menjengkelkan guru tersebut apabila salah sebuah daerah di Selangor, Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Perdana telah bertindak keterlaluan apabila mengumpulkan senarai guru yang mempunyai tunggakan.

Senarai itu mengandungi nama, kad pengenalan, gaji, nombor telefon dan tunggakan bagi setiap guru, telah disebar secara meluas di semua sekolah.

"Ini jelas telah melanggar etika profesion perguruan dan kita menuntut Kementerian Pendidikan menjalankan siasatan berhubung tindakan tersebut," tambahnya.

Yuran PSKPP adalah RM3 setahun bagi guru yang berpendapatan kurang dari RM1,000 sebulan dan RM5 setahun bagi guru yang berpendapatan lebih daripada RM1,000 sebulan, katanya. 

Lok berkata sepanjang pengetahuan kesatuan itu, keanggotaan PSKPP tidak diwajibkan.

"Tetapi tindakan yang dilakukan oleh jabatan pendidikan untuk mengumpulkan yuran itu menunjukkan ia adalah wajib bagi semua guru menjadi ahli," katanya.

Ini menunjukkan sekali lagi bertentangan dengan prinsip keadilan, tambahnya.

- Bernama

0 comments:

Followers

pop up text

Blog Archive

Top Ranking Pro PR

My Blog List