ZAID Ibrahim adalah satu karakter yang sangat menyeronokkan. Nasib baik ada Zaid Ibrahim dalam PKR. Kalau tidak, kita asyik didendangkan dengan lagu dan irama yang sama. Sejak Zaid masuk PKR, adalah sikit warna-warni dalam kehidupan politik PKR.
Dia sentiasa muncul dengan petikan-petikan yang mengejutkan. Kata-katanya menjadi bahan dan tajuk berita. Itu menjadikannya buruan para wartawan. Wartawan tidak akan pulang dengan tangan kosong.
Sidang akhbarnya penuh dengan wartawan sama ada yang pro atau tidak berapa pro beliau. Tapi beliau tidak pernah melayani wartawan dengan mimik muka yang semacam yang selalu ditunjukkan oleh sesetengah orang politik khususnya dari parti yang Zaid sertai sekarang.
Seorang veteran Umno dari Kelantan pernah membisikkan sesuatu ke telinga penulis yang Zaid ini tak tumpah macam Tun Dr Mahathir Mohamad. Sebenarnya adalah tidak wajar sama sekali untuk meletakkan aura diri Zaid dengan tokoh besar negara itu tetapi pada masa yang sama, penulis terpaksa setuju, ciri-ciri Dr Mahathir memang ada pada susuk Zaid.
Kedua-duanya berani termasuk berani mengambil risiko. Kedua-duanya juga tidak takut menyatakan pandangan dan pendirian serta berani menyahut cabaran. Mereka memiliki keazaman yang kuat dan berpendirian teguh ke atas sesuatu yang mereka percayai.
Pernah Bekerja Bersama
Dalam kes Zaid, beliau tidak gentar berarus songsang dengan pandangan umum. Beliau akan bercakap malah lagi disekat akan bertambah kuat suaranya kedengaran. Penulis berani berkata demikian kerana penulis pernah bekerja dengannya selama hampir tiga tahun di Zaid Ibrahim & Co. Setiap Khamis kami akan pulang ke Kota Baru dan pada Ahad kembali ke Kuala Lumpur.
Ada waktunya kami berkereta. Ada masanya kami menaiki pesawat. Setiap kali di Kota Baru, penulis tinggal di rumahnya di Pasir Hor. Beliau ada gaya tersendiri dan tidak mudah tunduk kepada sesiapa walaupun pada waktu-waktu tertentu beliau berdiplomatik dalam berurusan.
Satu contoh sikapnya yang tipikal ialah apabila beliau enggan menerima arahan Ibu Pejabat PKR agar memboikot kumpulan akhbar Utusan Melayu. Pada pandangan Zaid, itu adalah satu arahan yang tidak rasional.
Khamis lalu, ketika berhadapan dengan para wartawan dan diajukan soalan apakah beliau bersetuju dengan kritikan yang dilemparkan ke atasnya kerana masih terus bercakap dengan Kumpulan Utusan walaupun terdapat arahan yang melarangnya berbuat demikian, Zaid berkata;
"Bagaimana anda hendak memanggil diri anda seorang reformis tetapi pada masa yang sama memilih dengan media mana anda hendak bercakap. Jadi, jika saya tidak dibenarkan bercakap dengan Utusan, bagaimana pula dengan Berita Harian, New Straits Times, The Star?
"Jika saya tidak dibenarkan bercakap dengan media, dengan siapa lagi yang harus saya bercakap," soalnya.
Telunjuk
Jadi Zaid tidak peduli sama ada arahan itu datang dari presiden atau timbalan presiden atau setiausaha agung, arahan itu mestilah bersifat progresif, rasional dan logika. Jika ketiga-tiga elemen itu tidak wujud, adalah sukar untuk sesiapapun untuk memaksanya patuh pada arahan.
Bukan sahaja sikapnya ini terserlah ketika di dalam PKR sebaliknya ketika beliau di dalam Umno pun beliau sudah begitu. Beliau mempertahankan hujah-hujahnya jika beliau berasa betul.
Ini terbukti benar menjelang malam sebelum penamaan calon pada pilihan raya umum 2004. Tidak ramai yang tahu akan insiden ini tetapi ketika kejadian itu berlaku, penulis berada di sisi Zaid.
Beliau menerima satu panggilan telefon yang mengarahkan beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri dan bukannya parlimen kerana pucuk pimpinan ingin meletakkan bekas Ketua Pengarah DBKL, Datuk Nordin Razak sebagai calon parlimen Kota Baru.
Zaid membantah. Dan beliau membantah bukan kerana pucuk pimpinan tidak meletakkannya sebagai calon parlimen tetapi kerana calon yang mereka syorkan itu walaupun bekas seorang tokoh pentadbir terkenal dari Kelantan tetapi beliau tidak pernah bekerja bersama jentera pentadbiran Umno Bahagian Kota Baru yang diterajui oleh Zaid ketika itu.
Logika
Logika Zaid ialah, bagaimana jentera parti tiba-tiba hendak bekerja dengan seorang yang tidak pernah bersama mereka tetapi diparacutkan sebagai calon. Zaid berhujah, ini Kota Baru dan pilihan raya umum, bukannya pilihan raya kecil yang mana seluruh jentera parti dari seluruh negara boleh bertumpu di satu tempat untuk membantu calon menang.
Zaid juga berhujah, jentera parti telah bekerja selama lebih empat tahun untuk merampas kembali kerusi Parlimen Kota Baru yang ketika itu sudah 14 tahun berada di tangan pembangkang. Beliau menyakinkan Kuala Lumpur, jika seorang calon lain diletakkan di Kota Baru pada saat-saat akhir, Umno akan tewas.
Yang lebih berani ialah apabila Zaid menyampaikan mesej melalui orang tengah, jika Kuala Lumpur tidak masuk campur urusan penentuan calon di Kota Baru, beliau memberi jaminan Umno akan merampas kembali kerusi Kota Baru.
Benar. Kesemua kerusi DUN yang ditandingi Umno dalam Parlimen Kota Bharu tewas tetapi Zaid menang kerusi parlimen Kota Baru. Atas keengganan beliau untuk tunduk kepada tekanan dari Kuala Lumpur dan keberaniannya untuk mempertahankan dirinya sebagai calon Kota Baru, akhirnya Zaid menang menewaskan calon dari parti yang kini beliau sertai - PKR.
Wajah Pluralisme
Zaid yang penulis kenali dahulu adalah Zaid yang penulis kenali sekarang. Kalau nak terima Zaid, terimalah dia seadanya. Jika tidak, jenuh jugalah hendak menjinakkan orang bernama Zaid Ibrahim ni. Kenapa orang macam Zaid yang mewakili wajah pluralisme PKR nampak seperti payah untuk menembusi kepimpinan tertinggi PKR sekarang?
Bukankah, PKR benar-benar hendak membawa politik baru dan bersungguh-sungguh hendak bolos keluar dari hegemoni budaya dan amalan politik sekarang yang pada pandangan mereka yang mendokong PKR sebagai tidak sesuai lagi dengan pendekatan rakyat Malaysia yang mahukan perubahan?
Tetapi pelbagai cara telah dibuat untuk menidakkan peluang Zaid. Namun itulah politik. Gustinya lain macam. Sudah pastinya Zaid pun sedar akan situasi ini. Yang terbaru entah apa strategi Zaid, beliau umum akan tarik diri dan sokong Nurul Izzah sekiranya ahli parlimen Lembah Pantai itu bersedia tanding jawatan timbalan presiden.
Kata Zaid, beliau telah bercakap dengan Nurul tentang hal ini dan mengambil pendirian ini apabila mendapat tahu yang Nurul pun sedang menimbang sama ada akan menerima pencalonannya sebagai timbalan. Setakat ini selain untuk jawatan timbalan, Nurul turut mendapat pencalonan bagi jawatan naib.
Jika melihat kepada percaturan politik, tidak mungkin bapa jadi ketua umum, emak jadi presiden dan anak jadi timbalan. Nanti orang kata ini parti anak beranak. Tetapi menurut Zaid, beliau nampak Nurul mewakili wajah baru dan mampu memberi kesegaran baru dalam PKR dan yang lebih penting tidak takut untuk menyatakan pendirian serta pendapat - sama sepertimana dirinya juga. Jika Nurul setuju, kata Zaid, beliau tidak akan bertanding apa-apa jawatan pun sebaliknya akan menjadi ‘pengurus kempen’ kepada Nurul Izzah.
Opsyen
Apakah Zaid melihat syornya ini sebagai satu opsyen? Satu jalan keluar kepada tentangan terhadapnya supaya tidak bertanding jawatan timbalan? Apa strategi terbaru politik Zaid? Apakah wujud pakatan antara Zaid dan anak sulung Anwar itu? Menarik sungguh. Ayah sokong Azmin Ali. Zaid sokong anak. Ibu sokong siapa pula? Di sebalik kecoh baling kerusi di sana-sini, di satu sudut yang lain pula, Zaid Ibrahim telah menyemarakkan lagi sepak terajang politik PKR.M/Star
Nota: MB Selangor, Khalid Ibrahim telah mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan timbalan presiden tetapi keputusan muktamad akan ditentukan oleh sebuah jawatankuasa yang dibentuknya untuk menilai apakah keputusannya itu membawa kebaikan atau keburukan pada parti. Nurul Izzah pula pada mulanya berkata akan beri jawapannya pada Ahad tetapi sehingga sekarang masih belum mengisytiharkan keputusannya. Sama-samalah kita tunggu.
0 comments:
Post a Comment